Wednesday, October 30, 2013

PENANG...HERE WE COME

31/10/13
11:32 am


Salam,


Semalam balik dari pejabat saya sempat menonton drama bersiri 'Love U Mr Arrogant' (sebelum ini asyik tak sempat sebab memasak). Seronoknya dapat berehat sambil makan kudapan ringan dan menonton siri kegemaran. Rasanya dah nak habis drama ini memandangkan hanya tinggal beberapa episod lagi.

Dan semalam drama berkenaan memaparkan aksi Zara dan Ikram sedang bercuti di Pulau Pinang. Ohhh! Saya memang elegik dan cukup teruja mendengar nama Pulau Pinang atau Penang itu. Bukan alergik kerana benci atau jijik, tetapi amat-amat menyukai negeri kecil berkenaan.

Tidak kisahlah negeri yang turut dipanggil Pulau Mutiara ini dikuasai oleh siapa, namun itu cerita sekarang. Penang sebenarnya begitu dekat dengan jiwa saya. Di sinilah segala-galanya bermula. Daripada sekadar gadis biasa, kini saya mampu tersenyum dan bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Sebelum ini saya memang sudah lama bercita-cita untuk bergelar wartawan dan membayangkan saya menjadi wartawan di surat khabar (bukan majalah seperti sekarang). Cita-cita itu begitu meruap di jiwa saya tatkala melihat filem lakonan Julia Rais dan Ridzuan Hashim dalam Hati Bukan Kristal.

Dalam cerita itu Julia Rais bertindak sebagai wartawan. Sejak itu saya bercita-cita untuk menjadi wartawan. Saya mula terbayang bagaimana gigihnya seseorang wartawan itu mencari berita dan dalam masa sama perlu menaip story.

Malah saya pernah (ketika di tingkatan enam atas/bawah) pergi ke branch surat khabat Berita Harian di bandar Temerloh dan bertemu dengan wartawannya. Sejak itu saya mula belajar menulis berita dengan Zaihasra (nama pena) seorang wartawan senior yang juga hanya stringer BH di Temerloh.

Minat semakin mendalam untuk menceburi bidang kewartawan ini dan ketika itu hanya terbayang UiTM yang menawarkan kursus Sebaran Am (ketika itu). Jadi saya belajar bersungguh-sungguh dan mengambil STPM (sesetengah orag sahaja yang berminat mengambilnya) untuk melayakkan mendapat tempat di pengajian tinggi.

Namun destinasi saya berubah apabila membaca novel Sindora karya hebat penulis Shamsiah Mohd Noor. Dalam novel itu, seorang gadis bernama Sindora yang belajar di USM Pulau Pinang dan penulis turut menggambarkan betapa indah dan cantiknya universiti ini.

Apa lagi saya terus membayangkan untuk belajar di situ dan mengambil kursus Komunikasi. Alhamdulillah saya berjaya menempatkan diri di USM pada 1995 dan memang ia seindah yang disangka. Terletak di atas bukit dan kita akan lihat pemandangan Selat Melaka dengan latar belakang Jambatan Pulau Pinang yang merupakan keempat terpanjang di Asia Tenggara.

Oleh sebab itu, saya begitu mengkagumi Penang. Di sini, pelbagai memori suka dan duka tercipta. Kata orang kursus ini (komunikasi) senang nak lulus. Tapi saya ambil peluang untuk belajar dan dalam masa sama merasai keseronokan bergelar pelajar pengajian tinggi bersama teman-teman Cak, Angah, Dayod, Zie, Mawa, Pakcik, Panjang, Ajis, Rosman, Shaimi, Sudir, N, Noor, Hindun dan beberapa teman lagi.


Teman-teman yang menceriakan kehidupan sepanjang empat tahun di USM, Penang.

Masing-masing yang dulunya cuma budak hingusan kini sudah berjaya dalam bidang diceburi. Ada yang jadi orang kuat Perkeso, orang kuat BH orang kuat LADA, Langkawi, orang kuat MPAJ, orang kuat Takaful, orang kuat UNIMAP, cikgu dan macam-macam lagi. Saya bangga sekali dengan pencapaian mereka (kini masih berhubung melalui FB).

Momen empat tahun menimba ilmu di Penang begitu manis untuk dikenang. Zaman di mana perlu berjimat cermat memandangkan hanya bergantung pada duit pinjaman JPA (alhamdulillah sudah selesai langsai hutang). Setiap kali membelek gambar-gambar lama bersama mereka, saya akan tergelak seorang. Kalau dulu kurus melidi dan kini semuanya sudah jadi seperti Mr Asia (baik lelaki ataupun perempuan).

Penang juga kaya dengan pelbagai makanan yang enak. Tidak sah jika ke Penang tidak mengunjungi gerai nasi Kandar Gelugor, Jeruk Chowrasta, Pasembor Padang Kota dan pelbagai lagi tempat menarik. Oleh sebab itu saya katakan Penang begitu dekat di hati saya. Malah kalau boleh saya mahu masukkan Penang dalam kalendar tempat percutian yang mesti saya sekeluarga kunjungi setiap tahun.

Dan sebagai bekar pelajarnya, saya akui USM antara universiti terbaik dalam melahirkan graduan yang mahu bergelar wartawan sama ada di akhbar, majalah ataupun televisyen (mengikut pengalaman). Saya bangga menjadi sebahagian daripada Alumni USM.


1995-1999 - MINDEN DALAM KENANGAN...

Hot Mama Reen
14:16 pm


No comments:

Post a Comment