Wednesday, November 13, 2013

MACAM CANTIK JER...

13/11/2013
12:36 pm

Salam,

Saya mula seronok untuk menulis entri mengenai fesyen. Walaupun bukan terlalu ekstrem berfesyen tetapi seperti yang saya kata, saya memang suka melihat orang-orang yang berfesyen. Lebih-lebih lagi fesyen hijab yang begitu mendominasi kini.

Lebih seronok jika yang berhijab itu artis. Saya akan belek bagaimana mereka menggayakan tudung yang begitu cantik lilitannya (bagi sesetengah orang). Padahal saya tahu, pelbagai pin dicucuk pada tudung berkenaan. Ya memang nampak cantik, hakikatnya menyeksakan untuk menggayakannya.

Zaman saya mula-mula bertudung dulu, selain tudung sekolah (saya mula pakai sejak sekolah menengah) hanya ada selendang empat segi sedikit bercorak. Dan saya hanya akan ikat biasa sahaja dengan ikatan reben di bawah dagu (ketika mula-mula bekerja sambilan di pejabat kerajaan).

Tidak tahu lilitan lain. Apatah lagi tiada rujukan melalui youtube atau internet. Waktu itu, ramai orang begitu sinis pandang pada yang bertudung. Nampak tak cantik menurut mereka. Ketika di universiti juga, tudung jenis seperti bawal begitu glamor. Masih saya ingat corak geometri, jalur dan parsley begitu mendapat tempat. Masih dengan cara ikatan sama tetapi kali ini saya hanya juraikan sahaja di depannya dengan selitan di kanan dan kiri telinga. Itu dah kira nampak cantik dan meletop.

Saya perasan revolusi hijab ini bermula sekitar tahun 2000. Ketika itu terkenal dengan tudung sarung Wardina (kerana Wardina yang memakainya). Tudung sarung berawning ini tampak mudah dan selesa sekali. Pada masa itu, saya dan beberapa teman yang obses, Mama Itt dan Mashitah gigih ke butik Munawwarah yang memang terkenal dengan tudung sarung berawning ini.

Tudung sarung awning oleh Butik Munawwarah ini cukup selesa dipakai.
Badannya hitam tetapi awning didatangkan pelbagai warna.

Memang mahal, tetapi berbaloi kerana jahitannya cukup cantik dan kemas. Sanggup pergi ke sana, semata-mata untuk menggayakan fesyen terbaru mereka.

Kemudian fesyennya mula beralih kepada bawal dan memang begitu popular tudung ini. Senang nak pakai dan didatangkan dengan pelbagai warna. Lebih glamer yang bermanik serta renda di bahagian tepi.

Masa terus berubah dan seperti hari ini, ramai berlumba-lumba untuk tampil dengan hijab lain. Kalau ikutkan tak terkejar dek revolusi hijab. Macam-macam fesyen digayakan. Pilihan di tangan anda.

Siapa mahu yang simple, gayakan sahaja tudung sarung kosong atau corak. Atau jika mahu tampak hebat dan eksklusif, sarungkan sahaja tudung jenama mahal seperti Fareeda, Pearl Haya (pernah gila juga dengan Mama Itt membeli tudung ini), De Haja dan sebagainya.

Atau yang mahu simple (sepeti saya) sarungkan sahaja pashmina (love untuk memakainya, saya hanya letak dan lilit di kepala). Jika mahu gaya lain, terjah youtube dan pelbagai gaya boleh diikuti.

Sapa kata mama tak bijak bergaya, lihat sahaja Mama Itt (tepi kiri) dan Mala (tengah),
cantik dengan gaya hijab masing-masing. Saya selesa dengan gaya pashmina.


Daripada hanya satu butik, pelbagai butik dibuka bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ada butik Ustazah, Sugarscarve, Radiusite, Jelita Sara, Ummiriaz, Maira Collection, Najjah (kami juga turut suka shopping di sini), butik Mama dan pelbagai lagi nama.

Masing-masing dengan rekaan tersendiri dan cuba menambat hati penggemarnya (terutamanya ketika raya, sale gila-gila). Terbit rasa bangga (dihati penggemarnya) jika dapat memakainya terutama di hari penting seperti raya atau majlis dinner.

Bukan sahaja di alam realiti, butik maya juga turut mendominasi fesyen hijab. Buka sahaja FB, ada sahaja page fesyen hijab yang dicadangkan. Ada yang menarik untuk saya like dan ada yang saya pandang sekali lalu.

Walau apa sekalipun pandangan anda mengenai fesyen hijab, bagi saya 'less is more'. Jika anda bijak, sarungkan sahaja inner neck (Eizan Ariffin ada jual dan innernya terbaik) dan layangkan sahaja selendang di kepala. Apa bentuk dan gaya yang anda mahu dengan pemakaian inner neck segalanya jadi sempurna.

Dan hari ini (setakat entri ditulis) selendang glitter pula yang begitu popular. Rata-rata post gambar mereka tengah menggayakan glitter shawl ini. Sedikit masa dulu (saya pernah pakai, beli di Najjah) kalau pakai rasa segan, terasa cukup glamer. Macam nak pegi parti. Tetapi kini tidak lagi dan siapa sahaja boleh menggayakan glitter shawl yang didatangkan pelbagai warna.


Demam glitter shawl melanda kini...saya dah dulu menggayakannya. Gambar raya 2010.

Selepas ini apa agaknya selendang yang akan mendominasi pasaran. Sama-sama kita nantikan. Dan saya akan terus setia menggayakan pashmina ataupun bawal (seperti sahabat saya, Datin Norjuma, pemilik Aidijuma). Tetap cantik dan nampak klasik gitu.


With Juma..yang tetap setia menggayakan bawal dengan kelas tersendiri.

Hot Mama Reen
13:07 pm











No comments:

Post a Comment