Tuesday, October 8, 2013

HAMIL: TIDAK SECERGAS DULU


14:44 pm
8/10/2013


                                                                     

Ketika gambar raya bersama team SDK, kehamilan anak ke empat.

Salam...                                  

Sungguh hari ini saya terasa begitu lelah. Terasa bagai mahu tumbang, pitam dan begitu penat sekali. Sebenarnya daripada malam tadi, sudah terasa keletihan ini. Mana tidaknya usai menyediakan makan malan untuk En. Abah dan anak-anak, saya terus sahaja mandi dan meletakkan kepala di bantal sambil 'mengempeng Aiman". Sebelum lena, saya sempat berpesan pada En. Abah agar kejutkan saya kerana banyak lagu urusan rumah yang belum selesai.

Biasanya selepas tertidur, saya akan bangun semula untuk membasuh pinggan (jika ada), menyidai kain (jika En. Abah membasuh & belum menyidainya) dan menggosok baju sekolah anak-anak dan kerja suami. Tetapi kali ini saya terasa begitu letih. Saya hanya mampu bangun pada pukul 11.30 malam hanya untuk membuatkan susu Aiman dan sempat memakaikan lampin anak-anak (Adam & Aqil, walaupun dah besar). Kemudian saya terus sambung tidur dan berharap agar mampu bangun menggosok baju.

Akibatnya, menjelang pukul 4 pagi saya kembali bangun. Itupun setelah mendengar rengekan Aiman. Tubuh terasa sedikit segar dan saya gigih membuka mata untuk menggosok baju anak-anak dan kerja En. Abah.

Dan hari ini, keletihan itu kembali. Terasa bagai di awang-awangan sahaja. Dengan mulut yang terasa payau. Saya terasa mahu rehat yang cukup sambil melumur kepala dengan minyak angin cap Kapak. Nak kata lapar dah banyak yang saya makan, tetapi tubuh seperti lemah tidak bermaya. Apakah ini disebabkan kehamilan kali ini. Benar hamil di usia lewat agak memenatkan. Jika dulu, saya aktif ke sana ke mari membuat tugasan luar. Malah rasanya lebih gigih daripada mereka yang tidak hamil.

Mungkin faktor usia menyebabkan saya jadi begini. Namun semalam ketika melakukan pemeriksaan, Tidak pula doktor memberitahu tekanan darah rendah atau sebaliknya. Sebenarnya saya dan En Abah tidak merancang menambah anak (cukup dengan empat cahayamata) kerana lelah dengan empat yang sudah ada. Namun siapa tahu, ini rezeki Allah dan kami menerimanya dengan berlapang dada.

Dalam situasi begini saya perlu akui kekuatan saya tidak lagi seperti dulu. Kini saya terasa begitu malas sekali. Kalau boleh mahu sahaja berehat sepuas-puasnya sambil orang lain menyediakan keperluan isi rumah. Namun apakan daya, saya tidak pernah memakai khidmat bibik. Pernah terlintas untuk cuba-cuba ada pembantu rumah, tetapi saya lebih senang uruskan sendiri keluarga. Ramai juga berpesan bila anak sudah bertambah bolehlah guna khidmat pembantu rumah.


Bersama dua artis popular, Datuk CT dan Rita ketika sesi fotografi Edisi Syawal 2012, mengandung anak ke empat juga.

Impaknya (tiada pembantu) bila segala urusan rumah mahu dibuat sendiri menyebabkan saya mudah letih dan penat. Mungkin juga selepas ini saya perlu memikirkan kembali khidmat pembantu rumah ataupun kaedah baru bagi mempercepatkan kerja-kerja rumah (ada ke). Kadang-kadang terlintas juga difikiran mahu sahaja berhenti kerja dan jadi blogger sepenuh masa. Ermmm (akan difikirkan jika benar-benar sudah tidak larat).

Belum lagi berhadapan dengan kerenah anak-anak yang kadang-kadang menyesakkan fikiran. Namun bila fikir, mereka tu masih kecil menyebabkan saya mudah simpati apabila sudah memarahi. Misalnya malam tadi, apabila Adam dan Aqil bergaduh hingga memecahkan salah satu barang, saya terus naik angin. Apa lagi enak sahaja batang pembaris hinggap di badan mereka. Dan selepas itu saya jadi kasihan bila mereka merajuk tidak mahu makan (selalunya cukup teruja bila saya masak).

Benar, kehamilan kali ini betul-betul bukan sahaja mengujakan saya, tetapi meletihkan. Kadang-kadang saya jadi cepat sensitif. Kandungan baru berusia 7 minggu dan saya perlu melalui tempoh yang panjang iaitu lagi 33  minggu. Apakah keadaan sama akan saya lalui atau menjadi bertambah worst? Saya hanya mampu berdoa agar dipermudahkan dan terus diberi kekuatan oleh Tuhan dalam menjaga keluarga Syed & Syarifah Junior.



Gigih buat event SDK, walaupun sarat hamil.

Tatkala bertanya beberapa rakan yang sama 'Club' (no 5) Ayu dan juga Marliana, semuanya mengakui agak penat sedikit dengan kehamilan kali ini. Seperti Marliana dia mengambil beberapa supplemen daripada produk Shaklee untuk kembali cergas. Manakala Ayu pula mungkin sama, cuma saya tahu dia ada pembantu rumah. Mungkin juga keletihan dialami tidak seperti saya yang perlu uruskan segalanya.

Saya perlu kuat dan cergas mengharungi 33 minggu mendatang. Saya tidak boleh manjakan diri dengan situasi yang berlaku. Malah saya perlu set minda saya seperti kehamilan anak pertama. Kesihatan dan juga pemakanan perlu dijaga sebaiknya seperti mula-mula hamil dulu. Jangan bezakan kehamilan kali ini dengan yang sebelum ini. Mungkin ini kehamilan terakhir (ada rancangan untuk mengambil beberapa kaedah perancang kehamilan) dan saya perlu ekstra energi menghadapinya. Bagi saya lewat usia sekadar faktor penyebab kepada kemalasan. Apa yang penting saya perlu ceria dan seronok melalui kehamilan kali ini.

TIP CERGAS KETIKA HAMIL:

1. DAPATKAN TIDUR YANG CUKUP
2. MAKAN, MAKANAN YANG SEIMBANG
3. SENTIASA BERSIKAP POSITIF
4. BANYAKKAN MINUM AIR KOSONG
5. BANYAKKAN BERJALAN & BERGERAK
6. SENTIASA CERIA

Hot Mama Reen
17:14 pm


Bersama Mirie ketika Karnival Karangkraf 2012, masa ini perut tak berapa besar. Tetap cergas promote majalah SDK

 

No comments:

Post a Comment