Tuesday, October 15, 2013

RINDU SEORANG ANAK

9:58am
14/10/13

Salam...

Dua tiga hari ini, tidak ada entri yang nak ditulis. Bukannya malas, tetapi kekangan waktu (maklum waktu cuti) menyebabkan mood nak menulis agak kurang. Mana taknya, lepas mandi pagi, siapkan sarapan (kalau takpun beli), mandikan Aiman (mujur kakak piqa boleh tolong mandikan), kemas rumah, tidurkan Aiman (ngempeng walaupun susu dah tak ada) dan macam-macam lagi kerja di buat.

Walaupun banyak ide dalam kepala ini, tetapi semuanya 'stuck' gara-gara sudah kepenatan. Hari ini, tatkala orang lain bercuti (ada dua tiga kerat je yang tak balik kg, termasuk saya) saya gagahkan untuk menulis entri ini. Itupun bila mengenang cikgu Netty kata kena tulis 44 entri baru boleh ke level next...ermm..44 entri, macam orang baru lepas bersalin. Bukannya tak ada ide, tapi seperti saya katakan tadi, kekangan masa. Maklum rumah serta anak saya bukan satu, dua atau tiga, tetapi empat dan coming soon jadi sebelah tangan (hope semuanya selamat penghujung Mei nanti}.

Sebenarnya ketika menulis entri ini, pejabat sunyi sepi. Masing-masing bercuti dan ada yang pulang ke kampung. Saya juga sebenarnya berbelah bagi sama ada mahu pulang ke kampung atau tidak. En. Abah tak kisah dan semuanya atas keputusan saya (bab2 ni sayalah boss). Namun apabila mengenang tiada siapa di kampung (memandangkan adik beradik lain tak balik), saya jadi malas nak pulang. Sejak arwah emak tiada (sejak 9 tahun lalu) saya semakin malas nak balik kampung. Apabila betul-betul ingatkan bapak (yang tinggal di kampung dengan mak tiri) barulah hati ini terbuka untuk balik.

Banyak kenangan jika balik ke rumah itu. Setiap kali jejak kaki ke bahagian atas, saya masih terbayang jasad emak yang sakit (seminggu sebelum meninggal) terbaring di atas katil usang (bapak sudah bakar kerana tidak mahu terkenang arwah) dan ketika jenazah emak berada di tengah-tengah rumah sebelum di bawa ke kubur. Rumah atas itu memang agak sunyi dan waktu itu pastinya terkenang pada arwah.

Emak semasa hayatnya seorang yang saya anggap 'happy go lucky' (seperti saya). Dia ni seorang yang kuat berjalan. Bayangkan dia boleh pergi ke rumah kami (tinggal di Klang) hampir setiap minggu (dari Temerloh Pahang) jika kami ajak ke sini. Ketika itu saya baru ada anak seorang, begitu juga adik. Dia rajin turun ke Klang untuk melihat cucu-cucunya itu selain Rantau Panjang Klang memang kampung emak. Mulutnya memang becok bercerita dan agak ramah dan disukai orangnya.

Aapabila dia jatuh sakit, ramai yang tidak percaya. Kami sekeluarga juga begitu. Emak sakit setelah sebulan dia balik mengerjakan umrah. Saya masih ingat arwah begitu beriya-iya mahu juga ke rumah Allah walaupun tanpa muhrin terdekat. Dia gagahkan diri juga pergi ke sana dan sebaik pulang emak terus jatuh sakit. Pada mulanya sekadar batuk-batuk dan kemudian muntah hingga akhirnya emak disahkan penghidap kanser paru-paru.

Agak pelik bila emak disahkan penghidap kanser parut-paru kerana dia tidak merokok. Saya agak mungkin kerana bapak (kuat merokok ketika mudanya) salah satu faktor dijangkiti sakit merbahaya itu. Hampir tiga bulan emak mendapatkan rawatan di HKL di unit radiologi dan onkologi. Waktu itu emak sudah disahkan penghidap stage ke empat. Tidak ada apa boleh doktor buat kerana faktor usia. Ketika itu juga kami sekeluarga reda jika emak pergi dulu.

Oleh kerana tahu hayat emak tidak lama, saya berusaha berulang alik setiap hari melihat emak di
HKL. Walaupun sukar ketika itu En Abah tiada di sisi (kerja di Terengganu), namun saya cuba untuk luangkan masa ke HKL. Daripada emak boleh ingat dan kenal saya, akhirnya emak tidak mampu membuka mata kecuali suara rengekan kecil  ketika dipanggil namanya. Matanya hanya terpejam rapat dan tubuhnya semakin kurus. Namun saya cuba untuk melihatnya nampak cantik dengan menyikat rambut serta memakaikan bedak setiap kali selepas membersihkannya.

Pengalaman menjaga emak di hospital menyebabkan saya tahu bagaimana menjaga orang yang sakit. Bagaimana mahu memberikannnya minum (minum susu khas sebab tidak boleh makan melalui mulut dan terpaksa gunakan hidung), menukar bajunya serta membersihkan daripada najis. Semua itu perlu ada cara tersendiri agar tidak menyakiti mereka.

Setelah hampir tiga bulan terlantar, doktor menyuruh emak di bawa balik ke rumah. Hampir seminggu emak sempat balik 'berehat' di rumahnya sendiri sebelum menghembuskan nafas terakhir pada hari tarikh yang sama dengan hari jadi saya dan juga abang ketiga, 27 November 2004. Kami sekeluarga reda dengan pemergian emak kerana dia sudah cukup menderita menanggung sakitnya yang begitu cepat berebak dari paru-paru, pergi ke hati dan seterusnya ke otak.

Kini setelah 9 tahun emak pergi, ingatan padanya tidak pernah padam. Lebih-lebih lagi bila tarikh harijadi saya dan abang. Namun yang pergi pasti takkan kembali. Dan setiap kali selepas soat saya tidak akan lupa menyedekahkan Al-Fatihah pada arwah. Apabila dia sudah tiada di sisi, perkataan kalau akan sentiasa tersemat di bibir. Kalaulah emak ada, kalaulah emak ada...dan kalau lagi sekiranya dia ada.

Dan setiap kali hari raya tidak kira raya aidilfitri atau korban, masakan emak paling tidak boleh lupa. Alangkah enak masakan ayam masak kicap atau dipanggil sumur (oleh orang jawa) serunding kelapa, ayam masak merah ataupun sambal goreng (sekadar menyebut beberapa resipi. Rugi pula masa hayatnya tidak sempat belajar. Dan kini saya cuba belajar banyak kali untuk mendapatkan masakan ayam masak kicap seperti arwah buat. Nampaknya belum menjadi (saya perlu belajar dari orang jawa jugak) dan akan terus belajar mencari resipi sebenar.

Sebenarnya saya juga tertanya bagaimana emak boleh terkena kanser. Ya betul kanser adaah satu penyakit membunuh dan ditakuti semua orang selain jantung. Dan kebanyakan kaum wanita kanser payudara atau servik yang begitu ditakuti. Malah ramai sumber yang pernah saya interview (ketika menjadi wartawan) yang mengalami kanser payudara sudah menemui Tuhan. Sebagai wanita kita perlu berhati-hati dengan penyakit merbahaya ini. Bukan jika bukan keturunan, ia datang daripada cara pemakanan kita.

Setiap kita ada sel kanser dalam badan, cuma ia aktif atau tidak sahaja. Dan baru-baru ini Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat mengadakan kempen pink ribbon (sinonim dengan kanser payudara) kerjasama dengan syarikat kosmetik avon. Kempen itu menggalakkan setiap wanita menjalani rawatan mammogram di hospital dan lebih mengetahui risiko menghidap kanser payudara.

Dalam info Kementerian Kesihatan juga ada menyatakan bahawa asbestos dan asap rokok menyebabkan kanser paru-paru, yang menyebabkan penyumbang tertinggi statistik kematian disebabkan kanser. Dalam info itu juga menyebut bahawa baka merupakan faktor utama meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser. Namun begitu kajian mendapati bahawa 80 hingga 90% pesakit kanser datang dari keluarga yang tidak mempunyai sejarah kanser.

Seperti kata doktor yang merawat arwah emak dulu, katanya cancer similar to die. Jadi sesiapa yang sedang bergelut dengan penyakit merbahaya ini atau ada anggota keluarga yang menghidapnya, diharap agar bertabah. Apatah lagi jika sudah berada di stage terakhir. Hanya doa yang mampu dititipkan dan selagi ada hayatnnya, habiskan masa bersamanya. Mungkin itu sahaja penawar yang mampu sedikit sebanyak mengurangkan derita dialami.

Tindakan anda jika salah seorang ahli keluarga/rakan menghadapinya:

1. Sentiasa berada dan menghabiskan masa bersamanya. Cari masa itu dan cuba bercakap atau sekurang-kurangnya membelainya ketika sakit.
2. Gembiarakan hatinya. Ceritakan apa-apa yang positif agar dia sentiasa ceria.
3. Sentiasa berusaha untuk mencari rawatan alternatif (jika bukan di stage terakhir) dan tidak salah mencuba kerana mencegah lebih baik dari merawat.
4. Berikan dia harapan agar dia tahu masih ada harapan untuk pulih. Jika dia kuat semangat, mungkin jangka hayat lebih panjang sedikit.
5. Ikuti segala kehendaknya. Mungkin itu yang terakhir dan kalau boleh tunaikan apa sahaja yang dia mampu (mengikut kemampuan diri).
6. Sentiasa berdoa pada Tuhan agar sentiasa panjangkan usia dan mengurangkan sedikit penderitaan yang dialami.


Hot Mama Reen
12:49 pm
15/10/2013







No comments:

Post a Comment