Sunday, October 27, 2013

JANGAN IKUT KATA HATI

28/10/13
10:58 am

Salam,

Dua hari tidak menulis di entri ini, rasa rindu bertamu di hati. Tangan ini memang gatal nak mencoret sesuatu tetapi kekangan masa di rumah menyebabkan niat terbantut. Walau apapun saya kuatkan semangat untuk kembali menulis di entri ini.

Sabtu lepas, setelah balik dari KL (rumah mentua & abang mengambil pemanggang ajaib Hasnita & Linda) dan sampai rumah. Adam mengadu lapar, walhal jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Sebelum itu kami dah makan malam di rumah abang, tetapi saya perasan dia tak makan kerana mulutnya (ulser) sakit.

Melihat wajahnya yang monyok saya kemudiannya mengajak Aqil meneman ke restoran makanan segera untuk membeli bubur (katanya bubur sesuai untuk yang mengalami sakit mulut). Walaupun sudah menginjak ke 10.30 malam, tetapi masih ramai mengunjungi 'drive thru' restoran segera ini.

Sedang menanti giliran, saya terbayang saat 20 tahun lalu saya juga pernah ada pengalaman kerja di sini (di Shah Alam). Waktu itu, saya baru pucuk muda seawal 18 tahun dan menunggu keputusan STPM (dengan harapan dapat masuk U). Oleh kerana malas nak duduk rumah (tiada apa nak buat pun), saya gagah diri berhijrah ke Shah Alam. Menumpang tidur sementara di rumah sepupu di seksyen 16, Shah Alam. Rumah flat empat tingkat satu bilik itu menjadi rumah tumpangan sementara sebelum mencari kediaman lain.

Saya begitu menghargai sepupu saya (mereka sudah berkahwin & ada 3 adik yang turut menumpang di rumah sama). Setiap hari jika ke rumah sepupu, saya akan terpandang ke arah menara bertingkat di UiTM yang berkilauan lampunya. Malah saya berangan satu hari nanti saya akan jejakkan kaki ke situ.

Berbalik soal tadi, saya kemudiannya mencari rumah sewa lain dan berjaya mendapatkannya di Seksyen 18 Shah Alam. Saya cuba minta kerja kilang, tetapi seperti tidak berkenan dan saya nekad minta kerja di restoran segera Mc Donald di PKNS Shah Alam. Alhamdulillah berjaya mendapat kerja di situ sebagai krew, walaupun mereka seperti tidak percaya sijil SPM yang ditunjukkan. Gaji yang diterima tidak banyak iaitu dalam RM3.50 sejam dan saya bekerja secara full time.

Untungnnya kerja di sini ialah makan free (kadang-kadang burger dan sekali sekala sahaja diberi ayam goreng). Pada mulanya saya bekerja sebagai krew yang membersihkan meja hidangan. Saya tidak kisah dianggap 'cleaner' kerana yang penting dapat duit dan halal.

Setiap kali melihat melanggan yang datang (kebanyakan student maybe UiTM) saya sering terbayang saya juga akan jadi seperti mereka. Sewaktu di sini, saya memang gigih bekerja dan kalau boleh mahu tahu prosedur cara membuat burger ataupun semua bahagian.

Biasanya hari minggu paling sibuk kerana ramai orang. Saya juga akan mengambil OT untuk kerja hari minggu. Maklumlah duduk rumahpun tiada sesiapa dan waktu itu tidak kenal sesiapa even lelaki. Alhamdulillah walaupun saya pertama kali bekerja di bandar besar, tetapi berjaya menghindar diri dari perkara tidak elok ataupun 'culture shock'. Berkat bekalan iman didada yang diajar oleh keluarga, alhamdulillah.

Otak saya ketika itu hanya berfikir untuk mencari duit sahaja, walaupun tahu gaji diterima tidak memberangsangkan. Daripada menjadi cleaner di meja, saya diberi kepercayaan menjaga kaunter. Kalau di Mc'D ini ibarat naik pangkat le. Namun saya perlu berwaspada agar duit tidak 'shot' ketika membuat 'closing counter'. Seingat saya, tidaklah sampai pernah 'shot' duitnya.

Hampir 3 bulan saya bekerja di sini dan pelbagai pengalaman saya kutip. Daripada sekadar tahu membersihkan meja, saya tahu cara mengemop lantai (ada cara tertentu), memotong sayur, memasak burger, menggoreng kentang dan sebagainya. Dan saya rasa hingga sekarang cara itu adalah sama kerana ia menggunakan mesin dan cara yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Namun rezeki saya hanya tiga bulan, kerana saya kemudiannya mendapat kerja lain iaitu kerja sambilan di Kementerian Pendidikan (akan saya cerita di entri akan datang). Tatkala menghantar surat berhenti, pihak pengurusan seperti sukar untuk melepaskan (mungkin sebab saya rajin dan jujur, he3). Malah, mereka mengoffer jawatan seperti penyelia di sini. Tetapi saya tolak kerana waktu itu saya bukan berniat untuk kerja full time, tetapi sekadar mencari duit poket dan mahu menyambung pelajaran.

Saya tidak buta mata untuk terus bekerja kerana yakin keputusan STPM akan membawa saya ke satu tahap lebih tinggi. Memang benar dan keputusan saya tepat. Bayangkan waktu itu jika kata hati saya setuju dengan tawaran, mungkin saya tidak akan memijak pusat pengajian tinggi. Maklum buta mata melihat tawaran yang diberikan (padahal tidak banyak). Atau mungkin juga saya akan sambung pelajaran selepas itu (biasanya sesiapa dah bekerja agak sukar untuk sambung).

Memang ketika itu saya tidak mensasarkan untuk bekerja terus tetapi sekadar mencari wang poket memandangkan dari keluarga susah. Namun seawal usia 18 tahun, saya sudah berani ambil keputusan untuk bekerja dan jauh dari keluarga. Saya agak degil sedikit dan yang ini saya memang ikut kata hati. Jauh di sudut hati saya bersyukur kerana punya pengalaman hidup di bandar besar (walaupun Shah Alam), dan paling penting tidak terdorong melakukan perkara yang tidak baik.

Maklum sahaja dewasa ini ramai yang datang ke kota dengan tujuan mencari rezeki tetapi akhirnya lupa siapa diri mereka sebenar. Dan setiap kali saya memandang rumah sewa lama di Seksyen 18, pasti mengimbau kenangan lalu (especially momen mi cawan). Keadaannya tetap sama dan hari ini (sudah hampir 10 tahun) saya kembali ke sini tetapi dengan status berbeza.

Begitu juga setiap kali melihat adik-adik yang bekerja di restoran segera akan mengingatkan kenangan saya 20 tahun lalu. Saya juga pernah lalui pengalaman itu dan jangan bohong mengenai etika kerja di situ. Oh, untuk pengetahuan saya bukan sahaja berpengalaman bekerja di Mc'D, malah A&W juga. Ingatan saya, walau di mana anda berada, ingat Tuhan dan niat sebenar untuk apa. Kadang-kadang pengalaman lalu banyak mengajar kita erti kehidupan sebenar.



Hot Mama Reen
11:29 am

Bersama teman-teman memeriahkan Karnival Karangkraf 2013 yang lalu...
20 tahun lalu jika ikut kata hati mungkin saya tidak berada seperti hari ini.

No comments:

Post a Comment