Monday, November 11, 2013

SENYUM DALAM TANGISAN...

12/11/2013
10:49 am

Salam,

Rindu serindu rindunya saya untuk menulis entri di blog ini. Kali ini saya bukan malas atau tiada masa. Tetapi suatu yang saya anggap sebagai dugaan terhebat sepanjang 38 tahun hidup di muka bumi Allah.

Hari ini saya gagahkan diri untuk menulis dan menghabiskan entri ini. Walhal otak saya masih ligat berfikir dan mengingati dugaan yang Tuhan beri pada saya. Ya benar..saya masih lagi fikir dan kenapa ia terjadi pada saya. Namun saya akur dengan ketentuan-Nya dan saya perlu meneruskan kehidupan ini demi empat anugerah comel kurniaan Tuhan.

Jika yang mengikuti entri ini dan tidak tahu, sure tertanya-tanya dugaan apa yang saya hadapi? Mungkin bagi sesetengah orang dianggap kecil, tetapi bagi saya (yang tidak pernah melaluinya) ia cukup besar.

Sebenarnya minggu lalu, 7/11/2013 saya menjalani check-up bulanan (untuk kehamilan) untuk kali kedua di sebuah hospital swasta. Saya begitu teruja untuk melihat perkembangan janin dalam perut saya ni. Setelah agak lama menunggu, saya dipanggil nurse bertugas untuk bertemu doktor.

Saya sempat berbual kosong dengan doktor wanita berkenaan yang juga cukup ramah. Saya katakan padanya, saya gemar makan (memandangkan berat naik 1 kilo) dan beritahu anak-anak sebelum ini pun kelahirannya lebih 3 kilo. Dia nasihatkan saya agar jangan makan banyak bimbang sukar untuk bersalin kelak. Saya hanya gelak kerana selera makan memang tidak boleh control terutama hujung kehamilan.

Tiba masa yang ditunggu apabila saya disuruh berbaring untuk menjalani ujian ultrasound. Pada mulanya doktor mencari-cari janin kecil dalam perut saya. Memang jumpa tetapi apabila ingin melihat degupan jantung. Ia tiada. Waktu itu hati saya mula berdegup kencang.

Setelah doktor pusing-pusing lagi alat itu dan melihat sebetulnya, sah memang tiada denyutan jantung. Menurut doktor, walau kecil denyutan jantung tetap akan kelihatan. Waktu itu dia bagi tahu janin tidak berkembang normal dan sudah tiada. Saya tanya kenapa, sebab tidak pernah jadi pada kehamilan sebelum2 ini. Maklum bukan hamil anak pertama tetapi kelima.

Doktor bagi tau mungkin disebabkan pelbagai faktor dan salah satunya faktor usia. Biasanya jika tidak berkembang, janin akan gugur dalam tempoh itu. Dia menawarkan saya pelbagai pilihan. Memberi ubat dan ia akan terkeluar sendiri, tunggu sahaja sehingga keluar sendiri ataupun menjalani proses D&C. Saya perlukan masa untuk berfikir kerana masih terkejut.

Sebaik melangkah keluar dari bilik doktor, saya seperti berada dianganan. Betul ke semua ini dan saya masih tertanya-tanya. Waktu itu serius tidak ada rasa sedih. Saya sempat whtsapp En. Abah dan beritahunya 'Aiman tidak sempat jadi abang'. Tidak lama kemudian En. Abah telefon dan waktu itulah air mata keluar tanpa henti.

Dalam kereta ketika perjalanan balik ke pejabat, saya masih lagi menangis. Suatu perasaan sedih mencengkam jiwa saya. Walaupun pada mulanya kami tidak bersedia, namun saya menerima 'kehadirannya' dengan hati terbuka. Malah sudah membayangkan keseronokan jika punya anak 5.

Saya juga sempat post status dalam FB dan nyata mengundang pelbagai pertanyaan. Saya syukur punya teman-teman yang begitu prihatin. Semuanya menyatakan rasa simpati dan berpesan supaya saya berehat dan terima dugaan ini dengan reda.

Memang saya reda tetapi saya masih lagi tertanya-tanya. Mungkin betul faktor usia menyebabkan kandungan kali ini tidak seperti selalunya. Seperti kehamilan sebelumnya saya cukup lasak buat itu ini dan makan apa sahaja. Rupa-rupanya usia saya sekarang ini tidak boleh dijadikan ukuran untuk kembali cergas dan aktif walaupun hamil.

Saya menjalani proses D&C dan diberi MC 2 minggu. Rupanya pantang keguguran juga sama seperti jika kita melahirkan. Malah menurut carian google, lebih sukar dan susah kerana tidak tahu luka di bahagian dalaman. Saya hanya pantang apa yang boleh kerana dalam masa sama perlu uruskan keluarga.

Sebenarnya saya tidak boleh tinggal sendirian dan tidak buat apa aktiviti. Bukannya apa nanti fikiran saya teringat dugaan lalu dan bimbang boleh 'meroyan'. Oleh sebab itu saya gagahkan untuk menulis entri di blog ini. Lagipun bb Aiman saya tinggal di rumah pengasuh. Jadi saya punya masa untuk menulis. Cuma semangat perlu kuat untuk terus menulis dan menulis.

Sepanjang bercuti ini, saya memang malas nak angkat phone (minta maaf jika ada teman pejabat yang call). Saya malas nak bercerita tetapi hanya melayan melalui whatsapp sahaja. Tak susah hanya taip guna jari berbanding nak cakap melalui mulut.

Walaupun saya sudah ok, tetapi jauh di sudut hati saya masih lagi bersedih. Perasaan sedih itu begitu cepat menular dalam hati terutamanya jika melihat suatu yang sensitif. Saya rasa kesedihan ini begitu lain berbanding kesedihan lain. Maklum sebelum ini saya anggap diri saya hepi go lucky, jadi apabila diuji dugaan ini buat saya cukup sedih.

Biar apapun yag berlaku, saya doakan yang baik-baik untuk diri serta keluarga saya. Semoga Tuhan menemukan saya 'dengannya'  di akhirat kelak.


Hot Mama Reen
11:35 am


Empat kurniaan Tuhan yang comel-comel.




































































No comments:

Post a Comment