Thursday, December 26, 2013

Mood sudah mari....TERUJA BERGELAR MAK PENGANTIN...

26/12/2013
6:21 pm

Dalam kesibukan menunggu PDF majalah, saya sempat menitip kata di lensa blog ini. Memang saya akui, lately ini, saya cukup sibuk.

Bukan kerana disebabkan urusan anak-anak kerana sekarang musim cuti sekolah (mood honeymoon lagi), tetapi kekangan lain.

Nak tahu apa, sebenarnya secara rasmi sebaik saya masuk semula alam pekerjaan setelah hampir 2 minggu bercuti, saya telah ditukarkan untuk menghandle majalah baru...agak-agak majalah apa?

Pada mulanya saya disuruh untuk mengemudi sebuah majalah hebat iaitu majalah fesyen bagi wanita Muslimah. Namun setelah fikir masak-masak, belum cukup pengalaman untuk duduk di kerusi itu.

Saya lebih senang untuk membuat sesuatu yang dekat dengan hati saya. Kali ini fokus saya menjadi lebih kecil. Tatkala disuruh mengemudi majalah sebelum itu, Sifu @ Mentor kami, Kak Yati ada pesan, 'ko beruntung kerana fokus lebih kecil. Dulu ko buat majalah skala besar dan rencam, tetapi kali ini fokus lebih kecil'.

Saya akui kata-katanya dan kini teruja menerajui majalah rujukan buat bakal mempelai no 1 di Malaysia.  Apa lagi jika bukan Pesona Pengantin. Sebenarnya 13 tahun sudah PP menjenguk pasaran dan sama usia saya bekerja di Karangkraf.

Ketepikan soal status saya (ibu kepada empat cahayamata) dan apa yang penting pengisian yang akan ditampilkan. Majalah PP ini lebih tebal dari majalah yang saya handle sebelum ini. Malah pengisiannya juga lebih kepada soal persiapan bakal mempelai. Mana diorang nak cari katering, lubuk baju cantik, mekap meletop, lokasi foto,  gubahan hantaran, singgah sana yang terkini termasuk info rumahtangga dan paling utama info seks. Semuanya all in one dan tak payah cari rujukan di majalah lain.

Saya mula letakkan diri saya dalam majalah ini, dan sehingga entri ini ditulis, hampir setiap hari saya balik malam.

Malah hujung minggu terpaksa datang untuk menyiapkan naskhah indah ini buat bakal mempelai di luar sana. Saya korbankan segala-galanya untuk PP (untuk edisi ini) hingga anak-anak merungut 'mama ni kenapa asyik balik lambat' dan sidemok Aqil pula, 'mama..ni dah pagi balik yer'. Saya hanya senyum dan waktu bersama mereka memang agak terhad.

Mujur bb Aiman sudah tidak perlu menunggu 'milk' dari saya kerana sudah boleh minum botol. Dulu ketika di SDK, saya memang balik on time (kul 6 sudah pergi ke kereta)..kalau lambat pun 15 minit or setengah jam.

Namun kini segalanya sudah berubah. Walaupun balik lambat, saya sedaya upaya akan cuba masak untuk anak-anak dan En Abah (sesuatu yang simple). Saya perlu reda kerana ini adalah pilihan saya. Pendek kata tidak perlu merungut tetapi cuba cari jalan penyelesaiannya.

Buat masa ini saya masih selamat jika balik lewat kerana budak-budak sedang bercuti. Hope saya tidak alaminya untuk tahun depan.

Jauh di sudut hati, saya seronok untuk mengemudi majalah ini. Terus terimbau saat saya diijab kabulkan 12 tahun lalu. Terbayang saat membuat persiapan dan Semua House Jalan TAR menjadi destinasi pilihan wajib untuk mencari barang perkahwinan.

Banyak lagi untuk saya ceritakan di sini, dalam entri akan datang. Yang pasti, momen itu (1492001) cukup indah untuk dikenang biarpun sudah lama berlalu.

Paling seronok kerana waktu itu masih ada arwah mak yang sama-sama bergembira di hari bahagia saya.

Semoga saya diberi kekuatan untuk terus kembali menulis di blog ini kerana curahan ide baru yang seakan mahu melimpah keluar dari kepala.

Tunggu...semuanya akan berkaitan dengan bakal persiapan menuju gerbang bahagia buat sang mempelai@pengantin@orangbaru@kerja kahwin.

Hot Mama Reen
6:50 pm


My kids yang sibuk bertanya 'nape mama asyik balik lambat je'...biar sibuk tetap selit-selit masa beli baju sekolah.

Tuesday, December 3, 2013

OH! LOVE MY JACKET

2/12/2013
23:56pm

Salam,

Rona terang bagi yang berani.

Lama sungguh tak menjengah laman blog ini...alasannya mestilah sebab sibuk menguruskan keperluan rumahtangga. Tetapi saya terbaca share seorang teman blog dari kelas netty ah hiyer, katanya tetap akan menulis jugak even sibuk, laptop rosak dengan hanya menggunakan telefon bb yang kecil.

Dalam hati saya gigih betul dia menunaikan hajat yang satu. Saya sebagai penulis juga kadang-kadang tiba hari malas, terus tak sentuh sebarang gajet.

Kali ini semangat saya datang semula dan saya mahu tulis entri mengenai Gayaku Hijabku, iaitu pasal jaket. Sebenarnya ide nak tulis entri ini sudah ada dalam benak fikiran, cuma kekangan masa. Malam ini agak santai sedikit memandangkan anak-anak sudah nyenyak tidur dan En. Abah pula jauh di perantauan (jumpa awek Jepun katanya).

Ketika masih dalam tempoh bercuti tempohari, saya membawa kaki ini untuk ke AEON Bukit Tinggi (dekat rumah). Tujuannya hanya untuk cuci mata setelah sekian lama terperap dalam rumah.

Saya gemarkan aktiviti window shopping ini kerana ia bagai terapi kepada segala masalah. Kegembiraan berganda bila berjaya mendapatkan hasil tangkapan.

Dari satu kedai ke satu kedai saya lalu dan singgah. Dalam fikiran saya mahu mencari jaket sesuai. Kebanyakan yang saya lihat tidak menarik hinggalah melangkah masuk ke butik Levi's (paling best untuk mencari jeans). Saya melihat patung di luar mengenakan jaket yang saya kira amat cantik dan begitu stail.


Jaket denim sering jadi pilihan ramai.


Harapan saya agar ada saiz sesuai tetapi setelah dicari, tidak ada saiz untuk saya. Saya betul-betul frust dan berharap akan ada di cawangan lain. Fikiran mula terbayang jika jaket denim itu dipadankan dengan jeans ataupun skirt.

Memang saya akui jaket itu cukup cantik. Malah sesuai dengan gaya saya yang mahu kelihatan ringkas sahaja.

Malah dah lama saya mencari jaket kerana bagi saya ia boleh dipadankan dengan apa jua padanan. Sarungkan sahaja dengan jeans, skirt, slack ataupun dres labuh. Ia tetap nampak cantik dan memikat hati.

Padanan bersesuaian menjadikan gaya anda nampak ranggi, menawan dan masih mengekalkan gaya Muslimah. Ada macam-macam jaket yang ada di pasaran, misalnya jaket atau blazer untuk yang mahu berrgaya formal, jaket kulit untuk yang ranggi, jaket denim ataupun jaket yang bercorak seperti bunga (saya tidak berapa menyukai jaket motif floral).

Jika kita layari carian google, banyak butik online menawarkan jaket dengan harga berpatutan. Ada juga saya survey, tetapi pilihan gambar seperti lebih kepada mereka bertubuh kecil...amat frust sekali.

Saya memang cerewet mengenai gaya yang satu ini. Kalau boleh saya mahu cuba dan acu padan di badan sendiri. Bagi saya fesyen jaket ini seperti lagu yang evegreen, akan sentiasa dicari orang walaupun lambakan gaya kini.

Dulu ketika belajar di USM, saya ada memiliki jaket yang saya beli di butik EIC (butik feveret untuk beli tshirt & beg). Saya gunakan jaket itu setiap kali menaiki motor di kampus untuk ke kuliah.  Jaket itu saya simpan dan guna even sudah bekerja.

Kata orang ada nilai tersendiri walaupun dibeli duit sendiri (mahal kerana itu masih bergelar student). Tetapi jaket itu kini sudah MIA (missing in action). Puas saya cari tetapi tak jumpa. Dan sampai sekarang saya masih lagi berharap jaket itu kelak kembali kepada tuannya.

Walau apa sekalipun, jaket adalah pelengkap gaya seseorang. Dua tiga tahun lepas, saya kira gaya kardigan menjadi fenomema.

Ia berfungsi seperti jaket, cuma labuh sedikit dan berbentuk meleret di hujungnya. Kardigan ini biasanya dipadankan dengan tshirt sahaja. Macam-macam warna dan saya juga memilikinya sehelai (tidak mahu ketinggalan gitu). Begitu juga demam balero, seperti kardigan tetapi pendek sedikit dan lebih stail.

 
Baik kardigan atau balero masih lagi jadi pilihan pengguna dan siapa mahu yang murah dan cantik, panjat sahaja Kenangan Wholesale Center. Namun awas, anda tidak boleh beli sehelai tetapi 3 helai bagi mendapatkan harga istimewa. Jadi sangat dialu-alukan membawa teman ketika shopping di sini.

Jaket cantik...
1. Dipadankan dengan boot.
2. Sesuai dengan tshirt pendek atau tiada lengan (agar tidak panas).
3. Cari jaket yang tidak terlalu panas untuk aktiviti luar.
4. Jika baju dalam berbunga, elakkan pilih jaket motif flora.
5. Digayakan oleh meraka yang punya ketinggian.
6. Terpulang pada gaya anda, jika pejabat pilih yang formal seperti blazer, jika untuk aktiviti lasak, kulit atau denim amat sesuai.
7. Warna selamat seperti, biru tua, coklat ataupun kelabu (boleh juga jika berani pilih jaket warna merah ataupun ungu seperti model Kimora Lee).



Tip shopping:
1. Buat survey dua tiga kedai sebelum ke sesuatu tempat.
2. Bandingkan harga barang yang mahu dibeli.
3. Jika membeli di kedai borong, pastikan membawa kawan supaya harga lebih murah.
4. Untuk jimat, jangan bawa wang yang banyak ataupun kredit kad.
5. Ajak kawan untuk membuat pilihan barangan.



Hot Mama Reen
00:25 am





Monday, December 2, 2013

SELENDANG VS TUDUNG AWNING

3/12/2013
00:23am

Salam,

Ketika menulis entri ini, ide begitu mencurah-curah. Tetapi bahasa entri tidak perlu seperti novel kerana mereka yang membaca lebih gemar bahasa santai.

Sebelum menulis tadi saya sempat melihat program romantika yang disiarkan di astro saluran 134 (kalau x silap & penerbitnya zulakmarwati adalah senior saya di USM).

Saya menonton romantika memaparkan kisah pelakon natasya hudson di samping suaminya carleed dan dua cahayamata mereka.

Saya bukan mahu persoal cerita perkahwinan pelakon dan juga model itu. Tetapi penghijrahan yang dilakukan oleh natasya. Menurut temubual bersama ibunya, natasha berubah 360 darjah sebaik balik mengerjakan umrah.

Oh! Bagus sekali penghijrahan yang dibuat. Ya dulu natasha juga salah seorang pelakon dan model yang boleh tahan penampilannya.

Tetapi kini, dia tetap manis dan menawan dalam hijabnya yang cukup simple. Sekadar lilitan biasa yang menyerlahkan sisi anggun natasha.

Menurut suami, walaupun natasha sudah berhijab, tetapi dia masih lagi pandai menggayakan penampilan yang stail. Malah katanya lagi 'natasha kita sudah berhijabista'.

Suka saya melihat gayanya. Benar sapa kata jika berhijab tidak boleh bergaya. Stail itu mengikut kreativiti seseorang dan bijak menggayakan busana yang dipakai.

Seperti juga misz nina, alhamdulillah, perubahan dirinya cukup menakjubkan. Seperti natasha, dia juga berubah 360 darjah sebaik pulang mengerjakan haji tahun ini.

Masih lagi maintan dalam berfesyen cuma gayanya menjurus kepada lebih menutup aurat. Biarpun bergaya turban (saya suka style ni dulu), namun bijak menutup leher dengan inner. Malah pakaian yang dikenakan juga longgar berbanding penampilan dia yang cukup seksi suatu ketika dulu.

Kalau dulu mereka yang bertudung hanya tertakluk pada satu-satu fesyen. Tetapi kini tidak lagi. Dengan hanya sehelai selendang, pelbagai gaya boleh dilakukan. Nah! Jangan bilang fesyen hijab itu kolot, sebaliknya ia dianggap begitu mendominasi dunia fesyen kini.

Tidak salah kit bereksperimen dalam berhijab, cuma jangan keterlaluan. Contohi sahaja gaya natasha, yatt hamzah, irma hasmie, misz nina dan beberapa lagi artis yang memilih untuk berhijab. Jika artis, lagi banyak ikutan dan mereka sebenarnya membawa pengaruh baik. Mungkin boleh mendorong mereka yang tidak berhijab untuk mengenakannya sebagai gaya seharian.

Walau apa sekalipun gaya hijab anda, pastikan selesa, kemas dan yang penting menutup aurat. Jika mahu yang simple, sarung sahaja tudung ready to ware ataupun selendang yang boleh dicuba seribu gaya.

Hot Mama Reen
00:46 am

siapa sangka kadang-kadang kita boleh tersama pakai tudung...bukan saja tudung, gaya lilitan pun sama (with tokey tudung @eizan ariffin)

Tuesday, November 26, 2013

AMUKAN SANG SUAMI

26/11/2013
17:30 pm



Bercuti mampu menceriakan pasangan.


Salam,

Alamak cukup ngeri pagi tadi melihat heading muka depan Harian Metro yang menceritakan bagaimana seorang wanita patah tulang hidung manakala bayinya yang berusia tiga bulan menerima rawatan kerana dikhuatiri mengalami gegaran otak.

Ini adalah gara-gara amukan seorang suami yang naik minyak selepas kecurangan dengan wanita lain terbongkar.

Oh! Saya mengucap panjang. Dalam hati berkata-kata 'gila ke lelaki ini' sanggup cederakan teman tidurnya. Apakah malang wanita ini yang bersuamikan lelaki yang tidak sedar diri. Apakah ini yang dikatakan jodoh? Atau mungkin memang sebelum kahwin kedua-duanya saling cinta mencintai.

Zaman sekarang rasanya cinta tak boleh bawa ke mana. Tanpa ada duit cinta bagai nak rak pun tak berguna.

Bagi saya lelaki ini kalau dia dah gatal, susah untuk ditundukkan semula. Ermmmm lebih-lebih lagi yang nak memasuki angka 40-an. Kata orang life beginning @ 40...

Ah! Itu hanya dakwaan kosong yang tidak berasas. Jika sudah saling menyayangi, kenapa seseorang lelaki itu mahu berpaling arah mencari cinta hati lain.

Mahu cari penyakit namanya. Saya rasa jika lelaki itu mahu bercinta sekalipun, jangan lampias emosi marah itu pada isteri dan anak. Mereka tidak bersalah terutama bayi yang berusia tiga bulan itu. Apalah dosa dan si kecil itu tahu apa yang terjadi antara ibu bapanya.

Dalam menyusuri rumahtangga masuk tahun ke 13 ini, saya sentiasa berdoa dan mengharapkan yang terbaik dalam hubungan kami. Malu rasanya jika bergaduh depan anak-anak, apatah lagi mereka kian meningkat dewasa.

Seseorang lelaki itu mungkin tidak akan berpaling pada orang lain sekiranya kehendaknya dituruti. Tidak susah sebenarnya mahu membuatkan mereka setia pada kita.

Jika tangan ibu ini yang menghayun buaian boleh mengoncang dunia, tidak mustahil juga dengan tangan ibu ini juga mampu mengusap lembut hati lelaki. Caranya, mudah sahaja..ikat perut mereka dengan makanan yang hebat serta layanan setanding raja.

Namun berita wanita yang ditindas, didera dan diperlakukan seperti binatang ini memang sering dipaparkan di media. Makin lama makin banyak kes yang kita ketahui. Ish! Saya mahu ingatkan anda di luar sana, sebelum kahwin, jika seseorang lelaki itu mudah naik tangan, baik tinggalkan sahaja. Usah dilayan apatah lagi mengajaknya untuk berkahwin.

Bagi saya senang sahaja, insan yang baik adalah untuk pasangan yang baik-baik sahaja. Dan selagi belum kahwin, anda berhak memilih menentukan jodoh terbaik. Oppss..saya selitkan juga beberapa tip untuk kita (yang bakal dan sudah berkahwin) untuk tanbat hati pasangan.

Tip tambat hati pasangan:
1. Sentiasa mendengar katanya.
2. Pastikan anda masak dan ikat perutnya dengan masakan enak.
3. Sentiasa berkomunikasi dalam apa jua masalah.
4. Ambil hatinya dengan membelikan hadiah, walaupun ia murah.
5. Apa kata ajak makan malam berdua sahaja di tempat yang eksklusif.
6. Jangan buat perkara yang tidak disukai pasangan.

Hot Mama Reen
17:45 pm


Monday, November 25, 2013

YEAY..I'M BACK

26/11/2013
10:22 am

Salam,

Semalam saya berkesempatan untuk bekerja semula setelah dua minggu diberi cuti rehat. Seronok rasanya dapat kembali bekerja dan duduk di cubicle saya. Sesungguhnya saya akui memang senang dengan persekitaran di pejabat di samping teman (wani, emi, elin, tun, miri, mama itt, nora, ida, jj, che osh, intan, maizan, maswa, miza, linda, eizan dan teman-teman lain) yang memang begitu menggembirakan saya.

Dua minggu sebelum itu memang saya akui mood agak kureng. Maklumlah keadaan akan bercelaru dan pelbagai perasaan bermain dalam fikiran. Namun setelah dua minggu, saya mula rindu suasana kerja dan rakan-rakan saya.

Sebaik melangkah masuk, saya disambut dengan tawa mesra teman-teman yang ketika itu turut meraikan potluck 'mak hanyam' kak liza yang akan berpindah ke 'new destination'...gud luck to her.

Potluck with Kak Liza..jangan lupa kami naa...


Ramai bertanya keadaan kesihatan saya. Saya hanya menjawab 'Alhamdulillah' dan emosi sudah kembali stabil. Benar saya sudah pulih dari kedukaan sementara itu.

Saya memang tidak sabar untuk bekerja. Sebenarnya saya lebih suka bekerja dari duduk rumah (apatah lagi jika anak-anak ada, mereka boleh buat saya sakit kepala dan hilang suara).

Saya akui sepanjang 13 tahun bekerja di Karangkraf, situasi bekerja memang agak menyenangkan. Sama ada persekitaran atau teman-temanya. Tidak betah rasanya untuk mencari kerja di tempat lain kerana keindahannya ada di sini.

Selepas ini, jika tidak bekerja di sinipun, saya tidak akan mencari pekerjaan lain kecuali mungkin mencuba bidang baru, seperti blogger atau online bisnes (hehe dalam perancangan).

Kenapa saya kata best bekerja? Ini kerana hubungan kami di sini seperti adik beradik. Kala susah dan senang bersama. Seperti ketika saya menerima berita sedih tempohari, rakan-rakan yang paling terdekat mennenangkan saya. Tidak meminggirkan mana-mana gender, semuanya bersikap baik pada saya.

Saya percaya, jika kita baik dengan seseorang, maka baik juga yang akan dibalas pada kita. Dan saya paling suka acara makan makan-makan atau potluck.

Ni masa time lepas raya...so hidangan lebih pada juadah raya yer...

Biasanya kami buat makan-makan ni bila mahu menyambut sesuatu majlis. Misalnya untuk permulaan puasa, sambutan raya ataupun saja-saja nak buat makan-makan (selalunya waktu dapat gaji).

Macam-macam makanan yang dibawa teman-teman. Masing-masing menunjukkan skil memasak dan saya memang suka senario ini. Walaupun makanan itu simple (karamel elin paling best) tetapi begitu bermakna potluck yang diadakan. Kata orang lebih merapatkan silaturrahim...

Yang bestnya potluck kami ni disertakan dengan pertandingan pakaian tercantik...
ni antara pemenang & hadiah saya selalunya sponsor.


Oleh sebab itu saya memang suka bekerja. Cara bekerja kami cukup santai. Gelak ketawa teman-teman memang begitu mendamaikan dan mampu menceriakan hati yang gundah. Maklumlah kerja kami sentiasa dihambat deadline, so ketawa yang dicetuskan mampu mengundang bahagia.

Ni pula majlis simple 'makan-makan' with Nana (last day dia).


Semoga saya terus diberi kekuatan untuk terus berada di sini dan menerajui sesuatu yang baru (kena buat kamus bahasa fesyen lepas ni). Dan terus diberi peluang untuk merasai momen (di atas).

Hot Mama Reen
11:20 pm

Acara makan-makan kami ni kadang-kadang dipanjangkan ke luar, masa ni open house raya..JJ tuan rumah.



Thursday, November 21, 2013

KEMAAFAN YANG TERINDAH

21/11/2013
23:28 pm

Salam,

Saya nak tulis sambungan entri sebelum ini. Entri 'Mama, Aqil tak nak jadi bear'. Sebenarnya ada cerita tersembunyi di sebalik majlis itu.

Biasalah bila ada majlis keramaian begini, saya memang takkan lepaskan peluang untuk bergambar. Setelah majlis selesai, saya mengajak Aqil, Adam dan Syafiqah untuk bergambar bersama.

Saya kira gambar atas pentas di hadapan pasti nampak cantik dengan tulisan majlis Ihtifal 2013. Seperti biasa setiap kali bergambar, saya akan posing mengikut kesukaan. Tetapi memandangkan ketika itu saya masih dalam pantang, saya hanya bergambar biasa-biasa saja.

Oleh kerana tiada sesiapa di situ, saya suruh Syafiqah mengambil gambar. Namun anak dara saya 'melarikan diri' daripada mengambil gambar saya dan Aqil. Memandangkan saya sudah pose cantik, terpaksa juga saya menyuruh Adam mengambil gambar.

Gambar pertama diambil (melalui samsung note 1), agak blur dan saya menyuruh dia mengambilnya semula. Hasilnya okay lah berbanding yang tadi. Tetapi saya agak kecil hati dengan kelakuan Syafiqah. Mengenang penolakan anak dara saya menyebabkan mood saya terus mati untuk terus bergambar.


Gambar pertama Adam ambil, agak blur.
Saya kemudiannya bertanya Syafiqah kenapa dia tak mahu mengambil gambar saya, katanya malu (mungkin untuk ke depan mengambil gambar). Saya pun apa lagi terus memarahinya sambil mengatakan 'dengan emak sendiri pun nak malu'. Oh! Apa dah jadi dengan anak ini. Saya bukan suruh dia buat apa, sekadar mengambil gambar.

Selepas detik itu saya memikirkan cara terbaik untuk menghukum perlakuannya itu. Bukan mudah untuk menangani masalah ini memandangkan dia sudah semakin meningkat dewasa. Bimbang jika dimarahi akan jadi dendam. Jadi saya menggunakan pendekatan terbaik pada saya) dengan melancarkan perang psikologi padanya.

Caranya adalah saya tidak layan setiap pertanyaannya ataupun menegurnya. Dia jadi begitu asing pada saya. Saya hanya guna perantara Adam untuk menyuruh dia makan dan sebagainya. Malah, saya larang dia dari guna gajet  yang ada.


Gambar kedua diambil oleh Adam..okay lah.
Keesokan hari, perang psikologi terus berjalan. Kali ini lagi hebat, apabila En. Abah mengajak ke Jusco dan saya enggan membawa Syafiqah (walaupun dia sudah mandi dan bersiap). Saya katakan pada Adam ( dengan harapan sampaikan pada kakaknya) 'selagi kakak tak minta maaf pada mama, selagi itu mama takkan layan dia'.

Adam memang budak yang bagus dan menurut perintah. Dia bagi tahu kakaknya pesanan saya dan kakaknya juga menjawab bagi pihak. Katanya 'mama, kakak malu nak mimta maaf. Dia suruh Adam cakap'. Saya kata balik, 'siapa salah, dia yang kena mintaa maaf'.

Tapi hati anak dara saya ini agak keras dan saya lihat ada ego di situ. Dia tak mahu mintaa maaf pada saya kerana malu. Takkan dengan mak sendiri malu? Saya taknak beri muka padanya ( walaupun hati ibu ini rasa kasihan melihat dia seperti dipulaukan).

Senang sahaja untuk jernihkan keadaan. Dia hanya perlu sebut tiga perkataan 'mama, kakak minta maaf'...bukan susah dan segalanya akan kembali seperti biasa.

Saya hanya tunggu permohonan maaf daripadanya. Akhirnya menjelang petang pada hari kedua perang psikologi, anak dara saya minta maaf pada saya. Terus lapang dada saya mendengar 'mama kakak minta maaf' sambil mencium tangan saya. Saya bersyukur kerana Tuhan lembutkan hatinya.

Sebenarnya saya juga bimbang jika perang psikologi ini berlarutan. Saya bukannya mahu mencari gaduh dengan anak sendiri, tetapi saya rasa itu sebagai pengajaran padanya agar hormat orang tua. Saya pesan padanya, 'jangan sakitkan hati mama lagi. Berdosa tau'. Dia hanya angguk dan saya melihat seperti dia menutup mata dengan tangan tanda menangis.

Pada saya biar dia menangis sekarang daripada hati saya nanti jadi keras seperti batu dan perang psikologi ini pasti berlarutan mungkin sebulan, setahun atau sehingga dia dewasa. Seperti yang pernah saya tulis dalam entri sebelum ini, saya memang tidak begitu rapat dengan anak dara ini.

Tetapi setiap kali beli barang, saya pasti ingat dirinya. En. Abah cakap ''dah anak awak'. Saya akur dengan kata-kata itu dan sememangnya dia anak perempuan seorang dalam keluarga kecil kami. Ya, saya berdoa agar satu hari nanti hubungan kami akan rapat seperti adik dan kakak.

Dan saya berharap juga satu hari nanti dia akan menghadiahkan kepada saya sesuatu yang menggembirakan hati ibunya.

Hot Mama Reen
00:00 am

Syafiqah cukup rapat dengan Aiman, suruhlah apa sahaja mengenai Aiman pasti dia tidak akan menolaknya.



Tuesday, November 19, 2013

CONFESSIONS OF A SHOPAHOLIC



19/11/2013
17:06 pm


Salam...

Hari ini setelah selesai followup check up (alhamdulillah tiada apa-apa masalah), saya terus bergegas ke sebuah pusat beli belah hebat di kota metropolitan Kuala Lumpur. Sebut sahaja nama sure semua tahu.

Tempat apa lagi jika bukan KLCC. Saya ke sana dengan satu tujuan iaitu meneman En. Abah yang nak membeli beberapa barangannya.

Sedang menunggu, mata saya asyik melihat orang yang lalu lalang. Tempat beli belah ini bukan sahaja penuh ketika hari cuti tetapi juga hari-hari biasa. Dalam hati entah apa yang mereka beli dan kata tidak kerja ke mereka-mereka  ini.

Dalam mata ligat memandang, saya melihat gaya fesyen mereka (terutama pengunjung). Macam-macam yang saya lihat. Ada yang hanya biasa-biasa saja dan ada yang gaya terlebih. Terutamanya anak-anak muda yang sakan berjalan bersama teman masing-masing.

Bagi saya di sinilah kota fesyen seperti Milan Paris ataupun London. Nah, apa sahaja fesyen dari butik terkemuka di sediakan untuk anda. Dari butik hebat seperti LV, Prada, Channel, Gucci (sekadar menyebut beberapa nama popular) atau nama-nama biasa yang turut jadi pilihan warga kota. Antaranya Uniqlo, Zaraa, MNG dan beberapa lagi nama butik (banyak sangat nak ingat).

Ada juga kiosk2 kecil yang menjual barangan biasa tetapi harga yang dijual amboi mahal giler. Agaknya semua yang datang ke KLCC ini berduit dan mampu membelinya (tidak termasuk saya, saya lebih suka bundle).

Dalam pemerhatian saya juga, kebanyakan mereka yang bekerja banyak memilih gaya sederhana. Sekadar seluar panjang yang dipadankan dengan blaus atau kemeja. Mungkin jika nak lihat gaya mereka saya kena panjat dari satu pejabat ke satu pejabat (hehehe).

Tetapi naluri shopping memang begitu kuat dalam hati saya. Pantang terpandang perkataan 'Sale', terus mata saya bulat dan kaki mula melangkah masuk. Walaupun tahu 'sale' yang dibuat bukanlah banyak sangat setakat 10% ataupun 20%.

Kalau dulu memang saya pantang lihat benda 'sale' ini. Saya memang akan turut kata hati. Jika sudah berkenan saya akan terus beli dan swipe kredit kad. Bayangkan hobi bershopping ini menyebabkan hutang kredit kad saya pernah mencecah ribuan ringgit.

Saya memang bayar tiap-tiap bulan tetapi rupanya hanya bayar interest sahaja. Hidup saya memang agak gila waktu itu. Bayar tiap-tiap bulan tetapi hutang tetap meningkat. Lama kelamaan setelah berfikir, saya ambil keputusan settlekan jumlah tertunggak dan terus luputkan kredit kad berkenaan.

Kini bukan saya tidak ada kredit kad, tetapi saya hanya 'sign up' untuk mendapatkan points sahaja. Berkat kumpul points ini menyebabkan saya boleh redeem barangan elektrik, baucer Jusco dan beberapa lagi barangan.

Sekarang ini, saya akan pastikan perbelanjaan kad kredit saya tidak melebihi 1K, jika lebih dari itu saya akan cepat-cepat bayar. Sakit mata jika melihat jumlahnya melebihi limit yang saya tetapkan.

Saya teringat satu filem


 
Jangan jadi Becca dalam filem ini yang memang giler bershoping..
.mahal-mahal tau barangan dia beli.
Conffessions of a Shopaholic (filem ini diadaptasi daripada novel the shopaholic
series tulisan Shophie Kinsella).

Filem ini mengisahkan bagaimana
watak utama Rebecca yang tidak boleh menyekat keinginannya untuk bershopping.

Pantang melihat tag sale, dia akan beli walaupun bukan keperluan. Hinggakan dia masuk kelas kaunseling dan akhirnya mereka membuat garaj sale menjual barangan yang tidak diperlukan. Duit yang diperolehi digunakan untuk membayar segala hutang-hutangnya.

Saya melihat diri saya dalam filem itu. Saya tersenyum dan membandingkan dirinya dengan saya. Itu dulu dan kini saya masih lagi gila dengan perkataan 'sale' itu tetapi masih boleh kontrol. Saya agak teman saya Mama Itt juga punya pengalaman seperti saya (bab kad kredit).
Saya akan jadi lebih bijak berbelanja dan mengutamakan yang perlu sahaja. Dan paling saya suka beli barangan itu dengan harga murah tetapi nampak cantik. Ah! susah apa...carian di google akan menemukan anda dengan pelbagai barangan cantik yang dijual.

Kata orang menang membeli alah memakai. Cuma saya suka beli barangan itu yang saya boleh pegang, rasa dan cuba pakainya (agak kolot, tetapi itulah diri saya sebenarnya). Rasa puas dan jika berkenan saya akan terus beli sahaja.


Hot Mama Reen
5:33 pm