Tuesday, November 26, 2013

AMUKAN SANG SUAMI

26/11/2013
17:30 pm



Bercuti mampu menceriakan pasangan.


Salam,

Alamak cukup ngeri pagi tadi melihat heading muka depan Harian Metro yang menceritakan bagaimana seorang wanita patah tulang hidung manakala bayinya yang berusia tiga bulan menerima rawatan kerana dikhuatiri mengalami gegaran otak.

Ini adalah gara-gara amukan seorang suami yang naik minyak selepas kecurangan dengan wanita lain terbongkar.

Oh! Saya mengucap panjang. Dalam hati berkata-kata 'gila ke lelaki ini' sanggup cederakan teman tidurnya. Apakah malang wanita ini yang bersuamikan lelaki yang tidak sedar diri. Apakah ini yang dikatakan jodoh? Atau mungkin memang sebelum kahwin kedua-duanya saling cinta mencintai.

Zaman sekarang rasanya cinta tak boleh bawa ke mana. Tanpa ada duit cinta bagai nak rak pun tak berguna.

Bagi saya lelaki ini kalau dia dah gatal, susah untuk ditundukkan semula. Ermmmm lebih-lebih lagi yang nak memasuki angka 40-an. Kata orang life beginning @ 40...

Ah! Itu hanya dakwaan kosong yang tidak berasas. Jika sudah saling menyayangi, kenapa seseorang lelaki itu mahu berpaling arah mencari cinta hati lain.

Mahu cari penyakit namanya. Saya rasa jika lelaki itu mahu bercinta sekalipun, jangan lampias emosi marah itu pada isteri dan anak. Mereka tidak bersalah terutama bayi yang berusia tiga bulan itu. Apalah dosa dan si kecil itu tahu apa yang terjadi antara ibu bapanya.

Dalam menyusuri rumahtangga masuk tahun ke 13 ini, saya sentiasa berdoa dan mengharapkan yang terbaik dalam hubungan kami. Malu rasanya jika bergaduh depan anak-anak, apatah lagi mereka kian meningkat dewasa.

Seseorang lelaki itu mungkin tidak akan berpaling pada orang lain sekiranya kehendaknya dituruti. Tidak susah sebenarnya mahu membuatkan mereka setia pada kita.

Jika tangan ibu ini yang menghayun buaian boleh mengoncang dunia, tidak mustahil juga dengan tangan ibu ini juga mampu mengusap lembut hati lelaki. Caranya, mudah sahaja..ikat perut mereka dengan makanan yang hebat serta layanan setanding raja.

Namun berita wanita yang ditindas, didera dan diperlakukan seperti binatang ini memang sering dipaparkan di media. Makin lama makin banyak kes yang kita ketahui. Ish! Saya mahu ingatkan anda di luar sana, sebelum kahwin, jika seseorang lelaki itu mudah naik tangan, baik tinggalkan sahaja. Usah dilayan apatah lagi mengajaknya untuk berkahwin.

Bagi saya senang sahaja, insan yang baik adalah untuk pasangan yang baik-baik sahaja. Dan selagi belum kahwin, anda berhak memilih menentukan jodoh terbaik. Oppss..saya selitkan juga beberapa tip untuk kita (yang bakal dan sudah berkahwin) untuk tanbat hati pasangan.

Tip tambat hati pasangan:
1. Sentiasa mendengar katanya.
2. Pastikan anda masak dan ikat perutnya dengan masakan enak.
3. Sentiasa berkomunikasi dalam apa jua masalah.
4. Ambil hatinya dengan membelikan hadiah, walaupun ia murah.
5. Apa kata ajak makan malam berdua sahaja di tempat yang eksklusif.
6. Jangan buat perkara yang tidak disukai pasangan.

Hot Mama Reen
17:45 pm


Monday, November 25, 2013

YEAY..I'M BACK

26/11/2013
10:22 am

Salam,

Semalam saya berkesempatan untuk bekerja semula setelah dua minggu diberi cuti rehat. Seronok rasanya dapat kembali bekerja dan duduk di cubicle saya. Sesungguhnya saya akui memang senang dengan persekitaran di pejabat di samping teman (wani, emi, elin, tun, miri, mama itt, nora, ida, jj, che osh, intan, maizan, maswa, miza, linda, eizan dan teman-teman lain) yang memang begitu menggembirakan saya.

Dua minggu sebelum itu memang saya akui mood agak kureng. Maklumlah keadaan akan bercelaru dan pelbagai perasaan bermain dalam fikiran. Namun setelah dua minggu, saya mula rindu suasana kerja dan rakan-rakan saya.

Sebaik melangkah masuk, saya disambut dengan tawa mesra teman-teman yang ketika itu turut meraikan potluck 'mak hanyam' kak liza yang akan berpindah ke 'new destination'...gud luck to her.

Potluck with Kak Liza..jangan lupa kami naa...


Ramai bertanya keadaan kesihatan saya. Saya hanya menjawab 'Alhamdulillah' dan emosi sudah kembali stabil. Benar saya sudah pulih dari kedukaan sementara itu.

Saya memang tidak sabar untuk bekerja. Sebenarnya saya lebih suka bekerja dari duduk rumah (apatah lagi jika anak-anak ada, mereka boleh buat saya sakit kepala dan hilang suara).

Saya akui sepanjang 13 tahun bekerja di Karangkraf, situasi bekerja memang agak menyenangkan. Sama ada persekitaran atau teman-temanya. Tidak betah rasanya untuk mencari kerja di tempat lain kerana keindahannya ada di sini.

Selepas ini, jika tidak bekerja di sinipun, saya tidak akan mencari pekerjaan lain kecuali mungkin mencuba bidang baru, seperti blogger atau online bisnes (hehe dalam perancangan).

Kenapa saya kata best bekerja? Ini kerana hubungan kami di sini seperti adik beradik. Kala susah dan senang bersama. Seperti ketika saya menerima berita sedih tempohari, rakan-rakan yang paling terdekat mennenangkan saya. Tidak meminggirkan mana-mana gender, semuanya bersikap baik pada saya.

Saya percaya, jika kita baik dengan seseorang, maka baik juga yang akan dibalas pada kita. Dan saya paling suka acara makan makan-makan atau potluck.

Ni masa time lepas raya...so hidangan lebih pada juadah raya yer...

Biasanya kami buat makan-makan ni bila mahu menyambut sesuatu majlis. Misalnya untuk permulaan puasa, sambutan raya ataupun saja-saja nak buat makan-makan (selalunya waktu dapat gaji).

Macam-macam makanan yang dibawa teman-teman. Masing-masing menunjukkan skil memasak dan saya memang suka senario ini. Walaupun makanan itu simple (karamel elin paling best) tetapi begitu bermakna potluck yang diadakan. Kata orang lebih merapatkan silaturrahim...

Yang bestnya potluck kami ni disertakan dengan pertandingan pakaian tercantik...
ni antara pemenang & hadiah saya selalunya sponsor.


Oleh sebab itu saya memang suka bekerja. Cara bekerja kami cukup santai. Gelak ketawa teman-teman memang begitu mendamaikan dan mampu menceriakan hati yang gundah. Maklumlah kerja kami sentiasa dihambat deadline, so ketawa yang dicetuskan mampu mengundang bahagia.

Ni pula majlis simple 'makan-makan' with Nana (last day dia).


Semoga saya terus diberi kekuatan untuk terus berada di sini dan menerajui sesuatu yang baru (kena buat kamus bahasa fesyen lepas ni). Dan terus diberi peluang untuk merasai momen (di atas).

Hot Mama Reen
11:20 pm

Acara makan-makan kami ni kadang-kadang dipanjangkan ke luar, masa ni open house raya..JJ tuan rumah.



Thursday, November 21, 2013

KEMAAFAN YANG TERINDAH

21/11/2013
23:28 pm

Salam,

Saya nak tulis sambungan entri sebelum ini. Entri 'Mama, Aqil tak nak jadi bear'. Sebenarnya ada cerita tersembunyi di sebalik majlis itu.

Biasalah bila ada majlis keramaian begini, saya memang takkan lepaskan peluang untuk bergambar. Setelah majlis selesai, saya mengajak Aqil, Adam dan Syafiqah untuk bergambar bersama.

Saya kira gambar atas pentas di hadapan pasti nampak cantik dengan tulisan majlis Ihtifal 2013. Seperti biasa setiap kali bergambar, saya akan posing mengikut kesukaan. Tetapi memandangkan ketika itu saya masih dalam pantang, saya hanya bergambar biasa-biasa saja.

Oleh kerana tiada sesiapa di situ, saya suruh Syafiqah mengambil gambar. Namun anak dara saya 'melarikan diri' daripada mengambil gambar saya dan Aqil. Memandangkan saya sudah pose cantik, terpaksa juga saya menyuruh Adam mengambil gambar.

Gambar pertama diambil (melalui samsung note 1), agak blur dan saya menyuruh dia mengambilnya semula. Hasilnya okay lah berbanding yang tadi. Tetapi saya agak kecil hati dengan kelakuan Syafiqah. Mengenang penolakan anak dara saya menyebabkan mood saya terus mati untuk terus bergambar.


Gambar pertama Adam ambil, agak blur.
Saya kemudiannya bertanya Syafiqah kenapa dia tak mahu mengambil gambar saya, katanya malu (mungkin untuk ke depan mengambil gambar). Saya pun apa lagi terus memarahinya sambil mengatakan 'dengan emak sendiri pun nak malu'. Oh! Apa dah jadi dengan anak ini. Saya bukan suruh dia buat apa, sekadar mengambil gambar.

Selepas detik itu saya memikirkan cara terbaik untuk menghukum perlakuannya itu. Bukan mudah untuk menangani masalah ini memandangkan dia sudah semakin meningkat dewasa. Bimbang jika dimarahi akan jadi dendam. Jadi saya menggunakan pendekatan terbaik pada saya) dengan melancarkan perang psikologi padanya.

Caranya adalah saya tidak layan setiap pertanyaannya ataupun menegurnya. Dia jadi begitu asing pada saya. Saya hanya guna perantara Adam untuk menyuruh dia makan dan sebagainya. Malah, saya larang dia dari guna gajet  yang ada.


Gambar kedua diambil oleh Adam..okay lah.
Keesokan hari, perang psikologi terus berjalan. Kali ini lagi hebat, apabila En. Abah mengajak ke Jusco dan saya enggan membawa Syafiqah (walaupun dia sudah mandi dan bersiap). Saya katakan pada Adam ( dengan harapan sampaikan pada kakaknya) 'selagi kakak tak minta maaf pada mama, selagi itu mama takkan layan dia'.

Adam memang budak yang bagus dan menurut perintah. Dia bagi tahu kakaknya pesanan saya dan kakaknya juga menjawab bagi pihak. Katanya 'mama, kakak malu nak mimta maaf. Dia suruh Adam cakap'. Saya kata balik, 'siapa salah, dia yang kena mintaa maaf'.

Tapi hati anak dara saya ini agak keras dan saya lihat ada ego di situ. Dia tak mahu mintaa maaf pada saya kerana malu. Takkan dengan mak sendiri malu? Saya taknak beri muka padanya ( walaupun hati ibu ini rasa kasihan melihat dia seperti dipulaukan).

Senang sahaja untuk jernihkan keadaan. Dia hanya perlu sebut tiga perkataan 'mama, kakak minta maaf'...bukan susah dan segalanya akan kembali seperti biasa.

Saya hanya tunggu permohonan maaf daripadanya. Akhirnya menjelang petang pada hari kedua perang psikologi, anak dara saya minta maaf pada saya. Terus lapang dada saya mendengar 'mama kakak minta maaf' sambil mencium tangan saya. Saya bersyukur kerana Tuhan lembutkan hatinya.

Sebenarnya saya juga bimbang jika perang psikologi ini berlarutan. Saya bukannya mahu mencari gaduh dengan anak sendiri, tetapi saya rasa itu sebagai pengajaran padanya agar hormat orang tua. Saya pesan padanya, 'jangan sakitkan hati mama lagi. Berdosa tau'. Dia hanya angguk dan saya melihat seperti dia menutup mata dengan tangan tanda menangis.

Pada saya biar dia menangis sekarang daripada hati saya nanti jadi keras seperti batu dan perang psikologi ini pasti berlarutan mungkin sebulan, setahun atau sehingga dia dewasa. Seperti yang pernah saya tulis dalam entri sebelum ini, saya memang tidak begitu rapat dengan anak dara ini.

Tetapi setiap kali beli barang, saya pasti ingat dirinya. En. Abah cakap ''dah anak awak'. Saya akur dengan kata-kata itu dan sememangnya dia anak perempuan seorang dalam keluarga kecil kami. Ya, saya berdoa agar satu hari nanti hubungan kami akan rapat seperti adik dan kakak.

Dan saya berharap juga satu hari nanti dia akan menghadiahkan kepada saya sesuatu yang menggembirakan hati ibunya.

Hot Mama Reen
00:00 am

Syafiqah cukup rapat dengan Aiman, suruhlah apa sahaja mengenai Aiman pasti dia tidak akan menolaknya.



Tuesday, November 19, 2013

CONFESSIONS OF A SHOPAHOLIC



19/11/2013
17:06 pm


Salam...

Hari ini setelah selesai followup check up (alhamdulillah tiada apa-apa masalah), saya terus bergegas ke sebuah pusat beli belah hebat di kota metropolitan Kuala Lumpur. Sebut sahaja nama sure semua tahu.

Tempat apa lagi jika bukan KLCC. Saya ke sana dengan satu tujuan iaitu meneman En. Abah yang nak membeli beberapa barangannya.

Sedang menunggu, mata saya asyik melihat orang yang lalu lalang. Tempat beli belah ini bukan sahaja penuh ketika hari cuti tetapi juga hari-hari biasa. Dalam hati entah apa yang mereka beli dan kata tidak kerja ke mereka-mereka  ini.

Dalam mata ligat memandang, saya melihat gaya fesyen mereka (terutama pengunjung). Macam-macam yang saya lihat. Ada yang hanya biasa-biasa saja dan ada yang gaya terlebih. Terutamanya anak-anak muda yang sakan berjalan bersama teman masing-masing.

Bagi saya di sinilah kota fesyen seperti Milan Paris ataupun London. Nah, apa sahaja fesyen dari butik terkemuka di sediakan untuk anda. Dari butik hebat seperti LV, Prada, Channel, Gucci (sekadar menyebut beberapa nama popular) atau nama-nama biasa yang turut jadi pilihan warga kota. Antaranya Uniqlo, Zaraa, MNG dan beberapa lagi nama butik (banyak sangat nak ingat).

Ada juga kiosk2 kecil yang menjual barangan biasa tetapi harga yang dijual amboi mahal giler. Agaknya semua yang datang ke KLCC ini berduit dan mampu membelinya (tidak termasuk saya, saya lebih suka bundle).

Dalam pemerhatian saya juga, kebanyakan mereka yang bekerja banyak memilih gaya sederhana. Sekadar seluar panjang yang dipadankan dengan blaus atau kemeja. Mungkin jika nak lihat gaya mereka saya kena panjat dari satu pejabat ke satu pejabat (hehehe).

Tetapi naluri shopping memang begitu kuat dalam hati saya. Pantang terpandang perkataan 'Sale', terus mata saya bulat dan kaki mula melangkah masuk. Walaupun tahu 'sale' yang dibuat bukanlah banyak sangat setakat 10% ataupun 20%.

Kalau dulu memang saya pantang lihat benda 'sale' ini. Saya memang akan turut kata hati. Jika sudah berkenan saya akan terus beli dan swipe kredit kad. Bayangkan hobi bershopping ini menyebabkan hutang kredit kad saya pernah mencecah ribuan ringgit.

Saya memang bayar tiap-tiap bulan tetapi rupanya hanya bayar interest sahaja. Hidup saya memang agak gila waktu itu. Bayar tiap-tiap bulan tetapi hutang tetap meningkat. Lama kelamaan setelah berfikir, saya ambil keputusan settlekan jumlah tertunggak dan terus luputkan kredit kad berkenaan.

Kini bukan saya tidak ada kredit kad, tetapi saya hanya 'sign up' untuk mendapatkan points sahaja. Berkat kumpul points ini menyebabkan saya boleh redeem barangan elektrik, baucer Jusco dan beberapa lagi barangan.

Sekarang ini, saya akan pastikan perbelanjaan kad kredit saya tidak melebihi 1K, jika lebih dari itu saya akan cepat-cepat bayar. Sakit mata jika melihat jumlahnya melebihi limit yang saya tetapkan.

Saya teringat satu filem


 
Jangan jadi Becca dalam filem ini yang memang giler bershoping..
.mahal-mahal tau barangan dia beli.
Conffessions of a Shopaholic (filem ini diadaptasi daripada novel the shopaholic
series tulisan Shophie Kinsella).

Filem ini mengisahkan bagaimana
watak utama Rebecca yang tidak boleh menyekat keinginannya untuk bershopping.

Pantang melihat tag sale, dia akan beli walaupun bukan keperluan. Hinggakan dia masuk kelas kaunseling dan akhirnya mereka membuat garaj sale menjual barangan yang tidak diperlukan. Duit yang diperolehi digunakan untuk membayar segala hutang-hutangnya.

Saya melihat diri saya dalam filem itu. Saya tersenyum dan membandingkan dirinya dengan saya. Itu dulu dan kini saya masih lagi gila dengan perkataan 'sale' itu tetapi masih boleh kontrol. Saya agak teman saya Mama Itt juga punya pengalaman seperti saya (bab kad kredit).
Saya akan jadi lebih bijak berbelanja dan mengutamakan yang perlu sahaja. Dan paling saya suka beli barangan itu dengan harga murah tetapi nampak cantik. Ah! susah apa...carian di google akan menemukan anda dengan pelbagai barangan cantik yang dijual.

Kata orang menang membeli alah memakai. Cuma saya suka beli barangan itu yang saya boleh pegang, rasa dan cuba pakainya (agak kolot, tetapi itulah diri saya sebenarnya). Rasa puas dan jika berkenan saya akan terus beli sahaja.


Hot Mama Reen
5:33 pm



"MAMA...AQIL TAK NAK JADI BEAR"

16/11/2013
10:41am

* entri ini ditulis ketika menunggu persembahan dari aqil...

Majlis Ihtifal LC...buat kat hotel tuuu..

Salam..

Hari ini saya berkesempatan memeriahkan majlis atau dipanggil ihtifal, kononnya graduation (konsert Aqil)...yang dibuat di sebuah hotel di Klang.

Acaranya begitu hebat..walaupun registration so baddd...sebab parent disuruh datang pukul 8pagi untuk pendaftaran, tetapi pukul 9 baru parent dibenarkan untuk berbuat demikian.

Mujur kami sekeluarga bertindak bijak (hehe) kerana breakfast dulu kerana memandangkan refreshment hanya disediakan seawal jam 11 pagi. Sempat saya mendengar rungutan seorang parent yang mengadu katanya dia datang seawal pukul 8 pagi dan masih belum sarapan.

Alasan mereka lambat kerana malam sebelumnya ada event dan menyebabkan baru pagi ini berpeluang mengatur segala-galanya. Alahai..macam le kita ni tak pernah buat event..dah tau ada event prepare lebih awal..rasanya hotel tiada masalah loading by pukul 2 or 3 pagi.


Opening nyanyian daripada setiap kelas..ni kelas Aqil 5 Smart.

Ketika register, saya sempat sound agar next year well organized sebab susahkan parent yang perlu datang awal.

Sebenarnya itu bebelan picisan sahaja, saya nak tulis bagaimana beza celebrate tadika dulu dan sekarang. Kini kalau budak-budak dah habis tadika, akan diraikan sama ada hotel ataupun dewan ( biasanya yang swasta). Bukan free ye semuanya berbayar.

Malah persembahannya juga hebat. Ada paluan kompang (berapa agaknya yang mereka bayar) dan bacaan surah daripada kanak-kanak ini. Ibu bapa yang cukup teruja melihat anak-anak (yang dibayar mahal untuk kos tadika) sudah pandai hafal surah dan baca depan orang ramai. Bangga giler ibu bapa zaman sekarang ini.

Belum lagi persembahan by class ( masih menunggu persembahan Aqil, katanya jadi bear yang gemuk).  Teruja nak tengok dia jadi bear (walaupun sebelum itu menangis nak masuk dewan). Maybe dia tak suka jadi bear. Setelah dipujuk teacher baru dia nak masuk. Badan je besar tapi dalm hati ada taman..Aqil..Aqil...

Ada persembahan tarian, nyanyian atau lakonan secara berkumpulan. Ini salah satu cara untuk membina keyakinan diri anak-anak supaya tidak takut berhadapan orang ramai. Tetapi saya nak pesan ibu bapa zaman siber ini...tolong jangan galakkan anak-anak kita jadi penyanyi seperti dalam beberapa rancangan kanak-kanak 'superstar' atau idola kecil.

Ada juga Sport Day...pertengahan tahun...pakai baju ala-ala silat gitu...

Maybe ada perbezaan tadika yang berbayar dan disubsidi kerajaan. Tiada jamuan di hotel atau persembahan kompang, mungkin sekadar penyampaian hadiah sahaja.

Atau mungkin juga mereka hebat cuma tidak perlu keluar bajet yang mahal. Untuk majlis ini sahaja saya perlu belanjakan hampir RM200 untuk dua dewasa dan 2 kanak-kanak.

Masalahnya tiada pilihan untuk situasi ini. Pernah saya nak try daftar Adam untuk pra sekolah di sekolah kebangsaan. Tetapi rupa-rupanya saya tidak layak.

Kriteria diberikan kepada ibu tunggal, mereka yang punya anak ramai, kurang kemampuan ataupun gaji kedua-dua ibu bapa tidak lebih dari RM3k.

Ermm..saya perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk tarik nafas lega. Buat masa ini Aqil dan coming soon Aiman yang pastinya saya akan hantar ke tadika berbayar.

Jika sekarang yuran dikenakan juga mahal ( untuk register & konsert), sudah pasti dua tiga tahun lagi yurannya akan bertambah lagi. Mengikut taraf hidup sekarang. Hope gaji juga bertambah naik. Hehehe..

Itulah realiti yang perlu ibu bapa bandar hadapi. Untuk anak pandai sejak usia pra sekolah lagi, perlu memilih tadika yang hebat. Dua tiga teman saya post di FB minta pandangan untuk memilih tadika anak-anak mereka.  Bagi saya pergi survey dan buat keputusan bijak.

Mama pun enter frame....biasalah...dapat no 2 dalam satu acara.

Cuma saya nak bagi tahu satu rahsia...dulu saya sebenarnya tidak bersekolah tadika. Arwah emak sampai perlu panggil kawannya untuk tarik saya pergi ke tadika. Saya menangis dan menyorok tidak mahu dan hanya sehari ke sekolah tadika.

Alhamdulillah tanpa tadika saya juga mampu ke universiti dan kini selesa dengan kerjaya yang diminati. Suatu ketika dulu mungkin tidak apa-apa jika tidak ke tadika, tetapi generasi sekarang akan dikatakan ibu bapa kedekut atau ketinggalan zaman.

Atau ibu bapa kini boleh cuba alternatif lain (untuk jimat) iaitu cara 'nature parenthing' atau 'home schooling' yang tegar diperkatakan. Bagi ibu bapa yang cerdik dan terpelajar, buatlah keputusan bijak. It's in your hand....


Hot Mama Reen
11:10 am


Aqil...setelah dipujuk dengan belon, baru dia nak jadi Bear...


         
     






Wednesday, November 13, 2013

MACAM CANTIK JER...

13/11/2013
12:36 pm

Salam,

Saya mula seronok untuk menulis entri mengenai fesyen. Walaupun bukan terlalu ekstrem berfesyen tetapi seperti yang saya kata, saya memang suka melihat orang-orang yang berfesyen. Lebih-lebih lagi fesyen hijab yang begitu mendominasi kini.

Lebih seronok jika yang berhijab itu artis. Saya akan belek bagaimana mereka menggayakan tudung yang begitu cantik lilitannya (bagi sesetengah orang). Padahal saya tahu, pelbagai pin dicucuk pada tudung berkenaan. Ya memang nampak cantik, hakikatnya menyeksakan untuk menggayakannya.

Zaman saya mula-mula bertudung dulu, selain tudung sekolah (saya mula pakai sejak sekolah menengah) hanya ada selendang empat segi sedikit bercorak. Dan saya hanya akan ikat biasa sahaja dengan ikatan reben di bawah dagu (ketika mula-mula bekerja sambilan di pejabat kerajaan).

Tidak tahu lilitan lain. Apatah lagi tiada rujukan melalui youtube atau internet. Waktu itu, ramai orang begitu sinis pandang pada yang bertudung. Nampak tak cantik menurut mereka. Ketika di universiti juga, tudung jenis seperti bawal begitu glamor. Masih saya ingat corak geometri, jalur dan parsley begitu mendapat tempat. Masih dengan cara ikatan sama tetapi kali ini saya hanya juraikan sahaja di depannya dengan selitan di kanan dan kiri telinga. Itu dah kira nampak cantik dan meletop.

Saya perasan revolusi hijab ini bermula sekitar tahun 2000. Ketika itu terkenal dengan tudung sarung Wardina (kerana Wardina yang memakainya). Tudung sarung berawning ini tampak mudah dan selesa sekali. Pada masa itu, saya dan beberapa teman yang obses, Mama Itt dan Mashitah gigih ke butik Munawwarah yang memang terkenal dengan tudung sarung berawning ini.

Tudung sarung awning oleh Butik Munawwarah ini cukup selesa dipakai.
Badannya hitam tetapi awning didatangkan pelbagai warna.

Memang mahal, tetapi berbaloi kerana jahitannya cukup cantik dan kemas. Sanggup pergi ke sana, semata-mata untuk menggayakan fesyen terbaru mereka.

Kemudian fesyennya mula beralih kepada bawal dan memang begitu popular tudung ini. Senang nak pakai dan didatangkan dengan pelbagai warna. Lebih glamer yang bermanik serta renda di bahagian tepi.

Masa terus berubah dan seperti hari ini, ramai berlumba-lumba untuk tampil dengan hijab lain. Kalau ikutkan tak terkejar dek revolusi hijab. Macam-macam fesyen digayakan. Pilihan di tangan anda.

Siapa mahu yang simple, gayakan sahaja tudung sarung kosong atau corak. Atau jika mahu tampak hebat dan eksklusif, sarungkan sahaja tudung jenama mahal seperti Fareeda, Pearl Haya (pernah gila juga dengan Mama Itt membeli tudung ini), De Haja dan sebagainya.

Atau yang mahu simple (sepeti saya) sarungkan sahaja pashmina (love untuk memakainya, saya hanya letak dan lilit di kepala). Jika mahu gaya lain, terjah youtube dan pelbagai gaya boleh diikuti.

Sapa kata mama tak bijak bergaya, lihat sahaja Mama Itt (tepi kiri) dan Mala (tengah),
cantik dengan gaya hijab masing-masing. Saya selesa dengan gaya pashmina.


Daripada hanya satu butik, pelbagai butik dibuka bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ada butik Ustazah, Sugarscarve, Radiusite, Jelita Sara, Ummiriaz, Maira Collection, Najjah (kami juga turut suka shopping di sini), butik Mama dan pelbagai lagi nama.

Masing-masing dengan rekaan tersendiri dan cuba menambat hati penggemarnya (terutamanya ketika raya, sale gila-gila). Terbit rasa bangga (dihati penggemarnya) jika dapat memakainya terutama di hari penting seperti raya atau majlis dinner.

Bukan sahaja di alam realiti, butik maya juga turut mendominasi fesyen hijab. Buka sahaja FB, ada sahaja page fesyen hijab yang dicadangkan. Ada yang menarik untuk saya like dan ada yang saya pandang sekali lalu.

Walau apa sekalipun pandangan anda mengenai fesyen hijab, bagi saya 'less is more'. Jika anda bijak, sarungkan sahaja inner neck (Eizan Ariffin ada jual dan innernya terbaik) dan layangkan sahaja selendang di kepala. Apa bentuk dan gaya yang anda mahu dengan pemakaian inner neck segalanya jadi sempurna.

Dan hari ini (setakat entri ditulis) selendang glitter pula yang begitu popular. Rata-rata post gambar mereka tengah menggayakan glitter shawl ini. Sedikit masa dulu (saya pernah pakai, beli di Najjah) kalau pakai rasa segan, terasa cukup glamer. Macam nak pegi parti. Tetapi kini tidak lagi dan siapa sahaja boleh menggayakan glitter shawl yang didatangkan pelbagai warna.


Demam glitter shawl melanda kini...saya dah dulu menggayakannya. Gambar raya 2010.

Selepas ini apa agaknya selendang yang akan mendominasi pasaran. Sama-sama kita nantikan. Dan saya akan terus setia menggayakan pashmina ataupun bawal (seperti sahabat saya, Datin Norjuma, pemilik Aidijuma). Tetap cantik dan nampak klasik gitu.


With Juma..yang tetap setia menggayakan bawal dengan kelas tersendiri.

Hot Mama Reen
13:07 pm











Tuesday, November 12, 2013

BE A GUD KIDS YER...

13/11/2013
10:41 am

Salam,                                           
Bersyukur dikurnia 3 boy (Aiman x de dlm gambar) & 1 girl.

Rentetan entri sebelum ini, anak-anak mula tertanya-tanya kenapa saya berstokin dan hanya berbaring. Saya hanya mampu tersenyum. Biasalah apabila saya berbaring dalam bilik bawah, baik Adam ataupun Aqil akan sentiasa mengerumuni saya seperti saya ini seekor semut.

Aqil mula tertanya, Mama sakit ke". Saya cuma jawab ye..Aqil jangan bising tau" pesan saya pada anak kecil berumur 5 tahun yang memang agak notty sikapnya. Seperti biasa, Syafiqa juga turut berada dalam bilik yang sama.

Dalam hati saya berkata, anak-anak pasti tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi. Dalam masa sama, sebelum itu saya minta kebenaran doktor untuk meminta 'baby' untuk saya 'simpan' sendiri. Menunggu esok, saya kemudiannya keluarkan ia dan tunjukkan pada anak-anak.

"Mama nak tunjuk satu benda. Ni sebenarnya baby mama, tapi dia dah tak ada" saya terangkan pada mereka. Masing-masing sibuk nak tengok dan mula bertanya. Memang agak payah untuk terang apa sebenarnya terjadi.

Dalam keadaan yang lemah, cuma saya mampu buat kesimpulan dengan sedikit nasihat berguna.

"Baby dah tak ada dan mama nak simpan dia. Korang jangan nakal-nakal tau. Kena dengar cakap mama. Kalau tidak nanti mama sakit lagi,"pesan saya.

"Aqil nak jadi budak baiklah mama" ujar Aqil yang masih tidak mengerti apa. Begitu juga Adam. Cuma saya lihat Syafiqa menundukkan muka seperti menangis. Mungkin dia sudah mengerti bila saya beritahu baby sudah tiada.

Tujuan saya tunjukkan itu bukannya untuk menakutkan, tetapi biar mereka tahu asal usul mereka adalah dari seketul darah. Dan kemudian barulah mula membesar dan terus membesar seperti diri mereka sekarang.

Benar saya bukanlah ibu sempurna. Kadang-kadang saya perlu kuatkan suara memarahi mereka yang semakin lasak (terutama Aqil). Dan apabila bergaduh (samada Aqil, Adam atau Syafiqa) sekali lagi suara saya meninggi sambil membebel itu ini.

Kalau boleh saya mahu jadi ibu yang baik. Bersuara lembut dan sentiasa memantau perkembangan mereka dari segi pelajaran atau apa sahaja. Tetapi buat masa ini belum mampu kerana kekangan masa.

Ikutkan hati mahu sahaja saya berhenti dan tumpukan perhatian pada anak-anak, tetapi nampaknya belum mampu lagi. Saya masih bersemangat untuk bekerja walaupun hakikatnya duduk rumah mungkin lebih seronok (dek kerana cuti dua minggu).

Saya cukup respect pada ibu-ibu yang bekerjaya tetapi masih mampu memberikan yang terbaik untuk anak-anak (terutamanya yang punya anak ramai). Mungkin satu hari nanti, tetapi saya takut terlambat.

Saya akui lebih rapat dengan anak-anak lelaki saya berbanding perempuan. Ada sahaja yang dia buat (Syafiqa) buat saya marah. Tetapi dari satu sudut saya melihat dia begitu sayang pada bb Aiman. Suruhlah apa sahaja mengenai Aiman, dia akan volunteer tolong.

Namun begitu, jika membeli barangan saya pasti teringatkan dia. Mungkin sebab dia seorang anak perempuan saya. Dia jarang meminta (berbanding Adam & Aqil) dan biasanya ada sahaja buah tangan yang saya akan beli padanya.

Sebenarnya saya lebih suka anak lelaki kerana bagi saya senang untuk dijaga berbanding perempuan. Namun pesan teman-teman saya, anak perempuanlah yang nanti akan menjaga saya bila tua. Insha-Allah. Tak apalah, ada seorang pun sudah cukup.

Dan kelahiran yang sepatutnya (bulan lima tahun depan) hanya akan menjadi sebahagian momen yang cukup indah. Biarpun sementara, tetapi ia pernah berada dan menjadi sebahagian diri saya. Sekali lagi saya berharap semoga akan dapat bertemu 'dengannya' di akhirat kelak.


Hot Mama Reen
11:04 am

























Monday, November 11, 2013

GAYA BAK SANG RATU

12/11/2013
12:50 pm

Salam,

Walaupun bercuti tetapi tidak menghadkan aktiviti laman sosial bersama teman-teman. Dengan smart phone, saya masih boleh tahu aktiviti teman-teman baik di pejabat atau luar. Cuma cuti kali ini saya tidak selesa untuk menjawab sebarang phone call (kecuali yang betul2 urgent). Minta maaf semua yer.

Jika mahu berhubung dengan saya, whatsapp sahaja, pasti saya akan membalasnya (jika tidak tidur). Semalam saya sempat melihat FB teman-teman. Amboi-amboi, masing-masing post gambar melaram dengan gaya anggun bak seorang puteri.

Itu semua gara-gara majlis Nona 3 Dekad anjuran majalah Nona. Diam tak diam rupa-rupanya majalah high profile ini sudah melewati usia 3 dekad. Congrats...

Sebenarnya saya juga pada mulanya berangan untuk hadir ke majlis berkenaan. Malah sudah berkira-kira baju mana yang nak saya pakai bersesuaian dengan teman iaitu hitam. Namun saya hanya merancang dan Tuhan menentukan.

Anyway saya hepi tengok teman-teman saya semuanya cantik bergaya. Masing-masing ada gaya tersendiri. Rata-rata selesa memilih dres atau jubah moden yang digayakan dengan selendang pelbagai gaya.

Dengan sedikit solekan, nah mereka bukan sahaja teman biasa yang saya biasa lihat di pejabat, tetapi berubah bagai sang ratu. Syabas uolsss...(jeles sangat). Kalau saya anda sudah tentu jadi ratu gambar (hehehe).

Berbalik pada fesyen, saya melihat trend sekarang lebih gemar mengenakan dres atau jubah moden untuk menghadiri majlis rasmi. Bagi saya ia bukan sahaja sesuai untuk majlis rasmi tetapi juga program berbentuk keislaman. Tampak sopan, cantik dan yang penting masih mengekalkan ciri seorang muslimah.

Jika pandai menggayakannya dengan tali pinggang (seperti Eizan, editor PAMA) ataupun kerongsang, pasti menampilan anda tampak memukau. Sangat sesuai digayakan dengan sepatu yang bersesuaian serta clutch, memang penampilan anda semua menarik.

Begitu juga dengan pemakaian selendang. Usah risau untuk menggayakannya lain daripada yang lain. Jika tidak pandai, lihat sahaja contoh dalam youtube kerana ia guru paling bagus untuk mereka yang mahu berhijab lain daripada yang lain (esp bagi yang mahu ke majlis sebegini) Kalau tidakpun sekadar lilitan biasa, penampilan anda tetap anggun bergaya.

Ramai juga kini yang menjual dres dengan harga berpatutan. Kalau dulu, dengar nama dres terus terbayang harganya yang puluhan atau ribuan ringgit. Kini tidak lagi. Ada yang hanya mencecah bawah RM100 tetapi dresnya cukup cantik dan indah. Opss bukan jubah tau, tetapi nama hebatnya dres.

Bukan sahaja untuk mereka yang belum ada anak, tetapi bagi yang BF juga turut direka dres yang menyenangkan anda semua. Dalam soal ini, anda perlu bijak dan berhati-hati dalam memilih busana bersesuaian. Jangan ditipu dengan paparan dalam laman sosial. Kadang-kadang harga ditawarkan mahal, tetapi jangan tak tahu ada diantaranya diambil di KWC. Di sana harga memang murah tetapi anda kena beli borong dengan design yang dipilih berlainan.

Oh ye saya lupa jualan di talian ini adalah bagi mereka yang malas untuk bersesak dalam jammed, malas nak memandu, malas nak cuba, malas nak berjalan atau mahu cepat. Boleh saja beli dalam talian ini tetapi ingatan saya perlu bijak dan belek betul2 serta buat perbandingan.

Jika anda berbuat demikian, bukan sahaja jimat kos tetapi juga berbaloi. Cuma tarikan sahaja tangan di keyboard ipad or lappy or smart phone dan google jualan murah atau apa sahaja. Memang rambang mata dibuatnya dan sekali lagi pesanan saya, buatlah pilihan bijak.


Hot Mama Reen
1:08pm



Gambar team raya SDK 2013...dres tajaan butik Kupu Kupu By Dzaz...cantik & selesa digayakan.








SETIAKAH ANDA?

12/11/2013
12:05 pm

Salam

Cuti MC dua minggu yang diberikan membuatkan saya lebih senang berehat sambil menonton rancangan tv kegemaran. Sedang memilih stesen tv yang digemari (banyak sangat channel), saya tertarik untuk menontoton siaran HBO Fatal Attraction lakonan Micheal Douglas dan beberapa pelakon wanita lain.

Cerita itu saya rasa satu cerita lama (melihat pada cara pakaian dan gaya dalam filem berkenaan}. Ia mengisahkan bagaimana dalam satu malam sahaja seorang lelaki yang sudah berkahwin tetapi boleh terjebak melakukan hubungan bersama wanita lain.

Biarpun perkenalan itu singkat tetapi ia membuatkan wanita itu hamil dan keadaan ini menyebabkan lelaki itu berada dalam keadaan cukup tertekan. Malah dia cuba merahsiakan hubungan itu daripada isterinya, namun wanita kedua pula yang beria-ia mahu memberitahu kepada isterinya.

Keadaan bertambah rumit apabila suami dengan beraninya memberitahu dia ada affair dengan wanita kedua itu hingga menyebabkan anak mereka diculik sementara oleh wanita berkenaan.

Sebenarnya lelaki itu mahu wanita kedua melupakan sahaja hubungan mereka kerana ia bersikap sementara tetapi bukan mudah untuk wanita kedua terus melupakan dirinya. Dia cuba menarik perhatian lelaki berkenaan dan merosakkan hubungan mereka suami isteri.

Sebagai wanita, memang isterinya begitu marah dan sedih apabila suami disayangi mengaku ada hubungan dengan wanita lain. Namun dia bersikap optimis dan cuba untuk menyelamatkan mereka sekeluarga dari wanita kedua. Akhirnya satu pergelutan berlaku dan wanita kedua mati ditembak di tangan isterinya.

Bagi saya ia sebuah filem yang cukup menarik untuk dilihat. Melihat mesejnya di sini di mana, persoalan kesetiaan seorang suami pada pasangannya. Aduh..mudah sungguh seorang lelaki itu tergoda dengan godaan seorang wanita yang akhirnya terjebak hingga membawa musibah.

Kata orang jangan cuba bermain dengan api, kelak membawa diri. Ingat Tuhan dan dengan keimanan yang ada insha-Allah kita dapat menghindari dugaan ini. Maklum bekerja dalam dunia serba mencabar ini pelbagai insan kita temui. Cuma bergantung pada niat anda bekerja untuk keseronokan ataupun menyara keluarga.

Jika anda seorang yang benar-benar setia pada hubungan anda, pasti tidak akan timbul perasaan ingin mencuba berhubungan dengan orang lain. Walau ia bersikap sementara namun keindahan yang dirasa itu boleh membunuh hubungan anda dan pasangan.

Tanya diri kita, sejauh mana jujur atau tidak pasangan kita. Namun saya percaya setiap hubungan itu pastinya berlandaskan perasaan jujur, saling bekerjasama dan setia pada pasangan masing-masing. Bukan tidak boleh berkawan, tetapi biarlah berpada-pada.

Tip kesan pasangan curang:

1. Sering balik lewat.
2. Jika ada panggilan telefon, akan pergi luar rumah untuk bercakap.
3. Terlupa tarikh-tarikh indah anda berdua.
4. Berubah sikap, misalnya sering marah-marah padahal sebelum ini tidak.
5. Gemar bergaya seperti sebelumnya.
6. Gemar menonton rancangan berbentuk cinta (mungkin sebelum ini suka tengok cerita action).
7. Bersikap acuh tidak acuh jika diminta pertolongan.
8. Tidak berenggang daripada telefon (toilet pun bawak).

Banyak lagi nak kesan tip pasangan curang, anda boleh layari majalah kekeluargaan no 1, Seri Dewi & KELUARGA. Pelbagai tip suami isteri boleh anda kongsi.


Hot Mama Reen
12:22 pm


Setia & jujur kunci hubungan erat suami isteri.





SENYUM DALAM TANGISAN...

12/11/2013
10:49 am

Salam,

Rindu serindu rindunya saya untuk menulis entri di blog ini. Kali ini saya bukan malas atau tiada masa. Tetapi suatu yang saya anggap sebagai dugaan terhebat sepanjang 38 tahun hidup di muka bumi Allah.

Hari ini saya gagahkan diri untuk menulis dan menghabiskan entri ini. Walhal otak saya masih ligat berfikir dan mengingati dugaan yang Tuhan beri pada saya. Ya benar..saya masih lagi fikir dan kenapa ia terjadi pada saya. Namun saya akur dengan ketentuan-Nya dan saya perlu meneruskan kehidupan ini demi empat anugerah comel kurniaan Tuhan.

Jika yang mengikuti entri ini dan tidak tahu, sure tertanya-tanya dugaan apa yang saya hadapi? Mungkin bagi sesetengah orang dianggap kecil, tetapi bagi saya (yang tidak pernah melaluinya) ia cukup besar.

Sebenarnya minggu lalu, 7/11/2013 saya menjalani check-up bulanan (untuk kehamilan) untuk kali kedua di sebuah hospital swasta. Saya begitu teruja untuk melihat perkembangan janin dalam perut saya ni. Setelah agak lama menunggu, saya dipanggil nurse bertugas untuk bertemu doktor.

Saya sempat berbual kosong dengan doktor wanita berkenaan yang juga cukup ramah. Saya katakan padanya, saya gemar makan (memandangkan berat naik 1 kilo) dan beritahu anak-anak sebelum ini pun kelahirannya lebih 3 kilo. Dia nasihatkan saya agar jangan makan banyak bimbang sukar untuk bersalin kelak. Saya hanya gelak kerana selera makan memang tidak boleh control terutama hujung kehamilan.

Tiba masa yang ditunggu apabila saya disuruh berbaring untuk menjalani ujian ultrasound. Pada mulanya doktor mencari-cari janin kecil dalam perut saya. Memang jumpa tetapi apabila ingin melihat degupan jantung. Ia tiada. Waktu itu hati saya mula berdegup kencang.

Setelah doktor pusing-pusing lagi alat itu dan melihat sebetulnya, sah memang tiada denyutan jantung. Menurut doktor, walau kecil denyutan jantung tetap akan kelihatan. Waktu itu dia bagi tahu janin tidak berkembang normal dan sudah tiada. Saya tanya kenapa, sebab tidak pernah jadi pada kehamilan sebelum2 ini. Maklum bukan hamil anak pertama tetapi kelima.

Doktor bagi tau mungkin disebabkan pelbagai faktor dan salah satunya faktor usia. Biasanya jika tidak berkembang, janin akan gugur dalam tempoh itu. Dia menawarkan saya pelbagai pilihan. Memberi ubat dan ia akan terkeluar sendiri, tunggu sahaja sehingga keluar sendiri ataupun menjalani proses D&C. Saya perlukan masa untuk berfikir kerana masih terkejut.

Sebaik melangkah keluar dari bilik doktor, saya seperti berada dianganan. Betul ke semua ini dan saya masih tertanya-tanya. Waktu itu serius tidak ada rasa sedih. Saya sempat whtsapp En. Abah dan beritahunya 'Aiman tidak sempat jadi abang'. Tidak lama kemudian En. Abah telefon dan waktu itulah air mata keluar tanpa henti.

Dalam kereta ketika perjalanan balik ke pejabat, saya masih lagi menangis. Suatu perasaan sedih mencengkam jiwa saya. Walaupun pada mulanya kami tidak bersedia, namun saya menerima 'kehadirannya' dengan hati terbuka. Malah sudah membayangkan keseronokan jika punya anak 5.

Saya juga sempat post status dalam FB dan nyata mengundang pelbagai pertanyaan. Saya syukur punya teman-teman yang begitu prihatin. Semuanya menyatakan rasa simpati dan berpesan supaya saya berehat dan terima dugaan ini dengan reda.

Memang saya reda tetapi saya masih lagi tertanya-tanya. Mungkin betul faktor usia menyebabkan kandungan kali ini tidak seperti selalunya. Seperti kehamilan sebelumnya saya cukup lasak buat itu ini dan makan apa sahaja. Rupa-rupanya usia saya sekarang ini tidak boleh dijadikan ukuran untuk kembali cergas dan aktif walaupun hamil.

Saya menjalani proses D&C dan diberi MC 2 minggu. Rupanya pantang keguguran juga sama seperti jika kita melahirkan. Malah menurut carian google, lebih sukar dan susah kerana tidak tahu luka di bahagian dalaman. Saya hanya pantang apa yang boleh kerana dalam masa sama perlu uruskan keluarga.

Sebenarnya saya tidak boleh tinggal sendirian dan tidak buat apa aktiviti. Bukannya apa nanti fikiran saya teringat dugaan lalu dan bimbang boleh 'meroyan'. Oleh sebab itu saya gagahkan untuk menulis entri di blog ini. Lagipun bb Aiman saya tinggal di rumah pengasuh. Jadi saya punya masa untuk menulis. Cuma semangat perlu kuat untuk terus menulis dan menulis.

Sepanjang bercuti ini, saya memang malas nak angkat phone (minta maaf jika ada teman pejabat yang call). Saya malas nak bercerita tetapi hanya melayan melalui whatsapp sahaja. Tak susah hanya taip guna jari berbanding nak cakap melalui mulut.

Walaupun saya sudah ok, tetapi jauh di sudut hati saya masih lagi bersedih. Perasaan sedih itu begitu cepat menular dalam hati terutamanya jika melihat suatu yang sensitif. Saya rasa kesedihan ini begitu lain berbanding kesedihan lain. Maklum sebelum ini saya anggap diri saya hepi go lucky, jadi apabila diuji dugaan ini buat saya cukup sedih.

Biar apapun yag berlaku, saya doakan yang baik-baik untuk diri serta keluarga saya. Semoga Tuhan menemukan saya 'dengannya'  di akhirat kelak.


Hot Mama Reen
11:35 am


Empat kurniaan Tuhan yang comel-comel.




































































Wednesday, November 6, 2013

GAYAKU HIJABKU...

06/11/2013
17:27 pm

Salam,

Lamanya tidak menjengah blog ini. Bukan tidak ada entri untuk ditulis, tetapi aduss masa begitu mencemburui saya. Jika ada sekelumit masa, tetapi kekangan lain pula yang membatasinya. Jadi saya biarkan sahaja idea-idea itu mencurah di kepala sambil hujung minggu lalu dan public holiday (Awal Muharram) dipenuhi dengan melayan kerenah anak-anak di rumah.

Hajat di hati nak pergi berjalan-jalan tetapi hamil kali ini menyebabkan saya cukup malas. Rasanya lebih enak lepak di rumah sambil berbaring di bawah kipas menonton televisyen. Saya bukan sahaja kena siapkan diri sendiri tetapi juga anak-anak (walaupun tiga daripadanya sudah besar). Sudahnya hanya berehat sahaja menunggu hari untuk bekerja.

Ketika ini glamor tudung sarung & Syria...cantik Emi dan Saylo menggayakannya.


Dan hari ini, tiba-tiba mood saya bertukar menjadi pelbagai rasa. Saya akui kadang-kadang ada benda yang kita tidak duga boleh jadi dalam diri kita. Mungkin sebelum ini kita tidak pernah diduga dan apabila diberi ujian ini, ya saya harus bersedia menempuhinya (jika ianya benar belaka). Kata orang bukan bersedia mendepani cabaran mendatang, tetapi juga dari segi mental dan fizikal. Mungkin ia hanya cabaran kecil dalam meniti kerjaya yang dipegang sekarang.

Hari ini saya mahu bercerita mengenai fesyen. Saya memang seorang yang suka berfesyen. Cuma kadang-kadang teringin untuk pakai baju yang mahal dan nampak mewah (macam dalam majalah orang putih), tetapi bajet pulak tidak mencukupi. Jadi saya sekadar berangan sahaja sambil gemar membelek fesyen terkini (menutup aurat yer) yang memenuhi citarasa dalam majalah.

Namun saya akui, saya ini memang seorang yang sempoi dalam berpakaian. Bak kata orang yang simple dan selesa. Kalau boleh lebih senang mengenakan jeans dan kemeja sahaja (paling suka membeli di car boot sale ataupun bundle. Kena gaya dan pandai mencari, baju-baju ini boleh di mix & match untuk lebih cantik). Saya tidak suka menggayakan sesuatu yang feminin atau gegirl (kecuali ada majlis-majlis tertentu). Rasa geli pulak bila pakai, tetapi saya suka melihat mereka yang berpakaian begini.

Saya juga pernah cuba gaya turban...sangat selesa dan senang untuk membuat aktiviti luar.
Yang penting menutup aurat.


Ibarat cuci mata dan seronok lihat pelbagai fesyen yang digayakan. Sekarang ini pula hangat dengan  trend berhijab dan pakaian muslimah begitu mendominasi rekaan masa kini. Malah pelbagai blog atau FB yang menjual pelbagai jenis tudung ataupun pakaian muslimah seperti dres. Tahniah juga pada Mama Itt bersama bisnes partnernya, Maizan & Eswati Azni yang turut berganding bahu menghasilkan butik online Cotton Gosip. Saya salah seorang pembelinya.

Bayangkan sehelai selendang boleh digayakan pelbagai gaya. Jika tidak tahu, google sahaja di youtube dan anda boleh lihat gaya mana yang digemari. Kadang-kadang rasa macam tidak masuk dek akal gaya lilitan tudung berkenaan, namun itulah yang dikatakan demam hijab.

Pelbagai gaya hijab digayakan teman-teman sekerja.


Bagi saya fenomena hijab ini sangat bagus terutamanya dalam menarik mereka yang mahu bertudung. Cuma bagi saya biarlah yang memenuhi syariat yang dibenarkan. Saya juga kadang-kadang suka juga melilit hijab yang berbeza, tetapi selepas solat Zuhur selalunya gaya sudah bertukar.

Impian runway tercapai apabila menyertai satu majlis media bersama Yana & As.


Kalau nak tahu, dulu saya juga sering berangan bergaya ala model dengan berjalan runway di pentas. Ahh! itukan angan-angan zaman kanak-kanak. Malah begitu teruja bercita-cita untuk menjadi pramugari. Tatkala itu saya membayangkan betapa seronok menyarung baju seragam di awan biru sambil menjinjit beg untuk bertugas.

Namun itu sekadar anganan di zaman kanak-kanak dan seronok untuk dikenang kini. Minat tentang fesyen ini hanya biasa-biasa aje dan tidaklah sampai begitu obses. Saya suka lihat orang berpakaian cantik dan saya pula lebih senang bergaya ringkas. Cuma pada saya seseorang itu perlu solekkan sedikit wajah bagi memberi keyakinan dalam penampilan (ini pendapat saya).



Sama selendang dengan pelbagai gaya...lihat sahaja youtube untuk lebih gaya.


Walaupun begitu, ada juga yang berkata kecantikan asli itu lebih terserlah. Definisi cantik itu bagi saya terlalu subjektif. Pakai baju kurung serta berhijab penuh juga nampak cantik jika yang melihatnya suka anda berpakaian begitu. Biar apa yang ada kata tentang cantik dan fesyen, terpulang pada diri masing-masing. Tepuk dada tanya selera.

Saya sebenarnya suka gaya begini, sekadar jean & blaus longgar. Selendang lilit lebih selesa.



Hot Mama Reen
18:05 pm