Thursday, October 10, 2013

DAMBAKAN LELAKI SEPERTI ITU!!!

20:52 pm
10/10/13


Salam...

Hari ini 10/10 satu tarikh yang saya kira cukup cantik. Tentu sahaja ramai yang mahu mengabadikan tarikh ini sebagai satu perkongsian indah bersama yang tersayang. Namun tidak kira apa tarikh yang diabadikan, adakah anda benar-benar rasa pasangan anda itu seorang begitu cukup anda kenali. Saya dan En. Abah juga ada nombor yang kami rasa cukup indah untuk dikenang. Tarikh 149 dianggap keramat kerana pada masa itu saya sah bergelar isteri padanya setelah beberapa tahun saling mengenali. Nombor itu jugalah kami abadikan pada plat kereta agar bila terpandang nombor itu kami mudah mengingati tarikh bergelar suami isteri (romantikkan En Abah).

Kalau ikutkan saya tidak kisah dan apalah ada pada nombor, tetapi dia begitu teliti bab-bab itu. Ya…memang saya begitu mengenali sikapnya setelah lama berkahwin. Seorang yang tegas, tepat, kuat kerja dan jika berhujah pastikan ada fakta. Kalau tidak saya akan kelihatan tidak pandai di matanya. Mua-mula kawan dulu pun memang asyik kena marah dan bila berkahwin, saya anggap itu alah bisa tegal biasa. Cuma lelaki ini jika pandai kita memujukknya cepatlah cair kemarahannya.

Dalam hal ini adakah anda sebenarnya kenal pasangan? Bukannya apa saya teringat seorang teman yang sudah hampir 10 tahun berkahwin dan akhirnya rumah tangga dibina musnah di tengah jalan. Masing-masinng bawa jalan hidup sendiri. Apa yang kasihan adalah pada dua anak-anaknya. Teman saya itu cukup bernasib baik kerana anak-anaknya lebih senang tinggal dengan ayah mereka sementelah dia juga sering balik lewat.

Lewat pertemuan saya dengannya (dah lama saya tidak bertanya khabar kerana sibuk) sempat saya selidik punca perpisahan. Dia hanya tersenyum menjawab, dah taka da jodoh. Dia juga kata sudah bosan dengan lelaki yang pernah jadi suaminya hampir 10 tahun. Dalam hati saya berkata, kenapa bosan? Sedangkan dengan lelaki itu dululah dia berkepit siang malam (ketika belajar di USM). Bagaimana boleh timbul rasa bosan dalam dirinya. Setelah berfikir saya tiada jawapan pada persoalan itu dan mungkin juga kerana faktor usia (bekas suaminya lebih tua sedikit) menyebabkan timbul perasaan itu.

Sebenarnya tidak susah untuk menjadi suami yang didambakan oleh seorang wanita ataupun isteri. Isteri tidak perlu dimomokkan dengan kemewahan, cukuplah sekadar belaian dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Kalau boleh setelah lama kahwin, pastinya kita akan lebih menyayangi pasangan kita. Apatah lagi jika anak sudah berderet, pastinya kasih sayang semakin bercambah. Bukannya semakin layu dan berkurangan kemanisannya. Memang hati wanita sukar untuk dibaca. Ini kerana wanita sikapnya sering memendam perasaan. Tidak kira dalam apa jua perkara termasuk hubungan batin.

Dan sebagai lelaki, anda perlulah jadi suami yang didambakan oleh seorang isteri. Bukan menimbulkan kebosanan hingga boleh menerbitkan rasa benci, bosan dan sekaligus berpisah. Bahaya jika perasaan ini wujud dalam diri wanita. Tidak sukar menjadi suami yang didamba oleh isteri. Kata orang tu ‘kacang je’. Atau ia hanya semudah ABC. Bukan sahaja suami boleh praktikkan amalan ini, tetapi juga para isteri. Jadilah suami yang sering didamba kerana hidup suami isteri adalah saling melengkapi.

1. Sentiasa memeluk isteri tidak kira sebelum pergi kerja ataupun ketika berada dalam rumah. Misalnya anda memeluknya dari belakang tatkala isteri sedang membuat kerja. Pasti isteri terasa diri begitu di sayangi tidak kira masa dan tempat.

2. Kalau boleh sentiasa berhubung. Sama ada melalui telefon dengan pesanan ringkas, wtsup ataupun telefon. Beritahu anda rindu padanya walaupun baru setengah jam anda berpisah. Tanda suami begitu mengambil berat diri anda di mana jua berada.

3. Buat kejutan seperti sesekali membelikan makanan anda di pejabat. Pasti pasangan terkejut lebih-lebih lagi jika dia membelikan juadah kegemarannya. Jika anda sepejabat, jangan malu untk sekali sekala mengajakknya keluar makan.

4. Ajak isteri pergi bercuti. Misalnya tempat kegemaran seperti di Cameron Highland, Pulau Langkawi ataupun Penang. Mahu lebih romantis pilih tempat yang pernah jadi bulan madu atau tempat pertemuan anda. Tidak perlu tempat percutian mahal, cukuplah sekadar dapat meluangkan waktu bersama.

5. Sesekali tolong memasak. Jika anda memang pandai memasak, ia satu kelebihan buatt sang suami. Jika tidak, apa salahnya sekadar tolong potong sayur, masakkan nasih ataupun membasuh ikan atau ayam. Boleh juga sesekali suami ke pasar dan anda listkan sahaja barangan yang mahu dibeli.

6. Bisikkam sentiasa kata-kata I love u. Bisikan lebih-lebih lagi di telinga lebih terasa bisanya berbanding kata-kata biasa. Isteri pastinya terasa diri begitu disayangi anda.

7. Boleh diharap jika diminta pertolongan. Misalnya ada perlu keluar bekerja pada hujung minggu dan suami boleh diharap untuk menjaga anak-anak. Ataupun sekiranya anda mahu bercuti bersama teman-teman perempuan atau untuk urusan bisnes.

8. Membasuh kereta anda di hujung minggu. Alangkah bagusnya jika suami tolong membasuh kereta anda ketika ini. Lebih-lebih lagi jika anda tiada masa menghantar ke kedai. Nampak remeh, tetapi perkara begini jika anda lakukan begitu didambakan kaum wanita.

9. Membersihkan rumah. Biasanya kerja ini diserahkan bulat-bulat kepada isteri. Apa kata sekali sekali suami membantu membersihkan kerja rumah seperti membuang habuk, sawang ataupun mevakum rumah.

10. Memberi wang belanja secukupnya. Ada juga dikalangan suami yang agak berkira atau kedekut soal wang. Isteri tidak mintak banyak cukup sekadar sebagai nafkah yang wajib diterima isteri setiap bulan.


Hot Mama Reen
23:31 pm

Wednesday, October 9, 2013

RESTORAN SOTO SHAH ALAM...


14:27 pm

9/10/2013

 

Salam,

 
Tengah hari tadi, sedang sibuk menyiapkan editing anak-anak buah (SDK), kami dikejutkan dengan locengan menunjukkan tanda fire drill. Lantas bergegas menyelamatkan diri menggunakan tangga pejabat. Dalam panas terik kami berkumpul di padang tempat letak kereta sebelum nama dipanggil Marshal bertugas bagi memastikan kita masih hidup atau terbakar.

 
Usai nama dipanggil, saya dan beberapa teman Mirie, Che Ros, Mama Itt dan Miza berkira-kira untuk keluar makan tengah hari. Terasa berpinar mata berjemur di bawah terik matahari. Bukanlah lama, tetapi cukup membuatkan saya rasa pitam dan pandangan gelap (walhal pakai kaca mata). Bayangkan nanti di padang Mahsyar keadaan kita lebih kurang seperti itu.

 
Che Ros bertanya mahu makan di mana dan setelah tidak mendapat jawapan, dia membawa kami ke restoran di seksyen 8. Restoran Soto Shah Alam ini sering jadi pilihan penggemar masakan berlauk kerana pelbagai lauk pauk boleh didapati di sini. Daripada gulai ayam, ikan, daging salai masak lemak, bilis masak petai, sayur kangkung goreng, labu masak lemak, ikan bakar, patin tempoyak, tomyam campur dan pelbagai lagi hidangan enak.

 
Tetapi paling kami suka jika makan di sini adalah sotong goreng bertepung. Selalunya hidangan itu cepat betul habis dan pemilik tidak akan menggorengnya semula. Dulu kedai ini agak kecil sedikit. Setelah dibuat renovation (agak lama juga dia tutup) ruang lebih luas dan selesa. Tidak dinafikan, memang ramai makan di sini. Selain rasanya yang sedap, pelbagai pilihan boleh dibuat. Mengenai harga, terpulang berapa lauk yang diambil. Agak munasabah dan yang penting bawah daripada RM10.

 
Sudah namanya kedai soto, jadi pastinya hidangan soto turut jadi pilihan pengunjung. Turut dijual adalah nasi ayam (anak-anak paling suka nasi ayam, kalau boleh tiap-tiap hari makan pun tak apa). Ada juga dia jual bubur, namun jarang mentapau kerana perut sudah kenyang. Sebenarnya restoran ini juga menyediakan hidangan pagi dan juga malam. Cuma saya dan beberapa rakan gemar datang untuk makan tengah hari dan juga hari Jumaat. Sebabnya apa? Disediakan pisang percuma dan semoga amalan itu (beri pisang) sentiasa dipraktikkan di restoran ini dan juga tempat lain. Apalah sangat jika dibandingkan dengan keuntungan yang diperoleh setiap hari yang pastinya mencecah puluhan ribu.

 
Hot Mama Reen

15:40 pm

 

 


Restorak soto shah alam di sek 8.

Pelbagai pilihan lauk-pauk..ermm yummy

Nampak tak sambal tempoyak dan udang goreng tu..best2

Tempoyak patin digandingkan bersama kerabu mangga.

Tomyam campur pun ada.

Pengunjung enak menjamu selera..ruang makan luas dan selesa.

Tuesday, October 8, 2013

KEBANGGAAN SEORANG IBU

00:19 am
9/10/13

Salam...

Seperti yang saya coret sebelum ini, hari semalam memang buat saya letih. Namun keletihan itu hilang tatkala sampai sahaja di rumah, sebaik membuka pintu kereta Adam berlari ke arah saya. Mulutnya sibuk memberitahu dia dapat medal naib johan. Saya tanya Adam masuk apa,  dia bagi tahu lumba lari.

Saya macam tak percaya kata-katanya lantas melihat medal yang dimenangi. Agak berat dan tertera di situ larian 4 x 50 meter (untuk tahun 1) dan menang tempat kedua. Barulah saya percaya dan terus bertalu-talu bertanya. Sejak bila masuk lumba lari, kenapa baru dapat medal (sebab sport day sekolahnya dah berlalu) dan bermacam lagi soalan.

Betul saya gembira tahu dia menang acara larian walaupun sekadar naib johan. Bukannya apa saya seperti tidak percaya Adam menyertai sukan larian. Ini kerana dia budak yang saya rasa kurus dan seperti tiada energi. Mungkin kelebihan dia sebab tinggi dan dipilih rumah sukannya iaitu biru untuk wakil rumah.

Sebenarnya hari sebelum sukan dia ada bercerita yang dia berlatih lumba lari. Saya ingatkan larian biasa. Malah Adam juga ada bagi tahu tak nak makan sebab nak kurus supaya boleh lari laju. Saya iyakan sahaja tanpa menyangka memang dia benar-benar masuk acara larian.

Terasa menyesal pula tidak dapat melihat Adam berlari dan seterusnya menang tempat kedua. Maklum kekangan kerja dan tiada pujukan untuk saya menghadiri hari sukan berkenaan. Kalau tidak sayalah yang akan menjadi penyokong kuatnya sambil menjerit melaungkan nama Adam. Sayang terlepas peluang itu dan saya berharap dapat lihat aksinya berlari tahun depan.

Saya sempat mengusik Adam "lepas ni boleh la Adam main bola sepak sebab kuat lari". Mana tahu dia boleh jadi pemain sehebat Messi ataupun Rooney. Yang penting tidak kira apa jua bidang yang diceburi pelajaran perlu diutamakan. Begitu juga bekalan untuk akhirat. Ketika  di meja makan tersentuh hati bila Adam kata dia bole hafal beberapa surah pendek dan membacakannya sambil diikuti oleh adiknya, Aqil. Walaupun tidak berapa betul sebutannya, tapi dia mampu menghafal surah berkenaan (dia memang sangat malas mengaji terutama jika letih atau mengantuk).

Sememangnya hari ini (semalam) Adam mampu melegakan rasa ketidak selesaan saya. Kegembiraan yang diberi bagai menghapus rasa tidak selesa itu. Sebagai ibu kita perlu percaya kebolehan anak-anak kita. Malah beri dia sokongan dan galakan jika memang dia meminati sesuatu. Hargai dan rasai kebolehan yang ada pada dirinya sementelah dia masih membesar depan mata kita. Adam...mama so proud with u....(mungkin jika dia baca catatan ini dewasa nanti, tahu mamanya begitu menghargainya).

P/s: Sebagai ganjaran Adam dapat aiskrim (sebenarnya beli untuk Aqil) dan dia memang hantu aiskrim esp 'mcflurry oreo'.

Hot Mama Reen
00:50 am


Adam bersama Medal yang dimenangi dalam acara larian 4x50 meter

HAMIL: TIDAK SECERGAS DULU


14:44 pm
8/10/2013


                                                                     

Ketika gambar raya bersama team SDK, kehamilan anak ke empat.

Salam...                                  

Sungguh hari ini saya terasa begitu lelah. Terasa bagai mahu tumbang, pitam dan begitu penat sekali. Sebenarnya daripada malam tadi, sudah terasa keletihan ini. Mana tidaknya usai menyediakan makan malan untuk En. Abah dan anak-anak, saya terus sahaja mandi dan meletakkan kepala di bantal sambil 'mengempeng Aiman". Sebelum lena, saya sempat berpesan pada En. Abah agar kejutkan saya kerana banyak lagu urusan rumah yang belum selesai.

Biasanya selepas tertidur, saya akan bangun semula untuk membasuh pinggan (jika ada), menyidai kain (jika En. Abah membasuh & belum menyidainya) dan menggosok baju sekolah anak-anak dan kerja suami. Tetapi kali ini saya terasa begitu letih. Saya hanya mampu bangun pada pukul 11.30 malam hanya untuk membuatkan susu Aiman dan sempat memakaikan lampin anak-anak (Adam & Aqil, walaupun dah besar). Kemudian saya terus sambung tidur dan berharap agar mampu bangun menggosok baju.

Akibatnya, menjelang pukul 4 pagi saya kembali bangun. Itupun setelah mendengar rengekan Aiman. Tubuh terasa sedikit segar dan saya gigih membuka mata untuk menggosok baju anak-anak dan kerja En. Abah.

Dan hari ini, keletihan itu kembali. Terasa bagai di awang-awangan sahaja. Dengan mulut yang terasa payau. Saya terasa mahu rehat yang cukup sambil melumur kepala dengan minyak angin cap Kapak. Nak kata lapar dah banyak yang saya makan, tetapi tubuh seperti lemah tidak bermaya. Apakah ini disebabkan kehamilan kali ini. Benar hamil di usia lewat agak memenatkan. Jika dulu, saya aktif ke sana ke mari membuat tugasan luar. Malah rasanya lebih gigih daripada mereka yang tidak hamil.

Mungkin faktor usia menyebabkan saya jadi begini. Namun semalam ketika melakukan pemeriksaan, Tidak pula doktor memberitahu tekanan darah rendah atau sebaliknya. Sebenarnya saya dan En Abah tidak merancang menambah anak (cukup dengan empat cahayamata) kerana lelah dengan empat yang sudah ada. Namun siapa tahu, ini rezeki Allah dan kami menerimanya dengan berlapang dada.

Dalam situasi begini saya perlu akui kekuatan saya tidak lagi seperti dulu. Kini saya terasa begitu malas sekali. Kalau boleh mahu sahaja berehat sepuas-puasnya sambil orang lain menyediakan keperluan isi rumah. Namun apakan daya, saya tidak pernah memakai khidmat bibik. Pernah terlintas untuk cuba-cuba ada pembantu rumah, tetapi saya lebih senang uruskan sendiri keluarga. Ramai juga berpesan bila anak sudah bertambah bolehlah guna khidmat pembantu rumah.


Bersama dua artis popular, Datuk CT dan Rita ketika sesi fotografi Edisi Syawal 2012, mengandung anak ke empat juga.

Impaknya (tiada pembantu) bila segala urusan rumah mahu dibuat sendiri menyebabkan saya mudah letih dan penat. Mungkin juga selepas ini saya perlu memikirkan kembali khidmat pembantu rumah ataupun kaedah baru bagi mempercepatkan kerja-kerja rumah (ada ke). Kadang-kadang terlintas juga difikiran mahu sahaja berhenti kerja dan jadi blogger sepenuh masa. Ermmm (akan difikirkan jika benar-benar sudah tidak larat).

Belum lagi berhadapan dengan kerenah anak-anak yang kadang-kadang menyesakkan fikiran. Namun bila fikir, mereka tu masih kecil menyebabkan saya mudah simpati apabila sudah memarahi. Misalnya malam tadi, apabila Adam dan Aqil bergaduh hingga memecahkan salah satu barang, saya terus naik angin. Apa lagi enak sahaja batang pembaris hinggap di badan mereka. Dan selepas itu saya jadi kasihan bila mereka merajuk tidak mahu makan (selalunya cukup teruja bila saya masak).

Benar, kehamilan kali ini betul-betul bukan sahaja mengujakan saya, tetapi meletihkan. Kadang-kadang saya jadi cepat sensitif. Kandungan baru berusia 7 minggu dan saya perlu melalui tempoh yang panjang iaitu lagi 33  minggu. Apakah keadaan sama akan saya lalui atau menjadi bertambah worst? Saya hanya mampu berdoa agar dipermudahkan dan terus diberi kekuatan oleh Tuhan dalam menjaga keluarga Syed & Syarifah Junior.



Gigih buat event SDK, walaupun sarat hamil.

Tatkala bertanya beberapa rakan yang sama 'Club' (no 5) Ayu dan juga Marliana, semuanya mengakui agak penat sedikit dengan kehamilan kali ini. Seperti Marliana dia mengambil beberapa supplemen daripada produk Shaklee untuk kembali cergas. Manakala Ayu pula mungkin sama, cuma saya tahu dia ada pembantu rumah. Mungkin juga keletihan dialami tidak seperti saya yang perlu uruskan segalanya.

Saya perlu kuat dan cergas mengharungi 33 minggu mendatang. Saya tidak boleh manjakan diri dengan situasi yang berlaku. Malah saya perlu set minda saya seperti kehamilan anak pertama. Kesihatan dan juga pemakanan perlu dijaga sebaiknya seperti mula-mula hamil dulu. Jangan bezakan kehamilan kali ini dengan yang sebelum ini. Mungkin ini kehamilan terakhir (ada rancangan untuk mengambil beberapa kaedah perancang kehamilan) dan saya perlu ekstra energi menghadapinya. Bagi saya lewat usia sekadar faktor penyebab kepada kemalasan. Apa yang penting saya perlu ceria dan seronok melalui kehamilan kali ini.

TIP CERGAS KETIKA HAMIL:

1. DAPATKAN TIDUR YANG CUKUP
2. MAKAN, MAKANAN YANG SEIMBANG
3. SENTIASA BERSIKAP POSITIF
4. BANYAKKAN MINUM AIR KOSONG
5. BANYAKKAN BERJALAN & BERGERAK
6. SENTIASA CERIA

Hot Mama Reen
17:14 pm


Bersama Mirie ketika Karnival Karangkraf 2012, masa ini perut tak berapa besar. Tetap cergas promote majalah SDK

 

Sunday, October 6, 2013

LELAHNYA SEORANG IBU

23:36

Salam,

Terasa lega dapat melabuhkan punggung di kerusi merah Ikea. Setelah seharian bergelumang dengan kerja-kerja rumah. Baru terasa sunyi tanpa riuh rendah suara Kakak, Adam, Aqil ataupun Aiman yang berselang seli meminta itu dan ini. Belum lagi tangisan Adam atau Aqil yang berebutkan sesuatu.

Sungguh saya akui lelah menjadi seorang ibu. Apatah lagi tanpa pertolongan pembantu rumah. Dalam erti kata sebenar sayalah bibik, maid, ibu dan juga nanny untuk keluarga kecil ini. Semuanya terletak di tangan dua kerat dan dua kaki ini. Tidak dapat saya bayangkan sekiranya saya sakit. Rasanya lumpuh lah urusan rumah. Yalah mana nak masak, lipat dan sidai kain ataupun mengemas rumah.

Memang ada En. Abah yan menolong membantu apa yang patut. Tetapi anak-anak tetap mahukan mama dia. Tetap mengadu pada mama ataupun meminta sesuatu pasti dengan mama. Kadang-kadang jeles tengok teman-teman yang ada ada sorang atau dua, seronok pergi bercuti tanpa ada halangan. Namun setelah difikir bagus juga punya anak ramai kerana nanti bila tua meriah sikit rumah.

Cuma menjaga anak lelaki agak memeritkan. Mereka sangat nakal dan begitu bersemangat meniru aksi super hero yang ditonton. Ada macam-macam gaya, Ultraman, Spiderman, Batman, Ben 10, B-daman (baru tahu ada watak ini ) dan macam-macam lagi aksi yang ditiru. Belum bab main air hinggakan pernah plug air panas rosak gara-gara dipasang terlalu lama. Akibatnya Adam & Aqil dimarah dengan beramaran oleh En. Abah jangan lakukan perkara sama.

Tetapi nama pun budak-budak, hari ini takut dengan jelingan En. Abah, esok lusa tulat mereka sudah lupa akibat kena marah. Apa yang mereka tahu keseronokan menjadi kanak-kanak. Kadang-kadang saya terasa mahu kembali ke zaman kanak-kanak yang seronok bermain tanpa fikir masalah. Cuma zaman kanak-kanak saya agak sukar kerana kekangan keluarga yang hidup susah. Kalau budak-budak ini mandi air panas tetapi saya dulu nak ke sekolah mandi air sejuk. Belanja sekolah hanya bawak beberapa sens sahaja tetapi kini seorang rm4-rm5. Cukup mewah.

Itu dulu. Sekarang sudah jauh berbeza. Mungkin juga lelah emak saya tidak seperti saya alami sekarang. Kalau dulu arwah emak atau bapak tidak pernah mengingatkan saya pasal periksa, pandai-pandai sndiri. Tetapi kini budak-budak jika tidak diingatkan akan tomton tv 24 jam. Bukannya apa bimbang ketinggalan dengan teman-teman lain.

Hubungan saya dengan anak-anak memang cukup mesra. Saya ibaratkan diri seperti semut. Pantang saya ada, semua akan berkerumun. Misalnya jika saya naik ke bilik atas untuk mandi dan solat, mereka juga akan cepat-cepat ikut. Walhal tengan makan atau tonton tv tetapi semua akan mengikut saya. Ada masanya saya bergurau dengan menyorok dan mereka tercari-cari saya di mana. Begitu juga jika saya dan En. Abah nak keluar even ke kedai membeli roti, semuanya akan ikut sama.

Dalam lelah menjaga mereka, tetapi anak-anak juga penghibur kami berdua. Biarlah saya penat sekarang menjaga mereka, biar juga mereka membontoti setiap pergerakan saya, asalkan bila dewasa nanti saya juga tidak akan mereka lupakan. Walaupun perjalanan masih jauh, namun disudut hati ini mengharapkan mereka tetap akan sentiasa mengadu, meminta dan juga memanggil saya apabila anak-anak beransur remaja dan seterusnya dewasa.

Saya sentisa mendoakan kesejahteraan mereka dan saya akui walaupun penat tetapi itu adalah tanggungjawab saya sebagai ibu menjaga dan mendidik mereka menjadi insan berguna. Namun saya akui saya bukanlah ibu terbaik kerana masih banyak kekurangan yang perlu diatasi dari masa ke semasa.

Anda akan terasa dihargai anak-anak bila:
1. Setiap kali balik sekolah mereka akan sibuk berrcerita mengenai pengalaman sepanjang berada di sekolah.
2. Tanpa disangka-sangka anda mendapat kejutan di hari lahir anda. Misalnya kad ucapan, bunga sempena hari ibu ataupun hadiah kad ucapan yang direka anak-anak.
3. Apabila anak-anak memuji masakan anda. Walhal anda hanya menggoreng telur ataupun ayam goreng. Pujian anak-anak adalah ikhlasbkerana mereka ini adalah jujur.
4. Ada yang menjaga anda apabila anda diserang sakit seperti demam. Misalnya ada yang menyelimutkan anda, mengurut kaki ataupun kepala.
5. Anak menyalam dan mencium anda setiap kali mereka pergi ke sekolah.
6. Ucapan terima kasih setiap kali anda membelikan merka barang yang disukai. Seperti mainan, aiskrim ataupun buku cerita.
7. Walaupun sudah besar, tetapi anak-anak mahu tidur bersama anda sambil memeluk ataupun
berdekatan dengan anda.


Hot Mama Reen
00:07

Thursday, October 3, 2013

HANGATKAN KEMBALI HUBUNGAN


Salam...

9.05 am

Seperti biasa, semalam lewat jam 6.15 petang saya mula mengemaskan barang untuk pulang ke rumah. Walaupun waktu pulang sebenarnya jam 6.petang, tetapi saya biasanya sedikit lewat bagi mengelak terperangkap dengan kesesakan di depan pejabat merentasi dua bulatan. Radio pilihan Hot FM menjadi teman setiap kali memandu pulang. Cukup terhibur mendengar celoteh dua DJ Hot FM, Kiran dan Ikhwan menemani saya di udara. Dan petang itu rupanya ada permintaan lagu.

Salah satu lagu permintaan pendengar adalah ‘My Heart Will Go On’ dendangan penyanyi kesayangan saya Celine Dion. Rasa terbuai mendengar lagu itu lantas mengimbau kenangan silam saya bersama En. Abah. Ini boleh dikatakan lagu cinta kami (cewah) yang menjadi lagu tema bagi filem terhebat TITANIC. Waktu itu memang tengah hangat bercinta dan filem TITANIC juga begitu popular di kalangan penggemar filem.

Kami juga tidak ketinggalan menontonnya (walaupun terpaksa duduk di seat depan2). Konon tak nak terlepas peluang menjadi antara penonton kepada filem termahal pernah dihasilkan pengarah James Cameron. Sememangnya itu bukan kali pertama menonton, malah saya sanggup beli CD pirate dan menontonnya berulang kali di Desa Damai (tempat tinggal ketika di USM) bersama teman-teman, Cak dan Mek Nor.

Dan ketika filem itu kembali ditayangkan beberapa minggu lepas dan minggu ini, En. Abah mengusik, itu lagu filem cinta kita. Saya hanya tersenyum sambil memandang  muka anak-anak satu persatu. Bagi saya filem ini bagus kerana menunjukkan betapa setia dan utuhnya cinta Jack dan Rose hingga ke akhir hayat mereka. Walaupun mereka baru bertemu, namun perasaan cinta itu sukar dipisahkan. Pandangan cinta pertama boleh menjadi cinta abadi anda.

Sebenarnya bukan senang untuk mempertahankan bahtera cinta yang kita bina. Pelbagai dugaan dan rintangan perlu dihadapi. Jika tahun pertama perkahwinan, dianggap sebagai tahun bulan madu, tetapi masuk tahun kedua, ketiga hingga kelima, mencabar hubungan anda berdua. Inilah saat getir dan berdepan dengan dugaan demi dugaan yang melanda. Sebagai suami isteri, anda perlu bijak menangani setiap permasalahan yang datang. Usah biarkan perasaan cemburu, syak wasangka atau curiga wujud dalam diri anda kerana ia bisa meruntuhkan masjid yang dibina.

Melepasi tahun ke sepuluh atau sedekad, anda suami isteri boleh berlapang dada jika masih bersama. Biasalah jika ada perang dingin atau perselisihan faham. Itu kita anggap sebagai asam garam kehidupan suami isteri. Seperti saya dan En. Abah sudah hampir dua dekad melayari kehidupan bersama. Hubungan kami...masih seperti 16 tahun lalu. Bohong kalau kata tidak pernah gaduh, tetapi segala-galanya bisa diatasi sebaik mungkin. Walaupun En. Abah agak tegas dan garang orangnya (terutama pada anak-anak dan saya juga), tetapi sebenarnya dia juga cukup romantis. En. Abah ni sebenarnya orang yang suka dibelai dan dimanja. Tetapi sikap saya (agak brutal sedikit) berlawanan dengannya. Namun kami cukup bahagia dan masih seperti dulu.

Sebenarnya tidak kira berapa lama tempoh anda berkahwin, setiap pasangan itu perlu tahu cara untuk mengukuhkan sesuatu hubungan. Jangan sesekali anda selitkan perasaan bosan, rimas atau tidak suka dengan pasangan. Warnailah hubungan anda dengan usikan dan belaian manja agar perasaan sayang sentiasa hangat dan membara.

Majalah Seri Dewi & KELUARGA setiap bulan turut menyediakan ruangan khusus untuk suami isteri seperti tip suami isteri dan juga tip seksologi. Anda boleh baca dan jadikan tip berguna dijadikan panduan dalam melayari kehidupan suami isteri. Kata orang bukan sahaja ikat perut suami, tetapi juga jaga hubungan di ranjang.


Tip kukuhkan hubungan:

1. Sentiasa luangkan masa bersama. Jika ada masa pergi bercuti berdua ataupun ditemani anak-anak. Mungkin ketika anak-anak mandi, anda boleh berbulan madu lagi sekali dengan pasangan.

2. Sentiasa telefon pasangan walaupun sekadar ucapan helo. Jika tidak pun hantar pesanan ringkas ataupun whatusp.


3. Jadilah pendengar yang setia. Jika dia sedang bercerita mengenai perihal opis atau apa sahaja, anda hanya perlu mendengar dan celah mana-mana yang patut. Mungkin juga dia akan minta pandangan anda atas sesuatu perkara.

4. Peluk dirinya dan salam tangan sebelum ke tempat kerja. Kata orang pelukan itu boleh menghangatkan lagi hubungan anda berdua.

5. Sediakan hidangan kegemaran. Setelah lama mengenali pasti tahu apa hidangan yang digemari. Pasti dia akan suka melihat hidangan yang digemari tersedia di meja hidangan.

6. Buat kejutan. Misalnya pada majlis hari jadi anda menguruskan majlisnya bersama sanak saudara atau teman-teman rapatnya. Lebih elok jika kek hari jadi dibuat melalui air tangan sendiri.


7. Sering bertukar-tukar hadiah. Hadiah tidak semestinya dibeli pada hari-hari istmewa sahaja, tetapi hari biasa juga boleh. Misalnya anda belikan dia jam dan dia belikan anda kaca mata atau pewangi.

8. Punya minat dan hobi yang sama. Lebih mudah berkomunikasi apabila anda berdua mempunyai hobi dan minat yang sama. Misalnya mengumpul minyak wangi atau menonton filem. Anda boleh lakukannya dengan menonton bersama apabila anak-anak sudah tidur.

9. Sentiasa mendengar arahan dan hormati keluarga pasangan. Jangan lakukan sesuatu yang tidak disukai pasangan. Misalnya keluar tanpa pengetahuannya ataupun membeli barangan yang bukan menjadi kegemarannya. Hormati keluarga pasangan kerana anda bukan sahaja berkahwin dengan anaknya, tetapi juga umpama berkahwin dengan seluruh ahli keluarga. Jika anda pandai jaga diri, 
nescaya akan disayangi keluarga mentua.

10. Sentiasa menjaga hubungan di ranjang. Walau penat atau tiada mood, ketepikan semua itu dan layanilah kehendak batin suami dengan senang hati. Ingat Syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suami. tidak sukar untuk mengekalkan kebahagiaan, kerana apa yang penting anda wajib menghormati suami dalam apa jua perkara.

Hot Mama Reen

10.30 am


             

 

Wednesday, October 2, 2013

MURAH DAN SEDAP

Salam...

23.45 pm

Saya memang suka makan. Pantang orang ajak makan tak kira pagi atau malam, pasti jadi orang pertama turut serta. Biasanya teman-teman makan sekepala  Hasnita, Aza, Mashitah ataupun Che Ros dan Miri.

Kami memang gemar mencuba restoran baru yang muncul bagai cendawan tumbuh di Shah Alam (maklum banyak pusat komersial baru wujud). Jika suka kami akan 'like' dan jika sebaliknya itulah kali pertama dan terakhirnya pekena di situ.

Namun ada satu kedai makan yang memang kami suka singgah (esp time hujung2 bulan). Terletak lebih kurang 3 km daripafa opis kami di Sek 15. Kedai makan ini terletak di Pusat Komersial Anggerik Mall Shah Alam (tak pasti seksyen berapa, maybe 4 or 3). Kedai makan ini terletak di tingkat atas di medan selera.

Kedai makan yang dinamakan Selera Utara oleh empunyanya cukup simple menghidangkan lauk pauknya. Menu tidak banyak tetapi cepat habis. Setiap kali pergi menu yang sama dihidangkan seperti kari ikan jenahak, sotong atau udang goreng tepung, telur goreng, masak lemak labu, sup daging atau tulang, ikan keli bersambal, ayam goreng kampung dan paling best ayam goreng ala-ala kfc. Sanggup tunggu yang panas untuk menikmatinya.

Pemiliknya seorang pakcik akan mengira hidangan sebelum kita makan dan biasanya berapa lauk pun yang diambil dia akan berkata "RM4 sudahlah atau RM5 sudahlah". Cuma bila ambil sup harganya akan lebih sedikit. Memang cukup murah harga yang diberikan dengan lauk-pauk yang diambil. Biasalah mesti ambik lauk lebih dari satu. Oleh sebab itulah gerai dia sentiasa full house. Bukan sahaja rasa sedap tetapu murah. Sebenarnya bab makan saya tidaklah berkira sangat, tetapi bila teringin ayam kfc atau sup tulang kedai pakcik ni jadi pilihan.

Dan satu lagi tarikan medan selera di Anggerik Mall ini adalah air mangga, tembikai laici ataupun karot susu. Paling menyamankan tekak pastinya mangga. Bayangka slice mangga di potong dan diletakkan di atas air mangga yang dikisar. Harganya juga tidak mahal, cuma RM2.50 dan anda akan rasai keenakannya. Bak kata pepatah sebuah gedung kain 'memang berbaloi'. Dengan hanya RM10, anda akan dapat rasai kenikmatan sajian tengah hari tanpa bersungut mahal atau tak sedap.

Hot Mama Reen
00:06 am
Kedai makan Selera Utara menggamit pengunjung...
Percaya atau tidak, nasi, sotong goreng tepung, sedikit sayur dan sambal ini semuanya berharga RM4.00
Terbaekkk...air mangga dengan hirisan slice mangga..harga RM2.50..yummy