Thursday, October 24, 2013

HARI-HARI TIDAK SIHAT

25/10/13
11:11 am

Salam,

Oh! Hari ini rasa sungguh tidak selesa. Kepala berdenyut-denyut dan hidung pula seperti ada sesuatu yang tersumbat. Bersin pula tak sudah-sudah. Tekak apatah lagi, perit dan sukar untuk menelan makanan. Kalau ikutkan hati rasanya nak saja letak kepala atas bantal dan tidur tanpa sebarang gangguan. Rasanya dah lama tak kena selesema yang saya rasa memang menyesakkan pernafasan. Yang dewasa ni pun sukar bernafas apatah lagi jika selesema melanda bayi. Alamatnya mama tak tidur malam ler.

Nak telan sebarang ubat, bimbang memudharatkan diri. Maklum jika seseorang itu hamil, tidak boleh makan sebarang ubat (hanya yang dippreskripsi oleh dr sahaja).  Apa yang saya mampu buat, hanya tenyeh minyak angin cap kapak di hidung sahaja. Memang saya akui mengandung di usia agak lewat ini begitu banyak cabarannya. Faktor usia yang semakin 'emas' membuatkan keaktifan tidak seperti dulu.

Tetapi dalam soal bekerja, ia tidak diambil kira. Buang jauh-jauh perasaan malas atau rasa tidak sihat. Nanti dikatakan tidak produktif. Tetapi untuk hari ini, saya betul-betul rasa kurang sihat. Fikiran mula terbayang enaknya menghirup sup panas yang boleh memanaskan perut. Di tambah dengan cuaca lembab di luar menyebabkan saya rasa lebih tidak menyeronokkan untuk bekerja. Cuaca begini mengundang rasa untuk lena.

Ehemmm...saya perlu kuat untuk menjalani tempoh 30 minggu akan datang. Saya perlu bertenaga menghadapi kehamilan kali ini seperti kehamilan terdahulu. Walaupun tidak berdepan dengan alahan seperti muntah, namun kerap kali kepala sakit menyebabkan saya memang rasa kurang selesa. Berbanding teman-teman lain, Emi dan Wani (mereka ini masih muda & kuat), saya lihat keduanya baik-baik sahaja. Terbayang saya lima enam tahun dulu tatkala mengandung anak kedua dan ketiga. Ligat ke sana ke mari mencari bahan.

Betapa masa berlalu begitu pantas. Daripada anak pertama, masuk kedua, ketiga, keempat dan kini menunggu yang kelima (insya-Allah yang terakhir). Semoga saya terus diberi kekuatan untuk menghadapi segala dugaan sepanjang 30 minggu akan datang.Dan semoga bayi saya juga sihat dan comel seperti mamanya.

Hot Mama Reen
11:38


Bersama anak sulung, kedua & ketiga.

No comments:

Post a Comment