Monday, September 30, 2013

HIDUP BERJAUHAN? SUSAH ATAU SENANG...


Salam..
12.50 am
Diam tak diam sudah hampir 12 tahun saya dan En. Abah melayari kehidupan berumah tangga. Suatu tempoh yang lama. Sebenarnya lebih lama saya mengenali lelaki yang dilahirkan di Sarawak (kerana keluarganya bekerja dengan sebuah syarikat minyak di sana) dan dibesarkan di beberapa buah negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor dan juga Terengganu. Rasanya hampir 17 tahun tempoh kami mula berkenalan (tak silap pada tahun 1996 ketika sama-sama belajar di universiti yang paling cantik pernah saya jejaki, USM, Penang).

Masih saya ingat waktu itu sama-sama bergelar belajar dan masing-masing poket kosong. Kalau makan di luar pun mengamalkan konsep siapa ada duit dia yang perlu bayar. Tak perlu bermewah kerana kekangan duit belanja dan yang penting dapat menamatkan pengajian. Malah kami juga sama-sama belajar hidup berdikari dengan bekerja sambilan (pada tahun akhir, memandangkan subjek yang diambil tidak banyak) untuk menyara keperluan diri. Saya sendiri bekerja di restoran segera A&W dan dia pula di Delifrance di pusat beli-belah yang kami panggil Shunshine (tak pasti sekarang ada lagi ke tidak).

Sebaik tamat pengajian, kami sama-sama konvo (pada 1998) dan mula mencari pekerjaan sesuai. Walaupun zaman itu dianggap sukar untuk mendapat pekerjaan sesuai dengan kelulusan, tetapi rezeki kami baik. Walau bagaimanapun, En. Abah bekerja di Pantai Timur (di sebuah syarikat minyak) dan saya pula meneruskan minat menulis di Karangkraf. Jodoh antara kami panjang dan akhirnya berkahwin pada tanggal 14 September 2011.

Sejak itu bermulalah kehidupan jarak jauh. Sebelum itu tiada masalah tetapi apabila saya sudah melahirkan anak, keperitan itu mula terasa. Daripada satu anak hinggalah masuk dua dan akhirnya tiga. Kami hanya sempat berjumpa ketika cuti hujung minggu sahaja (itu pun tidak sama kerana Pantai Timur cuti dari Jumaat hingga Sabtu). Untuk langkah penjimatan, En. Abah akan carpool dengan beberapa temannya yang turut sama mempunyai keluarga di sini.

Saya masih ingat betapa sukar waktu itu (punya anak kecil) perlu angkat mereka yang masih tidur kerana mahu menghantar En. Abah ke rumah temannya (yang secarpool) di subuh hari.  Bukan itu sahaja saya juga terkenang pengalaman perlu menyusukan anak sambil membawa kereta gara-gara dia menangis sepanjang jalan pulang ke rumah. Macam-macam lagi dugaan yang perlu saya alami sepanjang hidup berjauhan.

Oleh sebab kedegilan saya untuk kembali bekerja (pernah berhenti sementara kerana nak jaga anak), saya perlu tegar daripada memikirkan masalah-masalah lain. Kata orang hati perlu keras dan jangan terlalu lembut. Walaupun anak sakit (sekadar demam) jangan sibuk telefon En. Abah dan suruh balik. Biarkan sahaja dan waktu hujung minggu barulah berkesempatan untuk pulang. Saya perlu jadi ibu dan ayah kepada anak-anak (waktu itu anak yang sulung, Syafiqa dan anak kedua, Adam).

Sepanjang berjauhan ini juga, kami mengamalkan sikap saling mempercayai dan jangan ada curiga bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga yang dibina. Jika ada curiga di hati, alamatnya susah untuk hidup berjauhan. Jangan bersikap terlalu manja kerana kita perlu buat keputusan sendiri secara drastik. Bukan setahun dua kami hidup berjauhan tetapi mengambil masa lapan tahun. Wow! Satu jangka masa lama dan saya juga seperti tidak percaya mampu uruskan anak-anak dalam tempoh itu.

Dalam masa sama saya sentiasa berdoa agar dia ditukarkan ke sini dan Tuhan itu Maha Mendengar dan Memahami. Ketika anak ketiga saya (Aqil) menganjak usia dua tahun, En. Abah akhirnya dapat ditukarkan ke sini. Gembira hati tak terkira tetapi dalam masa sama reda jika terpaksa kembali berjauhan.

Kini sudah hampir 3 tahun kami hidup bersama kembali. Dan saya kira bukan saya saja mengalami situasi ini. Malah ada ramai lagi ibu-ibu yang terpaksa berjauhan dengan suami dek kerana tuntutan kerja. Namun melalui pengalaman saya sepanjang lapan tahun ini ada beberapa tip yang boleh dijadikan panduan jika memilih untuk hidup berjauhan. Bukan sahaja dalam cara mengeratkan kasih sayang, tetapi juga apabila perlu bertindak sebagai ketua keluarga. Semoga tip yang diberi mampu memberi kelegaan pada ibu-ibu di luar sana yang memilih cara hidup begini.

TIP TINGGAL BERJAUHAN

1. Perlu memikirkan tempat tinggal yang selesa. Ini senang jika suami balik pada hujung minggu dan tidak perlu menyusahkan keluarga ataupun rakan. Sebolehnya sewa rumah sendiri tanpa ada penyewa lain. Anda juga perlu ada kereta bagi mengelakkan perkara kecemasan seperti anak sakit dan perlu dihantar ke klinik segera.
2. Jika ada anak kecil, anda perlu membeli barangan keperluan rumah ketika suami balik bercuti hujung minggu. Ini bagi mengelakkan anda makan di luar ataupun beli makanan sebelum balik ke rumah bila pulang dari pejabat.

3. Jauhkan sikap buruk sangka ataupun curiga pada pasangan. Sebaliknya tanam sikap saling percaya- mempercayai bagi mengelakkan kita rasa gusar ataupun runsing sepanjang ketiadaannya.

4. Sentiasa menghubunginya agar dia merasakan bahawa anda dekat dengannya. Kata orang jauh di mata dekat di hati. Jika tidak dapat menghubungi, cukuplah sekadar menghantar pesanan ringkas. Jangan risau jika tidak dapat menghubunginya mungkin dia ke masjid ataupun belum pulang daripada kerja.
5. Seeloknya anda juga perlu mencari pengasuh untuk menghantar anak bukan taska. Ini kerana jika ada kerja luar dan suami pula tidak pulang, pengasuh boleh tolong jaga anak anda.

6. Kalau boleh tinggal berdekatan dengan adik-beradik yang juga menetap di tempat sama. Jika tidak pun, teman sepejabat yang boleh kita minta pertolongan sekiranya ada masalah.
7. Sentiasa luangkan masa bersama suami setiap kali dia pulang ke rumah. Kalau boleh bercuti pada hari Jumaat (bagi yang hari cutinya pada Jumaat dan Sabtu), untuk menghabiskan masa bersama. Inilah masanya anda menyediakan hidangan kegemaran dan membawa anak-anak berjalan-jalan. Elakkan aktiviti bersama teman-teman pada hari berkenaan.

8. Jika boleh selesaikan masalah sendiri, anda cuba selesaikan tanpa membabitkan suami. Misalnya anak demam, mungkin anda boleh membawanya ke klinik berhampiran. Tetapi sekiranya anak mengalami penyakit yang serius, bolehlah beritahu suami keadaannya.
9. Jika ada masa anda boleh sekali skala mengunjunginya. Untuk lebih selamat naik sahaja kenderaan awam seperti bas. Tetapi ini diingatkan jika anak anda seorang la, jika anak ramai agak susah untuk membawa mereka.

10. Atur cuti anda sebaiknya. Terutamanya jika ada undangan kenduri ataupun jika mahu bercuti panjang. Sebolehnya, rancang terlebih dahulu dan jangan membelakanginya dia dalam membuat sebarang keputusan.
11. Apa-apa sahaja yang anda lakukan, sila beritahu pasangan. Bukannya apa, bimbang jika ada masalah berbangkit di kemudian hari tanpa memberitahu dia terlebih dahulu. Dan paling penting anda perlu bersikap jujur dalam apa semua perkara.  


Hot Mama Reen
14.15 pm
 

2 comments:

  1. sedihlah baca entry ni ka rin. mama paling tabah, independent.

    ReplyDelete
  2. wow, sisi tersembunyi Siti Zurina! well done my friend. eloklah kau menulis di blog supaya kisah yang tak terluah di bibir dapat di kongsi dengan tarian jemari di papan kekunci. aku pasti ada banyak lagi kisah menarik dengan tips berguna untuk pembaca di skrin kaca. keep up the work :) LOL

    ReplyDelete