Wednesday, October 30, 2013

PENANG...HERE WE COME

31/10/13
11:32 am


Salam,


Semalam balik dari pejabat saya sempat menonton drama bersiri 'Love U Mr Arrogant' (sebelum ini asyik tak sempat sebab memasak). Seronoknya dapat berehat sambil makan kudapan ringan dan menonton siri kegemaran. Rasanya dah nak habis drama ini memandangkan hanya tinggal beberapa episod lagi.

Dan semalam drama berkenaan memaparkan aksi Zara dan Ikram sedang bercuti di Pulau Pinang. Ohhh! Saya memang elegik dan cukup teruja mendengar nama Pulau Pinang atau Penang itu. Bukan alergik kerana benci atau jijik, tetapi amat-amat menyukai negeri kecil berkenaan.

Tidak kisahlah negeri yang turut dipanggil Pulau Mutiara ini dikuasai oleh siapa, namun itu cerita sekarang. Penang sebenarnya begitu dekat dengan jiwa saya. Di sinilah segala-galanya bermula. Daripada sekadar gadis biasa, kini saya mampu tersenyum dan bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Sebelum ini saya memang sudah lama bercita-cita untuk bergelar wartawan dan membayangkan saya menjadi wartawan di surat khabar (bukan majalah seperti sekarang). Cita-cita itu begitu meruap di jiwa saya tatkala melihat filem lakonan Julia Rais dan Ridzuan Hashim dalam Hati Bukan Kristal.

Dalam cerita itu Julia Rais bertindak sebagai wartawan. Sejak itu saya bercita-cita untuk menjadi wartawan. Saya mula terbayang bagaimana gigihnya seseorang wartawan itu mencari berita dan dalam masa sama perlu menaip story.

Malah saya pernah (ketika di tingkatan enam atas/bawah) pergi ke branch surat khabat Berita Harian di bandar Temerloh dan bertemu dengan wartawannya. Sejak itu saya mula belajar menulis berita dengan Zaihasra (nama pena) seorang wartawan senior yang juga hanya stringer BH di Temerloh.

Minat semakin mendalam untuk menceburi bidang kewartawan ini dan ketika itu hanya terbayang UiTM yang menawarkan kursus Sebaran Am (ketika itu). Jadi saya belajar bersungguh-sungguh dan mengambil STPM (sesetengah orag sahaja yang berminat mengambilnya) untuk melayakkan mendapat tempat di pengajian tinggi.

Namun destinasi saya berubah apabila membaca novel Sindora karya hebat penulis Shamsiah Mohd Noor. Dalam novel itu, seorang gadis bernama Sindora yang belajar di USM Pulau Pinang dan penulis turut menggambarkan betapa indah dan cantiknya universiti ini.

Apa lagi saya terus membayangkan untuk belajar di situ dan mengambil kursus Komunikasi. Alhamdulillah saya berjaya menempatkan diri di USM pada 1995 dan memang ia seindah yang disangka. Terletak di atas bukit dan kita akan lihat pemandangan Selat Melaka dengan latar belakang Jambatan Pulau Pinang yang merupakan keempat terpanjang di Asia Tenggara.

Oleh sebab itu, saya begitu mengkagumi Penang. Di sini, pelbagai memori suka dan duka tercipta. Kata orang kursus ini (komunikasi) senang nak lulus. Tapi saya ambil peluang untuk belajar dan dalam masa sama merasai keseronokan bergelar pelajar pengajian tinggi bersama teman-teman Cak, Angah, Dayod, Zie, Mawa, Pakcik, Panjang, Ajis, Rosman, Shaimi, Sudir, N, Noor, Hindun dan beberapa teman lagi.


Teman-teman yang menceriakan kehidupan sepanjang empat tahun di USM, Penang.

Masing-masing yang dulunya cuma budak hingusan kini sudah berjaya dalam bidang diceburi. Ada yang jadi orang kuat Perkeso, orang kuat BH orang kuat LADA, Langkawi, orang kuat MPAJ, orang kuat Takaful, orang kuat UNIMAP, cikgu dan macam-macam lagi. Saya bangga sekali dengan pencapaian mereka (kini masih berhubung melalui FB).

Momen empat tahun menimba ilmu di Penang begitu manis untuk dikenang. Zaman di mana perlu berjimat cermat memandangkan hanya bergantung pada duit pinjaman JPA (alhamdulillah sudah selesai langsai hutang). Setiap kali membelek gambar-gambar lama bersama mereka, saya akan tergelak seorang. Kalau dulu kurus melidi dan kini semuanya sudah jadi seperti Mr Asia (baik lelaki ataupun perempuan).

Penang juga kaya dengan pelbagai makanan yang enak. Tidak sah jika ke Penang tidak mengunjungi gerai nasi Kandar Gelugor, Jeruk Chowrasta, Pasembor Padang Kota dan pelbagai lagi tempat menarik. Oleh sebab itu saya katakan Penang begitu dekat di hati saya. Malah kalau boleh saya mahu masukkan Penang dalam kalendar tempat percutian yang mesti saya sekeluarga kunjungi setiap tahun.

Dan sebagai bekar pelajarnya, saya akui USM antara universiti terbaik dalam melahirkan graduan yang mahu bergelar wartawan sama ada di akhbar, majalah ataupun televisyen (mengikut pengalaman). Saya bangga menjadi sebahagian daripada Alumni USM.


1995-1999 - MINDEN DALAM KENANGAN...

Hot Mama Reen
14:16 pm


SAYANG-SAYANG DISAYANG

30/10/13
11:32 am


Salam,

Pagi tadi macam biasa ketika mendengar berita ringkas di Hot FM, saya terkejut dengar bagaimana pasangan di Balik Pulau, Penang yang bercerai setelah 3 jam berkahwin. Pasangan muda itu mengambil keputusan bercerai setelah selesai majlis akad nikah. Dalam hati tertanya-tanya kenapa perkara begini boleh terjadi? Jika tidak suka kenapa perlu berkahwin? Atau ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan keduanya terpaksa mengucapkan kata-kata perpisahan.

Lebih elok rasanya masing-masing-masing mengemudi jalan hidup sendiri daripada makan hati berulam jantung. Bagi saya dewasa ini kahwin muda seperti menjadi tren terkini. Setelah tamat belajar (tidak kira yang sekadar SPM atau lepasan degree) masing-masing ambil keputusan berkahwin awal. Namun bukan mudah untuk melayari bahtera perkahwinan ini.

Pelbagai perkara perlu diambil kira. Bukan sahaja dari segi kewangan tapi meliputi pelbagai aspek. Jika tidak bersedia mental dan fizikal, jangan ambil keputusan untuk berkahwin. Bukan apa, jika terlalu muda, lebih menurut kata hati dan bimbang berlaku perceraian di kemudian kelak. Namun jika berkahwin untuk menghindari maksiat amat-amat digalakkan.

Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa yang mana mengemudi sebuah bahtera bersama agar tidak dilambung ombak dan badai. Baik suami atau isteri perlu ada sikap saling memahami, bantu membantu dan percaya antara satu sama lain. Elakkan juga sifat cemburu yang sememangnya boleh menganggu gugat hubungan sedia ada.

Namun jodoh itu semua di tangan Tuhan. Ada juga sesetengah pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi jodoh mereka hanya separuh jalan. Ibarat kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Misalnya cerita seorang teman yang mengambil keputusan untuk berpisah setelah usia perkahwinan mencecah 10 tahun dan punya dua anak.

Alasannya kerana sudah bosan dengan sikap suami yang tidak romantak seperti diawal perkenalan mereka. padahal ketika di universiti, kedua-duanya dianggap 'loving couple' kerana di mana ada teman saya itu pastinya ada si dia. Usai habis belajar, kedua-duanya berkahwin dan kemudiannya di kurniakan dua cahayamata.

Walaupun terkejut dengan berita perpisahan mereka, tetapi saya anggap mereka sudah tiada jodoh. Teman saya itu akhirnya berkahwin kali kedua dengan pilihan hatinya yang juga teman sepejabat. Saya mendoakan agar teman saya berjaya menemui cinta sejatinya dan tidak akan rasa jemu dengan cinta hati barunya itu (lama tidak mendengar berita darinya).

Bagi saya dalam sesebuah perkahwinan, perlu ada cara untuk kita menawan hati pasangan. Tidak kisah berapa lama usia perkahwinan anda. Lagi lama lagi perlu bagi setiap pasangan itu menghangatkan kembali hubungan. Mungkin beberapa tip ini boleh anda atau pasangan (yang membaca entri ini) jadikan panduan dalam melayari kehidupan berumahtangga.

6 CARA DIRI DISAYANGI PASANGAN

 1. Cuba belajar memasak
Biasanya kerja memasak adalah urusan orang perempuan, tetapi apa kata untuk mengambil hati pasangan anda cuba belajar memasak. Anda boleh belajar melalui kelas masakan ataupun dari buku resipi.

2. Ringan tulang
Pasangan juga perlu mengamalkan sikap ringan tulang dalam membantu urusan rumah tangga. Jangan biarkan isteri keseorangan membuat kerja rumah kerana banyak urusan yang perlu difikirkan. Apatah lagi kedua-duanya bekerja dan jika ada kelapangan tidak salah membantunya.
 
3. Sering hubungi pasangan
Anda juga digalakkan agar sentiasa menghubungi melalui telefon pasangan dari masa ke semasa. Biarpun sekadar mengucapkan ‘hai’ padanya sudah memadai tanda anda sentiasa mengingatinya. Ketika menelefonnya juga jangan lupa ucapkan perkataan I Love U yang mungkin memberi makna tersendiri padanya.

4. Berikan pasangan hadiah
Anda juga digalakkan memberi hadiah kepada pasangan terutamanya ketika hari-hari istimewa seperti ulang tahun perkahwinan ataupun hari jadi. Walaupun sekadar kad ucapan tetapi sudah memadai tanda diri anda dihargai.

5. Sesekali buat kejutan
Untuk membuat diri anda disayangi oleh pasangan apa kata anda buat kejutan untuknya. Tidak kiralah kejutan sempena ulang tahun kelahiran atau sekadar kejutan biasa. Misalnya anda memanggil pakar untuk menukar ruang tamu rumah atau bilik tidur sebagai kejutan kepada pasangannya.

6. Sering berkomunikasi dengan pasangan
Pasangan yang baik mestilah sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain. Jika dia bercerita, anda perlu jadi pendengar setia sambil memberi pandangan atau idea bernas. Anda diingatkan agar memberi sepenuh perhatian ketika dia sedang bercerita supaya hatinya tidak tersinggung.

 * Pelbagai lagi tip suami isteri boleh didapati dalam majalah Seri Dewi & KELUARGA atau layari  http://sdkeluarga.karangkraf.com/

Hot Mama Reen
16:30 pm
 
Terima pasangan seadanya.
 

 


Sunday, October 27, 2013

JANGAN IKUT KATA HATI

28/10/13
10:58 am

Salam,

Dua hari tidak menulis di entri ini, rasa rindu bertamu di hati. Tangan ini memang gatal nak mencoret sesuatu tetapi kekangan masa di rumah menyebabkan niat terbantut. Walau apapun saya kuatkan semangat untuk kembali menulis di entri ini.

Sabtu lepas, setelah balik dari KL (rumah mentua & abang mengambil pemanggang ajaib Hasnita & Linda) dan sampai rumah. Adam mengadu lapar, walhal jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Sebelum itu kami dah makan malam di rumah abang, tetapi saya perasan dia tak makan kerana mulutnya (ulser) sakit.

Melihat wajahnya yang monyok saya kemudiannya mengajak Aqil meneman ke restoran makanan segera untuk membeli bubur (katanya bubur sesuai untuk yang mengalami sakit mulut). Walaupun sudah menginjak ke 10.30 malam, tetapi masih ramai mengunjungi 'drive thru' restoran segera ini.

Sedang menanti giliran, saya terbayang saat 20 tahun lalu saya juga pernah ada pengalaman kerja di sini (di Shah Alam). Waktu itu, saya baru pucuk muda seawal 18 tahun dan menunggu keputusan STPM (dengan harapan dapat masuk U). Oleh kerana malas nak duduk rumah (tiada apa nak buat pun), saya gagah diri berhijrah ke Shah Alam. Menumpang tidur sementara di rumah sepupu di seksyen 16, Shah Alam. Rumah flat empat tingkat satu bilik itu menjadi rumah tumpangan sementara sebelum mencari kediaman lain.

Saya begitu menghargai sepupu saya (mereka sudah berkahwin & ada 3 adik yang turut menumpang di rumah sama). Setiap hari jika ke rumah sepupu, saya akan terpandang ke arah menara bertingkat di UiTM yang berkilauan lampunya. Malah saya berangan satu hari nanti saya akan jejakkan kaki ke situ.

Berbalik soal tadi, saya kemudiannya mencari rumah sewa lain dan berjaya mendapatkannya di Seksyen 18 Shah Alam. Saya cuba minta kerja kilang, tetapi seperti tidak berkenan dan saya nekad minta kerja di restoran segera Mc Donald di PKNS Shah Alam. Alhamdulillah berjaya mendapat kerja di situ sebagai krew, walaupun mereka seperti tidak percaya sijil SPM yang ditunjukkan. Gaji yang diterima tidak banyak iaitu dalam RM3.50 sejam dan saya bekerja secara full time.

Untungnnya kerja di sini ialah makan free (kadang-kadang burger dan sekali sekala sahaja diberi ayam goreng). Pada mulanya saya bekerja sebagai krew yang membersihkan meja hidangan. Saya tidak kisah dianggap 'cleaner' kerana yang penting dapat duit dan halal.

Setiap kali melihat melanggan yang datang (kebanyakan student maybe UiTM) saya sering terbayang saya juga akan jadi seperti mereka. Sewaktu di sini, saya memang gigih bekerja dan kalau boleh mahu tahu prosedur cara membuat burger ataupun semua bahagian.

Biasanya hari minggu paling sibuk kerana ramai orang. Saya juga akan mengambil OT untuk kerja hari minggu. Maklumlah duduk rumahpun tiada sesiapa dan waktu itu tidak kenal sesiapa even lelaki. Alhamdulillah walaupun saya pertama kali bekerja di bandar besar, tetapi berjaya menghindar diri dari perkara tidak elok ataupun 'culture shock'. Berkat bekalan iman didada yang diajar oleh keluarga, alhamdulillah.

Otak saya ketika itu hanya berfikir untuk mencari duit sahaja, walaupun tahu gaji diterima tidak memberangsangkan. Daripada menjadi cleaner di meja, saya diberi kepercayaan menjaga kaunter. Kalau di Mc'D ini ibarat naik pangkat le. Namun saya perlu berwaspada agar duit tidak 'shot' ketika membuat 'closing counter'. Seingat saya, tidaklah sampai pernah 'shot' duitnya.

Hampir 3 bulan saya bekerja di sini dan pelbagai pengalaman saya kutip. Daripada sekadar tahu membersihkan meja, saya tahu cara mengemop lantai (ada cara tertentu), memotong sayur, memasak burger, menggoreng kentang dan sebagainya. Dan saya rasa hingga sekarang cara itu adalah sama kerana ia menggunakan mesin dan cara yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Namun rezeki saya hanya tiga bulan, kerana saya kemudiannya mendapat kerja lain iaitu kerja sambilan di Kementerian Pendidikan (akan saya cerita di entri akan datang). Tatkala menghantar surat berhenti, pihak pengurusan seperti sukar untuk melepaskan (mungkin sebab saya rajin dan jujur, he3). Malah, mereka mengoffer jawatan seperti penyelia di sini. Tetapi saya tolak kerana waktu itu saya bukan berniat untuk kerja full time, tetapi sekadar mencari duit poket dan mahu menyambung pelajaran.

Saya tidak buta mata untuk terus bekerja kerana yakin keputusan STPM akan membawa saya ke satu tahap lebih tinggi. Memang benar dan keputusan saya tepat. Bayangkan waktu itu jika kata hati saya setuju dengan tawaran, mungkin saya tidak akan memijak pusat pengajian tinggi. Maklum buta mata melihat tawaran yang diberikan (padahal tidak banyak). Atau mungkin juga saya akan sambung pelajaran selepas itu (biasanya sesiapa dah bekerja agak sukar untuk sambung).

Memang ketika itu saya tidak mensasarkan untuk bekerja terus tetapi sekadar mencari wang poket memandangkan dari keluarga susah. Namun seawal usia 18 tahun, saya sudah berani ambil keputusan untuk bekerja dan jauh dari keluarga. Saya agak degil sedikit dan yang ini saya memang ikut kata hati. Jauh di sudut hati saya bersyukur kerana punya pengalaman hidup di bandar besar (walaupun Shah Alam), dan paling penting tidak terdorong melakukan perkara yang tidak baik.

Maklum sahaja dewasa ini ramai yang datang ke kota dengan tujuan mencari rezeki tetapi akhirnya lupa siapa diri mereka sebenar. Dan setiap kali saya memandang rumah sewa lama di Seksyen 18, pasti mengimbau kenangan lalu (especially momen mi cawan). Keadaannya tetap sama dan hari ini (sudah hampir 10 tahun) saya kembali ke sini tetapi dengan status berbeza.

Begitu juga setiap kali melihat adik-adik yang bekerja di restoran segera akan mengingatkan kenangan saya 20 tahun lalu. Saya juga pernah lalui pengalaman itu dan jangan bohong mengenai etika kerja di situ. Oh, untuk pengetahuan saya bukan sahaja berpengalaman bekerja di Mc'D, malah A&W juga. Ingatan saya, walau di mana anda berada, ingat Tuhan dan niat sebenar untuk apa. Kadang-kadang pengalaman lalu banyak mengajar kita erti kehidupan sebenar.



Hot Mama Reen
11:29 am

Bersama teman-teman memeriahkan Karnival Karangkraf 2013 yang lalu...
20 tahun lalu jika ikut kata hati mungkin saya tidak berada seperti hari ini.

Thursday, October 24, 2013

HARI-HARI TIDAK SIHAT

25/10/13
11:11 am

Salam,

Oh! Hari ini rasa sungguh tidak selesa. Kepala berdenyut-denyut dan hidung pula seperti ada sesuatu yang tersumbat. Bersin pula tak sudah-sudah. Tekak apatah lagi, perit dan sukar untuk menelan makanan. Kalau ikutkan hati rasanya nak saja letak kepala atas bantal dan tidur tanpa sebarang gangguan. Rasanya dah lama tak kena selesema yang saya rasa memang menyesakkan pernafasan. Yang dewasa ni pun sukar bernafas apatah lagi jika selesema melanda bayi. Alamatnya mama tak tidur malam ler.

Nak telan sebarang ubat, bimbang memudharatkan diri. Maklum jika seseorang itu hamil, tidak boleh makan sebarang ubat (hanya yang dippreskripsi oleh dr sahaja).  Apa yang saya mampu buat, hanya tenyeh minyak angin cap kapak di hidung sahaja. Memang saya akui mengandung di usia agak lewat ini begitu banyak cabarannya. Faktor usia yang semakin 'emas' membuatkan keaktifan tidak seperti dulu.

Tetapi dalam soal bekerja, ia tidak diambil kira. Buang jauh-jauh perasaan malas atau rasa tidak sihat. Nanti dikatakan tidak produktif. Tetapi untuk hari ini, saya betul-betul rasa kurang sihat. Fikiran mula terbayang enaknya menghirup sup panas yang boleh memanaskan perut. Di tambah dengan cuaca lembab di luar menyebabkan saya rasa lebih tidak menyeronokkan untuk bekerja. Cuaca begini mengundang rasa untuk lena.

Ehemmm...saya perlu kuat untuk menjalani tempoh 30 minggu akan datang. Saya perlu bertenaga menghadapi kehamilan kali ini seperti kehamilan terdahulu. Walaupun tidak berdepan dengan alahan seperti muntah, namun kerap kali kepala sakit menyebabkan saya memang rasa kurang selesa. Berbanding teman-teman lain, Emi dan Wani (mereka ini masih muda & kuat), saya lihat keduanya baik-baik sahaja. Terbayang saya lima enam tahun dulu tatkala mengandung anak kedua dan ketiga. Ligat ke sana ke mari mencari bahan.

Betapa masa berlalu begitu pantas. Daripada anak pertama, masuk kedua, ketiga, keempat dan kini menunggu yang kelima (insya-Allah yang terakhir). Semoga saya terus diberi kekuatan untuk menghadapi segala dugaan sepanjang 30 minggu akan datang.Dan semoga bayi saya juga sihat dan comel seperti mamanya.

Hot Mama Reen
11:38


Bersama anak sulung, kedua & ketiga.

BAHAYA ADA DI MANA-MANA


24/10/13
14:41


Salam,

Hari ini sampai di pejabat (macam biasa, selalu lewat) kecoh bercerita mengenai seorang pegawai bank yang mati ditembak di kepala. Malah rata-rata di laman sosial menayangkan gambar si mati yang terbaring dengan keadaan mengerikan. Di tambah pula video bagaimana dia ditembak. Sebagai wanita dan ibu saya cukup bersimpati dengan nasibnya. Terus terbayang berapa orang anaknya dan bagaimana kehidupan keluarganya kelak.

Seorang teman memberitahu, dia mempunyai dua orang anak dan sebelum meninggal, suaminya sempat menghubungi mangsa dan berpesan supaya memandu kereta berhati-hati memandangkan hujan petang semalam. Siapa sangka itu merupakan percakapan terakhir bersama isteri tersayang. kalau mangsa tahu itu merupakan perbualan terakhir pasti berbakul-bakul pesanan dititipkan buat suami.

Namun siapalah kita di sisi Tuhan. Hanya Dia yang tahu ajal, maut dan jodoh itu. Betul kata orang malang tidak berbau dan boleh terkena di mana-mana sahaja. Apa yang penting kita perlu berhati-hati dalam apa jua perkara. Seperti juga kes di mana seorang wanita yang hilang tatkala menaiki basikal sendirian di kawasan perumahannya. Sampai sekarang masih belum ditemui lagi.

Saya rasa dalam dunia yang semakin tua ini, manusia semakin hilang pertimbangan. Tiadakah rasa sedikit belah kasihan kepada si mati yang dibunuh. Apakah guard (yang dikatakan membunuh pegawai bank) tidak ada isteri ataupun anak? Di mana akal fikiran yang Tuhan anugerahkan padanya hingga tergamak membunuh mangsa yang mungkin dikenalinya sebelum itu.

Apalah salah mangsa hingga sanggup diperlakukan sedemikian rupa. Oh! Saya agak, manusia ini semakin giler dan tidak tahu dosa dan pahala. Mungkin guard tadi rambang mata melihat lambakan duit dan cara itu (merompak) akan membuatkan hidupnya senang dan kaya. Tidak payah bersusah payah bekerja siang malam untuk mendapatkan duit yang banyak itu dalam sekelip mata. Guard itu melakukan jenayah itu tanpa berfikir kesan jangka pangjang. Akibatnya dia sudah ditahan di LCCT (menurut sumber akhbar) mungkin setelah di dapati bersalah, hukuman tali gantung layak untuk mereka (biar mahkamah tentukan).

Dalam hal ini kita sebagai wanita kena mengambil sikap berhati-hati (walaupun berada dalam kereta atau di rumah). Tidak tahu nasib di kemudian hari dan perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan atau bahaya mendatang. Bayangkan anak-anak (mangsa) yang masih kecil tetapi sudah kehilangan ibunya. Kecil-kecil lagi sudah hilang kasih sayang daripada ibunya.

Ibu ibarat sebuah mesin bergerak yang begitu penting dalam sesebuah keluarga. Bayangkan jika ibu sakit, diibaratkan seperti mesin rosak. Pasti akan 'jammed' urusan di rumah. Walau letih mana sekalipun, balik dari pejabat pasti kita akan segera ke dapur untuk menyediakan hidangan malam dan kemudian meneruskan kerja lain seperti membasih baju, lipat kain ataupun menseterika baju anak-anak. Berat tugasan itu dan bukan calang-calang wanita boleh menyandang jawatan sebagai ibu @ bibik @ guru @ tukang masak.

Jadi kita sebagai wanita ini, perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa menjaga keselamatan diri. Tidak kira di mana sekalipun anda berada. Tip dari saya, mudah sahaja:

1. Sentiasa berteman sekiranya mahu ke sesuatu tempat yang anda tidak pernah pergi.
2. Pastikan ada benda keselamatan dalam beg seperti penyembur lada atau benda tajam (penyepit kuku) untuk langkah berjaga-jaga.
3. Jangan membawa duit banyak sekiranya keluar rumah. Pastikan wang yang mencukupi sahaja untuk membeli barangan (lebih elok berbelanja secara kredit atau kad debit).
4. Sebaik sampai sahaja di rumah, segera tutup pintu dan masuk ke dalam rumah. Pesan juga pada anak-anak supaya tidak bermain di luar tanpa pemerhatian orang dewasa.
5. Segera lapor pada pihak berkuasa jika melihat ada orang asing berlegar-legar di kawasan rumah (biasanya menaiki motor atau kereta).
6. Jika parking kereta, jangan letak kereta di kawasan gelap ataupun tidak ada kenderaan lain berdekatan. Kalau boleh dapatkan parking di bawah lampu ataupun dekat dengan kawasan pintu masuk.
7. Diingatkan juga jangan senang termakan pujukan jika ada orang mendekati anda mengatakan dia tidak cukup duit tambang untuk balik ke rumah atau sebagainya. Bimbang mereka ada agenda yang tersembunyi.
8. Kalau boleh wanita digalakkan mempelajari seni mempertahankan diri untuk keselamatan.
9. Jangan sesekali membuka pintu kereta jika ada orang mengetuk dari luar (jika berhenti di persimpangan lampu isyarat) atau tiba-tiba ada orang berbaring di hadapan jalan. Bimbang mereka ini ada niat lain seperti mahu merompak.
10. Sentiasa berdoa kepada Tuhan agar kita dan keluarga dilindungi daripada bahaya.


Hot Mama Reen
16:01


Sentiasa berteman lebih-lebih lagi jika kita pergi ke negara asing.
Bersama ex-foto Karangkraf, Amie Green ketika tugasan di Bangkok.

Wednesday, October 23, 2013

LOVE U MR. TELEFON...

23/10/13
15:49 pm

Salam,

Semalam saya dan  beberapa teman memenuhi undangan makan tengah hari di restoran kegemaran ramai Serai di Empire Gallery, Subang. Cheng, pemilik butik 9 month yang memang telah lama saya kenal sudah lama mahu mengajak saya makan tengah hari. Saya masih ingat tahun lepas dia ada pelawa, tetapi saya tolak kerana ketika itu bulan puasa.

Dan semalam saya cuba penuhi keinginannya. Cheng memang seorang teman yang baik walaupun berlainan bangsa. Setiap kali perayaan Aidil fitri ataupun Raya Cina, Cheng tidak pernah lupa menghantar buah tangan. Sama ada limau, cadar, tudung, ataupun kuih raya. Oleh kerana itu, apabila mendapat panggilan telefon daripadanya pagi semalam, saya terus bersetuju untuk bertemu dengannya.

Alangkah enak menikmati hidangan di Serai (terkenal dengan pavlova). Dan saya memesannya walau perut sudah kenyang. Kata beberapa teman, Pavlova di Serai paling terkenal dan Hot di serata alam (walaupun agak manis sedikit). Betapa kenyang perut menikmati hidangan sambil rancak bercerita tentang perihal masing-masing. Cheng begitu gembira saya dan beberapa teman menerima ajakan makan tengahari.

Setelah kenyang, saya meminta diri untuk kembali ke pejabat. Dan ketika sudah berada di perut kereta, saya tercari-cari Mr Telepon yang biasanya diletakkan dalam beg. Alamak!! telepon saya tiada. Puas saya mengingat dan barulah perasan saya tinggalkan di atas meja makan. Tanpa memikirkan diri yang (mengandung) saya berlari menaiki lif ke restoran tadi. Dada berombak kencang dengan nafas tercungap (mungkin kerana mengandung) saya bertanya pada pekerja di situ. Alhamdulillah, Mr Telepon ada dalam simpanan mereka.

Saya tidak dapat bayangkan jika ia sudah diambil orang walhal tempoh itu tidak lama sangat dalam 10 minit berlalu. Bagi saya pekerja di Serai itu jujur orangnya kerana tolong simpan Mr Telepon saya. Kalau jatuh ke tangan pelanggan, mungkin saya tiada harapan untuk memiliki kembali Mr Telepon.

Betapa telefon itu penting giler dalam hidup seseorang. Tidak kira apa jenama sekalipun, gajet ini dianggap penting dan dipanggil smartphone. Ia dianggap komputer kecil yang memiliki pelbagai maklumat di dalamnya. Daripada nombor telefon teman-teman, keluarga, nombor akaun bank, tarikh lahir anak-anak, nombor insuran ataupun tarikh tamat luput roadtax kereta. Malah boleh juga dianggap album kecil yang memuatkan pelbagai gambar dari anak masih bayi hingga meniti usia.

Saya tidak dapat bayangkan hidup tanpa telefon. Ada orang memang tidak boleh berpisah. Kemana sahaja pergi (even ke toilet) juga membawa telefon. Hidup boleh jadi giler tanpa ketiadaan telefon di sisi. Malah jika ke ke kedai makan, saya perhatikan ramai yang leka melayan aplikasi dalam phone seperti game, layari FB, Instagram, Twitter dan sebagainya. Tidak kiralah telefon ini diisi dengan kredit prepaid ataupun post paid, ia bergantung pada bajet masing-masing.

Dulu ketika belajar di USM, jarang-jarang sekali melihat telefon mudah alih ini. Malah kalau ada pun yang jenis besar. Waktu itu sesiapa yang ada yang memiliki telefon jenama nokia paling popular, bentuk yang kita panggil nokia pisang, rasanya dialah insan paling kaya dan bertuah. Kalau tidak, terpaksalah mencari telefon awam untuk menelefon keluarga di kampung. Saya masih ingat, pernah beratur berjam-jam semata-mata untuk menggunakan satu telefon awam yang dikatakan murah (walaupun lama bercakap).

Masa berganti masa dan telefon bukan lagi sebagai aksesori tetapi lebih kepada keperluan. Malah budak-budak bawah umur juga turut dibekalkan telefon oleh ibu bapa. Anak sulung saya Syafiqa, sebelum itu memang saya dan En. Abah ada memberi pinjam telefon Iphone 3G, tetapi keputusan exam tidak memberangsangkan dan benefit itu terpaksa kami tarik balik. Sudahnya sekarang ini, telefon saya menjadi mangsa untuknya menghubungi teman-temannya.

Daripada bentuk pisang, kini pelbagai rupa dan jenama yang mendominasi pasaran. Paling mendapat tempat adalah jenama Samsung dan Iphone. Penggunaannya yang mesra menyebabkan dua jenama ini jadi pilihan ramai. Tadi juga saya melihat telefon Iphone 5 milik seorang teman. Katanya hadiah dari suami sempena hadiah hari jadi. Untunglah badan. Sebelum itu dia mempunyai telefon Samsung seperti milik saya (sudah diberikan pada anaknya). Mungkin saya juga boleh minta Iphone 5 untuk hadiah harijadi kelak (berangan sahajalah).

Apa sahaja kenangan anda dan telefon, gajet ini dianggap satu keperluan yang sangat penting. Malah dengan satu panggilan telefon sahaja, anda mungkin mendengar gembira atau sebaliknya. So, jagailah telefon seperti anda menjaga diri sendiri. LOVE U MR TELEPON...

Antara jenama telefon yang popular:
1. Iphone 5
2. Iphone 4
3. Samsung Note 1,2,3 (latest)
4. Samsung Galaxiy S111
5. Sony Xperia
6. Blackberry

Hot Mama Reen
16:27 pm
Gambar bersama 'orang kuat; Karangkraf menggunakan instagram dalam kamera Samsung Note 1.



Tuesday, October 22, 2013

ENTRI DINIHARI

23/10/13
01:24 am

Salam,

Entri ini saya tulis dengan pelbagai perasaan. Biji mata segar walaupun sudah dinihari. Anak-anak pula sudah lama lena, cuma bb Aiman sesekali merengek (ubatnya ngempeng). Ini padahnya bila tidur dulu (ketika tidurkan Aiman) dan kemudian bangun selesaikan kerja-kerja rumah yang lain.

Saya mendapat satu pengajaran hari ini. Kadang-kadang apa yang kita cuba kongsi mungkin tidak disenangi sesetengah pihak. Mungkin tidak selesa ataupun bersikap itu adalah privasi yang tidak boleh dikongsi bersama orang lain.

Ya, saya mengetahui apa yang tersirat. Entri yang kita kongsi (dengan niat baik) perlu bijak dan juga beradab. Biarlah sesiapa jua yang membacanya akan rasa senang hati. Kalau diikut rasa hati bimbang perkara lain yang terjadi.

Untuk entri akan datang saya perlu lebih berhati-hati dengan apa yang ditulis untuk dikongsi. Kata orang jangan syok sendiri kerana akan memakan diri. Semoga apa yang terjadi menjadi pengajaran berguna dan peringatan di masa akan datang. Satu perkara yang perlu dipahat dalam kotak fikiran, jaga privasi kita.


Hot Mama Reen
01:35am