Thursday, October 24, 2013

BAHAYA ADA DI MANA-MANA


24/10/13
14:41


Salam,

Hari ini sampai di pejabat (macam biasa, selalu lewat) kecoh bercerita mengenai seorang pegawai bank yang mati ditembak di kepala. Malah rata-rata di laman sosial menayangkan gambar si mati yang terbaring dengan keadaan mengerikan. Di tambah pula video bagaimana dia ditembak. Sebagai wanita dan ibu saya cukup bersimpati dengan nasibnya. Terus terbayang berapa orang anaknya dan bagaimana kehidupan keluarganya kelak.

Seorang teman memberitahu, dia mempunyai dua orang anak dan sebelum meninggal, suaminya sempat menghubungi mangsa dan berpesan supaya memandu kereta berhati-hati memandangkan hujan petang semalam. Siapa sangka itu merupakan percakapan terakhir bersama isteri tersayang. kalau mangsa tahu itu merupakan perbualan terakhir pasti berbakul-bakul pesanan dititipkan buat suami.

Namun siapalah kita di sisi Tuhan. Hanya Dia yang tahu ajal, maut dan jodoh itu. Betul kata orang malang tidak berbau dan boleh terkena di mana-mana sahaja. Apa yang penting kita perlu berhati-hati dalam apa jua perkara. Seperti juga kes di mana seorang wanita yang hilang tatkala menaiki basikal sendirian di kawasan perumahannya. Sampai sekarang masih belum ditemui lagi.

Saya rasa dalam dunia yang semakin tua ini, manusia semakin hilang pertimbangan. Tiadakah rasa sedikit belah kasihan kepada si mati yang dibunuh. Apakah guard (yang dikatakan membunuh pegawai bank) tidak ada isteri ataupun anak? Di mana akal fikiran yang Tuhan anugerahkan padanya hingga tergamak membunuh mangsa yang mungkin dikenalinya sebelum itu.

Apalah salah mangsa hingga sanggup diperlakukan sedemikian rupa. Oh! Saya agak, manusia ini semakin giler dan tidak tahu dosa dan pahala. Mungkin guard tadi rambang mata melihat lambakan duit dan cara itu (merompak) akan membuatkan hidupnya senang dan kaya. Tidak payah bersusah payah bekerja siang malam untuk mendapatkan duit yang banyak itu dalam sekelip mata. Guard itu melakukan jenayah itu tanpa berfikir kesan jangka pangjang. Akibatnya dia sudah ditahan di LCCT (menurut sumber akhbar) mungkin setelah di dapati bersalah, hukuman tali gantung layak untuk mereka (biar mahkamah tentukan).

Dalam hal ini kita sebagai wanita kena mengambil sikap berhati-hati (walaupun berada dalam kereta atau di rumah). Tidak tahu nasib di kemudian hari dan perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan atau bahaya mendatang. Bayangkan anak-anak (mangsa) yang masih kecil tetapi sudah kehilangan ibunya. Kecil-kecil lagi sudah hilang kasih sayang daripada ibunya.

Ibu ibarat sebuah mesin bergerak yang begitu penting dalam sesebuah keluarga. Bayangkan jika ibu sakit, diibaratkan seperti mesin rosak. Pasti akan 'jammed' urusan di rumah. Walau letih mana sekalipun, balik dari pejabat pasti kita akan segera ke dapur untuk menyediakan hidangan malam dan kemudian meneruskan kerja lain seperti membasih baju, lipat kain ataupun menseterika baju anak-anak. Berat tugasan itu dan bukan calang-calang wanita boleh menyandang jawatan sebagai ibu @ bibik @ guru @ tukang masak.

Jadi kita sebagai wanita ini, perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa menjaga keselamatan diri. Tidak kira di mana sekalipun anda berada. Tip dari saya, mudah sahaja:

1. Sentiasa berteman sekiranya mahu ke sesuatu tempat yang anda tidak pernah pergi.
2. Pastikan ada benda keselamatan dalam beg seperti penyembur lada atau benda tajam (penyepit kuku) untuk langkah berjaga-jaga.
3. Jangan membawa duit banyak sekiranya keluar rumah. Pastikan wang yang mencukupi sahaja untuk membeli barangan (lebih elok berbelanja secara kredit atau kad debit).
4. Sebaik sampai sahaja di rumah, segera tutup pintu dan masuk ke dalam rumah. Pesan juga pada anak-anak supaya tidak bermain di luar tanpa pemerhatian orang dewasa.
5. Segera lapor pada pihak berkuasa jika melihat ada orang asing berlegar-legar di kawasan rumah (biasanya menaiki motor atau kereta).
6. Jika parking kereta, jangan letak kereta di kawasan gelap ataupun tidak ada kenderaan lain berdekatan. Kalau boleh dapatkan parking di bawah lampu ataupun dekat dengan kawasan pintu masuk.
7. Diingatkan juga jangan senang termakan pujukan jika ada orang mendekati anda mengatakan dia tidak cukup duit tambang untuk balik ke rumah atau sebagainya. Bimbang mereka ada agenda yang tersembunyi.
8. Kalau boleh wanita digalakkan mempelajari seni mempertahankan diri untuk keselamatan.
9. Jangan sesekali membuka pintu kereta jika ada orang mengetuk dari luar (jika berhenti di persimpangan lampu isyarat) atau tiba-tiba ada orang berbaring di hadapan jalan. Bimbang mereka ini ada niat lain seperti mahu merompak.
10. Sentiasa berdoa kepada Tuhan agar kita dan keluarga dilindungi daripada bahaya.


Hot Mama Reen
16:01


Sentiasa berteman lebih-lebih lagi jika kita pergi ke negara asing.
Bersama ex-foto Karangkraf, Amie Green ketika tugasan di Bangkok.

No comments:

Post a Comment