Tuesday, November 26, 2013

AMUKAN SANG SUAMI

26/11/2013
17:30 pm



Bercuti mampu menceriakan pasangan.


Salam,

Alamak cukup ngeri pagi tadi melihat heading muka depan Harian Metro yang menceritakan bagaimana seorang wanita patah tulang hidung manakala bayinya yang berusia tiga bulan menerima rawatan kerana dikhuatiri mengalami gegaran otak.

Ini adalah gara-gara amukan seorang suami yang naik minyak selepas kecurangan dengan wanita lain terbongkar.

Oh! Saya mengucap panjang. Dalam hati berkata-kata 'gila ke lelaki ini' sanggup cederakan teman tidurnya. Apakah malang wanita ini yang bersuamikan lelaki yang tidak sedar diri. Apakah ini yang dikatakan jodoh? Atau mungkin memang sebelum kahwin kedua-duanya saling cinta mencintai.

Zaman sekarang rasanya cinta tak boleh bawa ke mana. Tanpa ada duit cinta bagai nak rak pun tak berguna.

Bagi saya lelaki ini kalau dia dah gatal, susah untuk ditundukkan semula. Ermmmm lebih-lebih lagi yang nak memasuki angka 40-an. Kata orang life beginning @ 40...

Ah! Itu hanya dakwaan kosong yang tidak berasas. Jika sudah saling menyayangi, kenapa seseorang lelaki itu mahu berpaling arah mencari cinta hati lain.

Mahu cari penyakit namanya. Saya rasa jika lelaki itu mahu bercinta sekalipun, jangan lampias emosi marah itu pada isteri dan anak. Mereka tidak bersalah terutama bayi yang berusia tiga bulan itu. Apalah dosa dan si kecil itu tahu apa yang terjadi antara ibu bapanya.

Dalam menyusuri rumahtangga masuk tahun ke 13 ini, saya sentiasa berdoa dan mengharapkan yang terbaik dalam hubungan kami. Malu rasanya jika bergaduh depan anak-anak, apatah lagi mereka kian meningkat dewasa.

Seseorang lelaki itu mungkin tidak akan berpaling pada orang lain sekiranya kehendaknya dituruti. Tidak susah sebenarnya mahu membuatkan mereka setia pada kita.

Jika tangan ibu ini yang menghayun buaian boleh mengoncang dunia, tidak mustahil juga dengan tangan ibu ini juga mampu mengusap lembut hati lelaki. Caranya, mudah sahaja..ikat perut mereka dengan makanan yang hebat serta layanan setanding raja.

Namun berita wanita yang ditindas, didera dan diperlakukan seperti binatang ini memang sering dipaparkan di media. Makin lama makin banyak kes yang kita ketahui. Ish! Saya mahu ingatkan anda di luar sana, sebelum kahwin, jika seseorang lelaki itu mudah naik tangan, baik tinggalkan sahaja. Usah dilayan apatah lagi mengajaknya untuk berkahwin.

Bagi saya senang sahaja, insan yang baik adalah untuk pasangan yang baik-baik sahaja. Dan selagi belum kahwin, anda berhak memilih menentukan jodoh terbaik. Oppss..saya selitkan juga beberapa tip untuk kita (yang bakal dan sudah berkahwin) untuk tanbat hati pasangan.

Tip tambat hati pasangan:
1. Sentiasa mendengar katanya.
2. Pastikan anda masak dan ikat perutnya dengan masakan enak.
3. Sentiasa berkomunikasi dalam apa jua masalah.
4. Ambil hatinya dengan membelikan hadiah, walaupun ia murah.
5. Apa kata ajak makan malam berdua sahaja di tempat yang eksklusif.
6. Jangan buat perkara yang tidak disukai pasangan.

Hot Mama Reen
17:45 pm


Monday, November 25, 2013

YEAY..I'M BACK

26/11/2013
10:22 am

Salam,

Semalam saya berkesempatan untuk bekerja semula setelah dua minggu diberi cuti rehat. Seronok rasanya dapat kembali bekerja dan duduk di cubicle saya. Sesungguhnya saya akui memang senang dengan persekitaran di pejabat di samping teman (wani, emi, elin, tun, miri, mama itt, nora, ida, jj, che osh, intan, maizan, maswa, miza, linda, eizan dan teman-teman lain) yang memang begitu menggembirakan saya.

Dua minggu sebelum itu memang saya akui mood agak kureng. Maklumlah keadaan akan bercelaru dan pelbagai perasaan bermain dalam fikiran. Namun setelah dua minggu, saya mula rindu suasana kerja dan rakan-rakan saya.

Sebaik melangkah masuk, saya disambut dengan tawa mesra teman-teman yang ketika itu turut meraikan potluck 'mak hanyam' kak liza yang akan berpindah ke 'new destination'...gud luck to her.

Potluck with Kak Liza..jangan lupa kami naa...


Ramai bertanya keadaan kesihatan saya. Saya hanya menjawab 'Alhamdulillah' dan emosi sudah kembali stabil. Benar saya sudah pulih dari kedukaan sementara itu.

Saya memang tidak sabar untuk bekerja. Sebenarnya saya lebih suka bekerja dari duduk rumah (apatah lagi jika anak-anak ada, mereka boleh buat saya sakit kepala dan hilang suara).

Saya akui sepanjang 13 tahun bekerja di Karangkraf, situasi bekerja memang agak menyenangkan. Sama ada persekitaran atau teman-temanya. Tidak betah rasanya untuk mencari kerja di tempat lain kerana keindahannya ada di sini.

Selepas ini, jika tidak bekerja di sinipun, saya tidak akan mencari pekerjaan lain kecuali mungkin mencuba bidang baru, seperti blogger atau online bisnes (hehe dalam perancangan).

Kenapa saya kata best bekerja? Ini kerana hubungan kami di sini seperti adik beradik. Kala susah dan senang bersama. Seperti ketika saya menerima berita sedih tempohari, rakan-rakan yang paling terdekat mennenangkan saya. Tidak meminggirkan mana-mana gender, semuanya bersikap baik pada saya.

Saya percaya, jika kita baik dengan seseorang, maka baik juga yang akan dibalas pada kita. Dan saya paling suka acara makan makan-makan atau potluck.

Ni masa time lepas raya...so hidangan lebih pada juadah raya yer...

Biasanya kami buat makan-makan ni bila mahu menyambut sesuatu majlis. Misalnya untuk permulaan puasa, sambutan raya ataupun saja-saja nak buat makan-makan (selalunya waktu dapat gaji).

Macam-macam makanan yang dibawa teman-teman. Masing-masing menunjukkan skil memasak dan saya memang suka senario ini. Walaupun makanan itu simple (karamel elin paling best) tetapi begitu bermakna potluck yang diadakan. Kata orang lebih merapatkan silaturrahim...

Yang bestnya potluck kami ni disertakan dengan pertandingan pakaian tercantik...
ni antara pemenang & hadiah saya selalunya sponsor.


Oleh sebab itu saya memang suka bekerja. Cara bekerja kami cukup santai. Gelak ketawa teman-teman memang begitu mendamaikan dan mampu menceriakan hati yang gundah. Maklumlah kerja kami sentiasa dihambat deadline, so ketawa yang dicetuskan mampu mengundang bahagia.

Ni pula majlis simple 'makan-makan' with Nana (last day dia).


Semoga saya terus diberi kekuatan untuk terus berada di sini dan menerajui sesuatu yang baru (kena buat kamus bahasa fesyen lepas ni). Dan terus diberi peluang untuk merasai momen (di atas).

Hot Mama Reen
11:20 pm

Acara makan-makan kami ni kadang-kadang dipanjangkan ke luar, masa ni open house raya..JJ tuan rumah.



Thursday, November 21, 2013

KEMAAFAN YANG TERINDAH

21/11/2013
23:28 pm

Salam,

Saya nak tulis sambungan entri sebelum ini. Entri 'Mama, Aqil tak nak jadi bear'. Sebenarnya ada cerita tersembunyi di sebalik majlis itu.

Biasalah bila ada majlis keramaian begini, saya memang takkan lepaskan peluang untuk bergambar. Setelah majlis selesai, saya mengajak Aqil, Adam dan Syafiqah untuk bergambar bersama.

Saya kira gambar atas pentas di hadapan pasti nampak cantik dengan tulisan majlis Ihtifal 2013. Seperti biasa setiap kali bergambar, saya akan posing mengikut kesukaan. Tetapi memandangkan ketika itu saya masih dalam pantang, saya hanya bergambar biasa-biasa saja.

Oleh kerana tiada sesiapa di situ, saya suruh Syafiqah mengambil gambar. Namun anak dara saya 'melarikan diri' daripada mengambil gambar saya dan Aqil. Memandangkan saya sudah pose cantik, terpaksa juga saya menyuruh Adam mengambil gambar.

Gambar pertama diambil (melalui samsung note 1), agak blur dan saya menyuruh dia mengambilnya semula. Hasilnya okay lah berbanding yang tadi. Tetapi saya agak kecil hati dengan kelakuan Syafiqah. Mengenang penolakan anak dara saya menyebabkan mood saya terus mati untuk terus bergambar.


Gambar pertama Adam ambil, agak blur.
Saya kemudiannya bertanya Syafiqah kenapa dia tak mahu mengambil gambar saya, katanya malu (mungkin untuk ke depan mengambil gambar). Saya pun apa lagi terus memarahinya sambil mengatakan 'dengan emak sendiri pun nak malu'. Oh! Apa dah jadi dengan anak ini. Saya bukan suruh dia buat apa, sekadar mengambil gambar.

Selepas detik itu saya memikirkan cara terbaik untuk menghukum perlakuannya itu. Bukan mudah untuk menangani masalah ini memandangkan dia sudah semakin meningkat dewasa. Bimbang jika dimarahi akan jadi dendam. Jadi saya menggunakan pendekatan terbaik pada saya) dengan melancarkan perang psikologi padanya.

Caranya adalah saya tidak layan setiap pertanyaannya ataupun menegurnya. Dia jadi begitu asing pada saya. Saya hanya guna perantara Adam untuk menyuruh dia makan dan sebagainya. Malah, saya larang dia dari guna gajet  yang ada.


Gambar kedua diambil oleh Adam..okay lah.
Keesokan hari, perang psikologi terus berjalan. Kali ini lagi hebat, apabila En. Abah mengajak ke Jusco dan saya enggan membawa Syafiqah (walaupun dia sudah mandi dan bersiap). Saya katakan pada Adam ( dengan harapan sampaikan pada kakaknya) 'selagi kakak tak minta maaf pada mama, selagi itu mama takkan layan dia'.

Adam memang budak yang bagus dan menurut perintah. Dia bagi tahu kakaknya pesanan saya dan kakaknya juga menjawab bagi pihak. Katanya 'mama, kakak malu nak mimta maaf. Dia suruh Adam cakap'. Saya kata balik, 'siapa salah, dia yang kena mintaa maaf'.

Tapi hati anak dara saya ini agak keras dan saya lihat ada ego di situ. Dia tak mahu mintaa maaf pada saya kerana malu. Takkan dengan mak sendiri malu? Saya taknak beri muka padanya ( walaupun hati ibu ini rasa kasihan melihat dia seperti dipulaukan).

Senang sahaja untuk jernihkan keadaan. Dia hanya perlu sebut tiga perkataan 'mama, kakak minta maaf'...bukan susah dan segalanya akan kembali seperti biasa.

Saya hanya tunggu permohonan maaf daripadanya. Akhirnya menjelang petang pada hari kedua perang psikologi, anak dara saya minta maaf pada saya. Terus lapang dada saya mendengar 'mama kakak minta maaf' sambil mencium tangan saya. Saya bersyukur kerana Tuhan lembutkan hatinya.

Sebenarnya saya juga bimbang jika perang psikologi ini berlarutan. Saya bukannya mahu mencari gaduh dengan anak sendiri, tetapi saya rasa itu sebagai pengajaran padanya agar hormat orang tua. Saya pesan padanya, 'jangan sakitkan hati mama lagi. Berdosa tau'. Dia hanya angguk dan saya melihat seperti dia menutup mata dengan tangan tanda menangis.

Pada saya biar dia menangis sekarang daripada hati saya nanti jadi keras seperti batu dan perang psikologi ini pasti berlarutan mungkin sebulan, setahun atau sehingga dia dewasa. Seperti yang pernah saya tulis dalam entri sebelum ini, saya memang tidak begitu rapat dengan anak dara ini.

Tetapi setiap kali beli barang, saya pasti ingat dirinya. En. Abah cakap ''dah anak awak'. Saya akur dengan kata-kata itu dan sememangnya dia anak perempuan seorang dalam keluarga kecil kami. Ya, saya berdoa agar satu hari nanti hubungan kami akan rapat seperti adik dan kakak.

Dan saya berharap juga satu hari nanti dia akan menghadiahkan kepada saya sesuatu yang menggembirakan hati ibunya.

Hot Mama Reen
00:00 am

Syafiqah cukup rapat dengan Aiman, suruhlah apa sahaja mengenai Aiman pasti dia tidak akan menolaknya.



Tuesday, November 19, 2013

CONFESSIONS OF A SHOPAHOLIC



19/11/2013
17:06 pm


Salam...

Hari ini setelah selesai followup check up (alhamdulillah tiada apa-apa masalah), saya terus bergegas ke sebuah pusat beli belah hebat di kota metropolitan Kuala Lumpur. Sebut sahaja nama sure semua tahu.

Tempat apa lagi jika bukan KLCC. Saya ke sana dengan satu tujuan iaitu meneman En. Abah yang nak membeli beberapa barangannya.

Sedang menunggu, mata saya asyik melihat orang yang lalu lalang. Tempat beli belah ini bukan sahaja penuh ketika hari cuti tetapi juga hari-hari biasa. Dalam hati entah apa yang mereka beli dan kata tidak kerja ke mereka-mereka  ini.

Dalam mata ligat memandang, saya melihat gaya fesyen mereka (terutama pengunjung). Macam-macam yang saya lihat. Ada yang hanya biasa-biasa saja dan ada yang gaya terlebih. Terutamanya anak-anak muda yang sakan berjalan bersama teman masing-masing.

Bagi saya di sinilah kota fesyen seperti Milan Paris ataupun London. Nah, apa sahaja fesyen dari butik terkemuka di sediakan untuk anda. Dari butik hebat seperti LV, Prada, Channel, Gucci (sekadar menyebut beberapa nama popular) atau nama-nama biasa yang turut jadi pilihan warga kota. Antaranya Uniqlo, Zaraa, MNG dan beberapa lagi nama butik (banyak sangat nak ingat).

Ada juga kiosk2 kecil yang menjual barangan biasa tetapi harga yang dijual amboi mahal giler. Agaknya semua yang datang ke KLCC ini berduit dan mampu membelinya (tidak termasuk saya, saya lebih suka bundle).

Dalam pemerhatian saya juga, kebanyakan mereka yang bekerja banyak memilih gaya sederhana. Sekadar seluar panjang yang dipadankan dengan blaus atau kemeja. Mungkin jika nak lihat gaya mereka saya kena panjat dari satu pejabat ke satu pejabat (hehehe).

Tetapi naluri shopping memang begitu kuat dalam hati saya. Pantang terpandang perkataan 'Sale', terus mata saya bulat dan kaki mula melangkah masuk. Walaupun tahu 'sale' yang dibuat bukanlah banyak sangat setakat 10% ataupun 20%.

Kalau dulu memang saya pantang lihat benda 'sale' ini. Saya memang akan turut kata hati. Jika sudah berkenan saya akan terus beli dan swipe kredit kad. Bayangkan hobi bershopping ini menyebabkan hutang kredit kad saya pernah mencecah ribuan ringgit.

Saya memang bayar tiap-tiap bulan tetapi rupanya hanya bayar interest sahaja. Hidup saya memang agak gila waktu itu. Bayar tiap-tiap bulan tetapi hutang tetap meningkat. Lama kelamaan setelah berfikir, saya ambil keputusan settlekan jumlah tertunggak dan terus luputkan kredit kad berkenaan.

Kini bukan saya tidak ada kredit kad, tetapi saya hanya 'sign up' untuk mendapatkan points sahaja. Berkat kumpul points ini menyebabkan saya boleh redeem barangan elektrik, baucer Jusco dan beberapa lagi barangan.

Sekarang ini, saya akan pastikan perbelanjaan kad kredit saya tidak melebihi 1K, jika lebih dari itu saya akan cepat-cepat bayar. Sakit mata jika melihat jumlahnya melebihi limit yang saya tetapkan.

Saya teringat satu filem


 
Jangan jadi Becca dalam filem ini yang memang giler bershoping..
.mahal-mahal tau barangan dia beli.
Conffessions of a Shopaholic (filem ini diadaptasi daripada novel the shopaholic
series tulisan Shophie Kinsella).

Filem ini mengisahkan bagaimana
watak utama Rebecca yang tidak boleh menyekat keinginannya untuk bershopping.

Pantang melihat tag sale, dia akan beli walaupun bukan keperluan. Hinggakan dia masuk kelas kaunseling dan akhirnya mereka membuat garaj sale menjual barangan yang tidak diperlukan. Duit yang diperolehi digunakan untuk membayar segala hutang-hutangnya.

Saya melihat diri saya dalam filem itu. Saya tersenyum dan membandingkan dirinya dengan saya. Itu dulu dan kini saya masih lagi gila dengan perkataan 'sale' itu tetapi masih boleh kontrol. Saya agak teman saya Mama Itt juga punya pengalaman seperti saya (bab kad kredit).
Saya akan jadi lebih bijak berbelanja dan mengutamakan yang perlu sahaja. Dan paling saya suka beli barangan itu dengan harga murah tetapi nampak cantik. Ah! susah apa...carian di google akan menemukan anda dengan pelbagai barangan cantik yang dijual.

Kata orang menang membeli alah memakai. Cuma saya suka beli barangan itu yang saya boleh pegang, rasa dan cuba pakainya (agak kolot, tetapi itulah diri saya sebenarnya). Rasa puas dan jika berkenan saya akan terus beli sahaja.


Hot Mama Reen
5:33 pm



"MAMA...AQIL TAK NAK JADI BEAR"

16/11/2013
10:41am

* entri ini ditulis ketika menunggu persembahan dari aqil...

Majlis Ihtifal LC...buat kat hotel tuuu..

Salam..

Hari ini saya berkesempatan memeriahkan majlis atau dipanggil ihtifal, kononnya graduation (konsert Aqil)...yang dibuat di sebuah hotel di Klang.

Acaranya begitu hebat..walaupun registration so baddd...sebab parent disuruh datang pukul 8pagi untuk pendaftaran, tetapi pukul 9 baru parent dibenarkan untuk berbuat demikian.

Mujur kami sekeluarga bertindak bijak (hehe) kerana breakfast dulu kerana memandangkan refreshment hanya disediakan seawal jam 11 pagi. Sempat saya mendengar rungutan seorang parent yang mengadu katanya dia datang seawal pukul 8 pagi dan masih belum sarapan.

Alasan mereka lambat kerana malam sebelumnya ada event dan menyebabkan baru pagi ini berpeluang mengatur segala-galanya. Alahai..macam le kita ni tak pernah buat event..dah tau ada event prepare lebih awal..rasanya hotel tiada masalah loading by pukul 2 or 3 pagi.


Opening nyanyian daripada setiap kelas..ni kelas Aqil 5 Smart.

Ketika register, saya sempat sound agar next year well organized sebab susahkan parent yang perlu datang awal.

Sebenarnya itu bebelan picisan sahaja, saya nak tulis bagaimana beza celebrate tadika dulu dan sekarang. Kini kalau budak-budak dah habis tadika, akan diraikan sama ada hotel ataupun dewan ( biasanya yang swasta). Bukan free ye semuanya berbayar.

Malah persembahannya juga hebat. Ada paluan kompang (berapa agaknya yang mereka bayar) dan bacaan surah daripada kanak-kanak ini. Ibu bapa yang cukup teruja melihat anak-anak (yang dibayar mahal untuk kos tadika) sudah pandai hafal surah dan baca depan orang ramai. Bangga giler ibu bapa zaman sekarang ini.

Belum lagi persembahan by class ( masih menunggu persembahan Aqil, katanya jadi bear yang gemuk).  Teruja nak tengok dia jadi bear (walaupun sebelum itu menangis nak masuk dewan). Maybe dia tak suka jadi bear. Setelah dipujuk teacher baru dia nak masuk. Badan je besar tapi dalm hati ada taman..Aqil..Aqil...

Ada persembahan tarian, nyanyian atau lakonan secara berkumpulan. Ini salah satu cara untuk membina keyakinan diri anak-anak supaya tidak takut berhadapan orang ramai. Tetapi saya nak pesan ibu bapa zaman siber ini...tolong jangan galakkan anak-anak kita jadi penyanyi seperti dalam beberapa rancangan kanak-kanak 'superstar' atau idola kecil.

Ada juga Sport Day...pertengahan tahun...pakai baju ala-ala silat gitu...

Maybe ada perbezaan tadika yang berbayar dan disubsidi kerajaan. Tiada jamuan di hotel atau persembahan kompang, mungkin sekadar penyampaian hadiah sahaja.

Atau mungkin juga mereka hebat cuma tidak perlu keluar bajet yang mahal. Untuk majlis ini sahaja saya perlu belanjakan hampir RM200 untuk dua dewasa dan 2 kanak-kanak.

Masalahnya tiada pilihan untuk situasi ini. Pernah saya nak try daftar Adam untuk pra sekolah di sekolah kebangsaan. Tetapi rupa-rupanya saya tidak layak.

Kriteria diberikan kepada ibu tunggal, mereka yang punya anak ramai, kurang kemampuan ataupun gaji kedua-dua ibu bapa tidak lebih dari RM3k.

Ermm..saya perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk tarik nafas lega. Buat masa ini Aqil dan coming soon Aiman yang pastinya saya akan hantar ke tadika berbayar.

Jika sekarang yuran dikenakan juga mahal ( untuk register & konsert), sudah pasti dua tiga tahun lagi yurannya akan bertambah lagi. Mengikut taraf hidup sekarang. Hope gaji juga bertambah naik. Hehehe..

Itulah realiti yang perlu ibu bapa bandar hadapi. Untuk anak pandai sejak usia pra sekolah lagi, perlu memilih tadika yang hebat. Dua tiga teman saya post di FB minta pandangan untuk memilih tadika anak-anak mereka.  Bagi saya pergi survey dan buat keputusan bijak.

Mama pun enter frame....biasalah...dapat no 2 dalam satu acara.

Cuma saya nak bagi tahu satu rahsia...dulu saya sebenarnya tidak bersekolah tadika. Arwah emak sampai perlu panggil kawannya untuk tarik saya pergi ke tadika. Saya menangis dan menyorok tidak mahu dan hanya sehari ke sekolah tadika.

Alhamdulillah tanpa tadika saya juga mampu ke universiti dan kini selesa dengan kerjaya yang diminati. Suatu ketika dulu mungkin tidak apa-apa jika tidak ke tadika, tetapi generasi sekarang akan dikatakan ibu bapa kedekut atau ketinggalan zaman.

Atau ibu bapa kini boleh cuba alternatif lain (untuk jimat) iaitu cara 'nature parenthing' atau 'home schooling' yang tegar diperkatakan. Bagi ibu bapa yang cerdik dan terpelajar, buatlah keputusan bijak. It's in your hand....


Hot Mama Reen
11:10 am


Aqil...setelah dipujuk dengan belon, baru dia nak jadi Bear...


         
     






Wednesday, November 13, 2013

MACAM CANTIK JER...

13/11/2013
12:36 pm

Salam,

Saya mula seronok untuk menulis entri mengenai fesyen. Walaupun bukan terlalu ekstrem berfesyen tetapi seperti yang saya kata, saya memang suka melihat orang-orang yang berfesyen. Lebih-lebih lagi fesyen hijab yang begitu mendominasi kini.

Lebih seronok jika yang berhijab itu artis. Saya akan belek bagaimana mereka menggayakan tudung yang begitu cantik lilitannya (bagi sesetengah orang). Padahal saya tahu, pelbagai pin dicucuk pada tudung berkenaan. Ya memang nampak cantik, hakikatnya menyeksakan untuk menggayakannya.

Zaman saya mula-mula bertudung dulu, selain tudung sekolah (saya mula pakai sejak sekolah menengah) hanya ada selendang empat segi sedikit bercorak. Dan saya hanya akan ikat biasa sahaja dengan ikatan reben di bawah dagu (ketika mula-mula bekerja sambilan di pejabat kerajaan).

Tidak tahu lilitan lain. Apatah lagi tiada rujukan melalui youtube atau internet. Waktu itu, ramai orang begitu sinis pandang pada yang bertudung. Nampak tak cantik menurut mereka. Ketika di universiti juga, tudung jenis seperti bawal begitu glamor. Masih saya ingat corak geometri, jalur dan parsley begitu mendapat tempat. Masih dengan cara ikatan sama tetapi kali ini saya hanya juraikan sahaja di depannya dengan selitan di kanan dan kiri telinga. Itu dah kira nampak cantik dan meletop.

Saya perasan revolusi hijab ini bermula sekitar tahun 2000. Ketika itu terkenal dengan tudung sarung Wardina (kerana Wardina yang memakainya). Tudung sarung berawning ini tampak mudah dan selesa sekali. Pada masa itu, saya dan beberapa teman yang obses, Mama Itt dan Mashitah gigih ke butik Munawwarah yang memang terkenal dengan tudung sarung berawning ini.

Tudung sarung awning oleh Butik Munawwarah ini cukup selesa dipakai.
Badannya hitam tetapi awning didatangkan pelbagai warna.

Memang mahal, tetapi berbaloi kerana jahitannya cukup cantik dan kemas. Sanggup pergi ke sana, semata-mata untuk menggayakan fesyen terbaru mereka.

Kemudian fesyennya mula beralih kepada bawal dan memang begitu popular tudung ini. Senang nak pakai dan didatangkan dengan pelbagai warna. Lebih glamer yang bermanik serta renda di bahagian tepi.

Masa terus berubah dan seperti hari ini, ramai berlumba-lumba untuk tampil dengan hijab lain. Kalau ikutkan tak terkejar dek revolusi hijab. Macam-macam fesyen digayakan. Pilihan di tangan anda.

Siapa mahu yang simple, gayakan sahaja tudung sarung kosong atau corak. Atau jika mahu tampak hebat dan eksklusif, sarungkan sahaja tudung jenama mahal seperti Fareeda, Pearl Haya (pernah gila juga dengan Mama Itt membeli tudung ini), De Haja dan sebagainya.

Atau yang mahu simple (sepeti saya) sarungkan sahaja pashmina (love untuk memakainya, saya hanya letak dan lilit di kepala). Jika mahu gaya lain, terjah youtube dan pelbagai gaya boleh diikuti.

Sapa kata mama tak bijak bergaya, lihat sahaja Mama Itt (tepi kiri) dan Mala (tengah),
cantik dengan gaya hijab masing-masing. Saya selesa dengan gaya pashmina.


Daripada hanya satu butik, pelbagai butik dibuka bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ada butik Ustazah, Sugarscarve, Radiusite, Jelita Sara, Ummiriaz, Maira Collection, Najjah (kami juga turut suka shopping di sini), butik Mama dan pelbagai lagi nama.

Masing-masing dengan rekaan tersendiri dan cuba menambat hati penggemarnya (terutamanya ketika raya, sale gila-gila). Terbit rasa bangga (dihati penggemarnya) jika dapat memakainya terutama di hari penting seperti raya atau majlis dinner.

Bukan sahaja di alam realiti, butik maya juga turut mendominasi fesyen hijab. Buka sahaja FB, ada sahaja page fesyen hijab yang dicadangkan. Ada yang menarik untuk saya like dan ada yang saya pandang sekali lalu.

Walau apa sekalipun pandangan anda mengenai fesyen hijab, bagi saya 'less is more'. Jika anda bijak, sarungkan sahaja inner neck (Eizan Ariffin ada jual dan innernya terbaik) dan layangkan sahaja selendang di kepala. Apa bentuk dan gaya yang anda mahu dengan pemakaian inner neck segalanya jadi sempurna.

Dan hari ini (setakat entri ditulis) selendang glitter pula yang begitu popular. Rata-rata post gambar mereka tengah menggayakan glitter shawl ini. Sedikit masa dulu (saya pernah pakai, beli di Najjah) kalau pakai rasa segan, terasa cukup glamer. Macam nak pegi parti. Tetapi kini tidak lagi dan siapa sahaja boleh menggayakan glitter shawl yang didatangkan pelbagai warna.


Demam glitter shawl melanda kini...saya dah dulu menggayakannya. Gambar raya 2010.

Selepas ini apa agaknya selendang yang akan mendominasi pasaran. Sama-sama kita nantikan. Dan saya akan terus setia menggayakan pashmina ataupun bawal (seperti sahabat saya, Datin Norjuma, pemilik Aidijuma). Tetap cantik dan nampak klasik gitu.


With Juma..yang tetap setia menggayakan bawal dengan kelas tersendiri.

Hot Mama Reen
13:07 pm











Tuesday, November 12, 2013

BE A GUD KIDS YER...

13/11/2013
10:41 am

Salam,                                           
Bersyukur dikurnia 3 boy (Aiman x de dlm gambar) & 1 girl.

Rentetan entri sebelum ini, anak-anak mula tertanya-tanya kenapa saya berstokin dan hanya berbaring. Saya hanya mampu tersenyum. Biasalah apabila saya berbaring dalam bilik bawah, baik Adam ataupun Aqil akan sentiasa mengerumuni saya seperti saya ini seekor semut.

Aqil mula tertanya, Mama sakit ke". Saya cuma jawab ye..Aqil jangan bising tau" pesan saya pada anak kecil berumur 5 tahun yang memang agak notty sikapnya. Seperti biasa, Syafiqa juga turut berada dalam bilik yang sama.

Dalam hati saya berkata, anak-anak pasti tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Dalam masa sama, sebelum itu saya minta kebenaran doktor untuk meminta 'baby' untuk saya 'simpan' sendiri. Menunggu esok, saya kemudiannya keluarkan ia dan tunjukkan pada anak-anak.

"Mama nak tunjuk satu benda. Ni sebenarnya baby mama, tapi dia dah tak ada" saya terangkan pada mereka. Masing-masing sibuk nak tengok dan mula bertanya. Memang agak payah untuk terang apa sebenarnya terjadi.

Dalam keadaan yang lemah, cuma saya mampu buat kesimpulan dengan sedikit nasihat berguna.

"Baby dah tak ada dan mama nak simpan dia. Korang jangan nakal-nakal tau. Kena dengar cakap mama. Kalau tidak nanti mama sakit lagi,"pesan saya.

"Aqil nak jadi budak baiklah mama" ujar Aqil yang masih tidak mengerti apa. Begitu juga Adam. Cuma saya lihat Syafiqa menundukkan muka seperti menangis. Mungkin dia sudah mengerti bila saya beritahu baby sudah tiada.

Tujuan saya tunjukkan itu bukannya untuk menakutkan, tetapi biar mereka tahu asal usul mereka adalah dari seketul darah. Dan kemudian barulah mula membesar dan terus membesar seperti diri mereka sekarang.

Benar saya bukanlah ibu sempurna. Kadang-kadang saya perlu kuatkan suara memarahi mereka yang semakin lasak (terutama Aqil). Dan apabila bergaduh (samada Aqil, Adam atau Syafiqa) sekali lagi suara saya meninggi sambil membebel itu ini.

Kalau boleh saya mahu jadi ibu yang baik. Bersuara lembut dan sentiasa memantau perkembangan mereka dari segi pelajaran atau apa sahaja. Tetapi buat masa ini belum mampu kerana kekangan masa.

Ikutkan hati mahu sahaja saya berhenti dan tumpukan perhatian pada anak-anak, tetapi nampaknya belum mampu lagi. Saya masih bersemangat untuk bekerja walaupun hakikatnya duduk rumah mungkin lebih seronok (dek kerana cuti dua minggu).

Saya cukup respect pada ibu-ibu yang bekerjaya tetapi masih mampu memberikan yang terbaik untuk anak-anak (terutamanya yang punya anak ramai). Mungkin satu hari nanti, tetapi saya takut terlambat.

Saya akui lebih rapat dengan anak-anak lelaki saya berbanding perempuan. Ada sahaja yang dia buat (Syafiqa) buat saya marah. Tetapi dari satu sudut saya melihat dia begitu sayang pada bb Aiman. Suruhlah apa sahaja mengenai Aiman, dia akan volunteer tolong.

Namun begitu, jika membeli barangan saya pasti teringatkan dia. Mungkin sebab dia seorang anak perempuan saya. Dia jarang meminta (berbanding Adam & Aqil) dan biasanya ada sahaja buah tangan yang saya akan beli padanya.

Sebenarnya saya lebih suka anak lelaki kerana bagi saya senang untuk dijaga berbanding perempuan. Namun pesan teman-teman saya, anak perempuanlah yang nanti akan menjaga saya bila tua. Insha-Allah. Tak apalah, ada seorang pun sudah cukup.

Dan kelahiran yang sepatutnya (bulan lima tahun depan) hanya akan menjadi sebahagian momen yang cukup indah. Biarpun sementara, tetapi ia pernah berada dan menjadi sebahagian diri saya. Sekali lagi saya berharap semoga akan dapat bertemu 'dengannya' di akhirat kelak.


Hot Mama Reen
11:04 am