Wednesday, October 30, 2013

SAYANG-SAYANG DISAYANG

30/10/13
11:32 am


Salam,

Pagi tadi macam biasa ketika mendengar berita ringkas di Hot FM, saya terkejut dengar bagaimana pasangan di Balik Pulau, Penang yang bercerai setelah 3 jam berkahwin. Pasangan muda itu mengambil keputusan bercerai setelah selesai majlis akad nikah. Dalam hati tertanya-tanya kenapa perkara begini boleh terjadi? Jika tidak suka kenapa perlu berkahwin? Atau ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan keduanya terpaksa mengucapkan kata-kata perpisahan.

Lebih elok rasanya masing-masing-masing mengemudi jalan hidup sendiri daripada makan hati berulam jantung. Bagi saya dewasa ini kahwin muda seperti menjadi tren terkini. Setelah tamat belajar (tidak kira yang sekadar SPM atau lepasan degree) masing-masing ambil keputusan berkahwin awal. Namun bukan mudah untuk melayari bahtera perkahwinan ini.

Pelbagai perkara perlu diambil kira. Bukan sahaja dari segi kewangan tapi meliputi pelbagai aspek. Jika tidak bersedia mental dan fizikal, jangan ambil keputusan untuk berkahwin. Bukan apa, jika terlalu muda, lebih menurut kata hati dan bimbang berlaku perceraian di kemudian kelak. Namun jika berkahwin untuk menghindari maksiat amat-amat digalakkan.

Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa yang mana mengemudi sebuah bahtera bersama agar tidak dilambung ombak dan badai. Baik suami atau isteri perlu ada sikap saling memahami, bantu membantu dan percaya antara satu sama lain. Elakkan juga sifat cemburu yang sememangnya boleh menganggu gugat hubungan sedia ada.

Namun jodoh itu semua di tangan Tuhan. Ada juga sesetengah pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi jodoh mereka hanya separuh jalan. Ibarat kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Misalnya cerita seorang teman yang mengambil keputusan untuk berpisah setelah usia perkahwinan mencecah 10 tahun dan punya dua anak.

Alasannya kerana sudah bosan dengan sikap suami yang tidak romantak seperti diawal perkenalan mereka. padahal ketika di universiti, kedua-duanya dianggap 'loving couple' kerana di mana ada teman saya itu pastinya ada si dia. Usai habis belajar, kedua-duanya berkahwin dan kemudiannya di kurniakan dua cahayamata.

Walaupun terkejut dengan berita perpisahan mereka, tetapi saya anggap mereka sudah tiada jodoh. Teman saya itu akhirnya berkahwin kali kedua dengan pilihan hatinya yang juga teman sepejabat. Saya mendoakan agar teman saya berjaya menemui cinta sejatinya dan tidak akan rasa jemu dengan cinta hati barunya itu (lama tidak mendengar berita darinya).

Bagi saya dalam sesebuah perkahwinan, perlu ada cara untuk kita menawan hati pasangan. Tidak kisah berapa lama usia perkahwinan anda. Lagi lama lagi perlu bagi setiap pasangan itu menghangatkan kembali hubungan. Mungkin beberapa tip ini boleh anda atau pasangan (yang membaca entri ini) jadikan panduan dalam melayari kehidupan berumahtangga.

6 CARA DIRI DISAYANGI PASANGAN

 1. Cuba belajar memasak
Biasanya kerja memasak adalah urusan orang perempuan, tetapi apa kata untuk mengambil hati pasangan anda cuba belajar memasak. Anda boleh belajar melalui kelas masakan ataupun dari buku resipi.

2. Ringan tulang
Pasangan juga perlu mengamalkan sikap ringan tulang dalam membantu urusan rumah tangga. Jangan biarkan isteri keseorangan membuat kerja rumah kerana banyak urusan yang perlu difikirkan. Apatah lagi kedua-duanya bekerja dan jika ada kelapangan tidak salah membantunya.
 
3. Sering hubungi pasangan
Anda juga digalakkan agar sentiasa menghubungi melalui telefon pasangan dari masa ke semasa. Biarpun sekadar mengucapkan ‘hai’ padanya sudah memadai tanda anda sentiasa mengingatinya. Ketika menelefonnya juga jangan lupa ucapkan perkataan I Love U yang mungkin memberi makna tersendiri padanya.

4. Berikan pasangan hadiah
Anda juga digalakkan memberi hadiah kepada pasangan terutamanya ketika hari-hari istimewa seperti ulang tahun perkahwinan ataupun hari jadi. Walaupun sekadar kad ucapan tetapi sudah memadai tanda diri anda dihargai.

5. Sesekali buat kejutan
Untuk membuat diri anda disayangi oleh pasangan apa kata anda buat kejutan untuknya. Tidak kiralah kejutan sempena ulang tahun kelahiran atau sekadar kejutan biasa. Misalnya anda memanggil pakar untuk menukar ruang tamu rumah atau bilik tidur sebagai kejutan kepada pasangannya.

6. Sering berkomunikasi dengan pasangan
Pasangan yang baik mestilah sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain. Jika dia bercerita, anda perlu jadi pendengar setia sambil memberi pandangan atau idea bernas. Anda diingatkan agar memberi sepenuh perhatian ketika dia sedang bercerita supaya hatinya tidak tersinggung.

 * Pelbagai lagi tip suami isteri boleh didapati dalam majalah Seri Dewi & KELUARGA atau layari  http://sdkeluarga.karangkraf.com/

Hot Mama Reen
16:30 pm
 
Terima pasangan seadanya.
 

 


No comments:

Post a Comment